Pelancaran Majlis Persilatan Pemuda UMNO



Tahniah diucapkan kepada Pemuda UMNO, kerana apabila LGE di Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan ini
"Silat juga kami akan haramkan di Pulau Pinang seperti kami haramkan BTN, kerana dengan silat inilah Melayu begitu angkuh dan kejadian Pemuda UMNO menjulang keris amat ketara perkauman. Dengan diharamkan silat di Malaysia, kami warga Cina dan India akan berasa begitu selamat. Kerana kami mementingkan pendidikan daripada membuang masa" dalam  Lim Guan Eng Blog Channel pada 16 Disember 2009.

Pemuda menunjukkan kesungguhan dalam mempertahankan silat yang merupakan budaya dan adat resam Melayu.

DAP - Kami bukan cabar hak Melayu...




IPOH - Kami bukan mempertikaikan hak Bumiputera tetapi mahukan saranan gagasan 1Malaysia yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dapat dipraktikkan sebaik mungkin, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Ong Boon Piow.

Menurutnya, jika betul rakyat didahulukan, seharusnya agensi Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan menggambarkan 1Malaysia bukan hanya tertumpu pada satu bangsa saja.

“Inilah tujuan kami melaksanakan tindakan sedemikian, hanya untuk menuntut janji Perdana Menteri melalui gagasan keramat yang dilaung-laungkan sejak memegang tampuk pemerintahan negara.

“Kami juga tidak mempersoalkan hak bumiputera malah menghormati Perlembagaan sedia ada,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Boon Piow berkata, adalah bertentangan sama sekali dengan prinsip DAP untuk memecah-belah atau membangkitkan sentimen bangsa Melayu.

Katanya, mereka cukup menghormati bangsa Melayu yang mempunyai hak dan kepentingan sebagai kaum peribumi, malah tidak pernah mempersoalkan hakikat itu.

:“Apa yang dibuat adalah untuk memastikan gagasan 1Malaysia diaplikasikan sebagaimana diuar-uarkan.

“Bagaimanapun, tindak-tanduk kami ini dianggap sebagai mencabar bangsa Melayu adalah tidak wajar sama sekali dan tidak melambangkan 1Malaysia,” katanya.

Tindakan Siva dan Boon Piow dikecam Pemuda UMNO Perak







Tindakan  pembangkang yang diketuai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tronoh, V Sivakumar dan ADUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow memperlekehkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai agensi mengurus hal ehwal Bumiputera.

Ketuanya, Maslin Sham Razman berkata, kedua-dua ADUN itu telah menunjukkan isyarat tangan ‘thumbs down’ di hadapan premis perniagaan untuk disewa bagi khas untuk Bumpitera sahaja.

Menurutnya, mereka harus tahu sejarah penubuhan Mara adalah untuk memaju, menggalak, memudah serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan kepada kaum Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sikap dan tindak-tanduk kedua-dua ADUN ini jelas sekali memperlihatkan pembangkang tidak menghormati serta memperlekehkan hak Bumiputera.

“Kami melahirkan rasa tidak puas hati dan marah terhadap tindakan ini serta memberi amaran sekeras-kerasnya kepada pakatan pembangkang supaya tidak lagi mempersoalkan hak istimewa Bumiputera,” katanya melalui kenyataan bertulis yang dihantar kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan ADUN Tronoh dan Tebing Tinggi yang disiar di akhbar berbahasa Cina pada 1 Disember lalu.

Maslin berkata, mereka seharusnya menghormati bangsa Melayu yang langsung tidak pernah menafikan hak bangsa lain yang sentiasa menerimanya dengan hati terbuka.

Beliau turut memberi amaran untuk tidak membangkitkan hak istimewa Bumiputera tetapi mahu kedua-dua ADUN berkenaan hormati Perlembagaan Persekutuan yang menjadi simbol demokrasi negara.

“Fahami betul-betul isi kandungan perlembagaan, jangan bertindak mengikut emosi dangkal yang nanti akan menimbulkan pelbagai perkara tidak diingini.

“Kami tidak mahu peristiwa berdarah melibatkan rusuhan kaum sebagaimana yang berlaku pada 13 Mei 1969 berulang lagi,” katanya.

Sikap Pas merugikan orang Melayu!!!



BATU KURAU – Rakyat Malaysia perlu menukar persepsi daripada menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai idola kepada dalang yang telah memporak-perandakan keadaan politik negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin seperti inilah yang menyebabkan survival dan perpaduan orang Melayu serta rakyat Malaysia semakin terhakis.

Menurutnya, perpaduan rakyat Malaysia adalah berteraskan kepada perpaduan bangsa Melayu, kaum majoriti negara yang berjumlah lebih 65 peratus.

“Tiga ancaman dikenal pasti yang menyebabkan survival orang Melayu semakin tenat iaitu persepsi rakyat menganggap Anwar sebagai idola, sikap Pas bersekongkol dan menjadi alat untuk DAP, jelas tidak menguntungkan orang Melayu sebagaimana pendirian Pas di Perak, Selangor serta Pulau Pinang.

“Negeri-negeri ini tidak mungkin dapat mewujudkan kerajaan sama ada peringkat negeri mahupun pusat kerana Pas banyak bergantung pada orang lain, khususnya DAP,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Ceramah Perdana di Dataran Kampung Raya, di sini malam semalam.

Ibrahim berkata, kebergantungan Pas dan Anwar kepada DAP amat jelas dan secara tidak langsung membuka ruang kepada mereka diperalatkan seterusnya menjadi alat perpecahan kepada Melayu serta rakyat Malaysia.

Katanya, keadaan bertambah parah apabila sejak kebelakangan ini, sikap para pemimpin DAP yang cukup berani menterjemahkan tindakan melampau mereka dengan usaha membawa balik Chin Peng, mempersoalkan ketuanan Melayu, institusi raja, semuanya cuba diganggu-gugat untuk mewujudkan semangat perkauman.

“Kita memang mengamalkan demokrasi dan setiap parti politik boleh bergerak bebas, tidak kira Pas, DAP, UMNO dan sebagainya, mereka untuk ada pendirian tetapi mestilah berpandukan kepada asas perlembagaan negara kita yang tidak boleh diganggu gugat termasuklah mendaulatkan rukun negara.

“Tindak-tanduk mereka ini sekarang adalah untuk merobek dan memusnahkan tembok penghalang yang menjadi lambang demokrasi rakyat Malaysia khususnya orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, tiga ancaman inilah jika tidak dibendung akan merosakkan negara dan kaum Melayu serta dalam masa yang sama kaum Melayu perlu sedar akan hakikat berlaku.

“Justeru, saya menggesa bangsa Melayu khususnya bangkit dan sedar akan ancaman ini, kalau tidak Malaysia akan jadi seperti Singapura, bangsa Melayu tiada hak di tanah air sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau menyokong tindakan beberapa pemuda Melayu memijak gambar pemimpin DAP negeri dan pusat sebagai amaran dan peringatan kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, tindakan berkenaan bukan bermakna apa yang mereka lakukan itu perlu kita balas tetapi hanya bersifat amaran serta peringatan dan mengambil iktibar apa yang telah berlaku.

“Kita tidak mahu hari ni, mereka pijak, esok minta minta maaf, lusa buat balik, minta maaf balik, seolah-olah perkara yang dilakukan tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka walhal itu melibatkan maruah dan martabat seseorang individu atau kaum tertentu.

“Perlu ingat kesabaran orang Melayu ada hak batasannya, bila dicabar dan diancam dengan pelbagai tindakan, orang Melayu akan bangkit menentang, namun kita tidak mahu peristiwa berdarah seperti 13 Mei berulang lagi,” katanya. Ibrahim berkata, semasa kesemua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) melompat masuk ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berbuat demikian seperti apa yang berlaku semasa Konvensyen DAP.

Katanya, DAP sepatutnya pijak gambar Anwar Ibrahim kerana beliau adalah dalang kepada orang lain melompat parti.

Beliau turut hairan dengan sikap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bersetuju dengan tindakan rakan-rakan Pakatannya.

“Pemimpin Melayu Islam langsung tidak bangkit menentang tindakan DAP, inilah gambaran jelas tentang pendirian pemimpin pembangkang yang harus dinilai oleh rakyat,” katanya.

Ahli UMNO digesa sentiasa bersedia - SUA



KUALA LUMPUR, 7 Dis. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa ahli-ahli UMNO di seluruh negara sentiasa bersikap peka dan bersedia terhadap perkembangan semasa dan juga saranan Presiden parti terhadap masa hadapan UMNO.


Dalam hal ini katanya, semua ahli-ahli UMNO khususnya para pemimpin termasuklah di peringkat akar umbi perlu memahami hasrat yang telah dizahirkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terutamanya untuk melihat parti ini lebih berjiwa rakyat dan terus berada di landasan perjuangannya.

“Kita telah pun menggariskan tumpuan yang bakal dilalui oleh ahli-ahli parti dalam memastikan kesinambungan perjuangan terus relevan dengan mengaktifkan parti melalui progam dan aktiviti yang bertemakan UMNO Juara Rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Presiden parti yang juga Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi yang bermesyuarat Jumaat lalu telah meluluskan program UMNO bagi tahun depan dan mulai Januari 2010, iaitu melaksanakan program yang bertemakan ‘UMNO Juara Rakyat’.
“Sebenarnya program yang dirancang tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi ia diperincikan dengan lebih teratur dan mantap melalui pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, sosial dan NGO serta pelbagai lagi jenis program yang telah ditentukan.”

Jelas beliau lagi, walaupun program tersebut mengkhusus kepada UMNO tetapi ia bukan terhad kepada ahli-ahli parti sahaja sebaliknya rakan-rakan kompenan dalam Barisan Nasional (BN) juga turut dipelawa dan bersama-sama menggembling tenaga memastikan kerukunan dan keharmonian terus terpelihara.

“Melalui program-program tersebut, kita akan memastikan bahawa tidak akan ada ahli yang terpinggir atau merasa tersisih kerana mereka akan terlibat secara langsung dalam menjayakan setiap perancangan sama ada di peringkat bahagian atau cawangan sekalipun,” jelas beliau lagi.

Dalam memastikan kesinambungan parti, beliau yang juga Setiausaha Agung BN turut memaklumkan bahawa program pemutihan keahlian akan digerakkan sebagai alternatif menentukan kesahihan ahlinya dalam UMNO.
“Tindakan tersebut dibuat bagi menentukan kaedah pemutihan ahli-ahli supaya senarai yang ada merupakan senarai sahih terkini khususnya selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan parti.”

ROS meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO pada 10 November 2009 yang lalu dan dengan itu UMNO memansuhkan yuran tahunan dan ahli hanya perlu membayar yuran keahlian sekali seumur hidup semasa membuat permohonan menjadi ahli parti iaitu berbeza dengan sebelum ini, bayaran yuran daripada ahlinya dikenakan setiap tahun.

Bagi melaksanakan pemutihan tersebut, beliau memaklumkan bahawa ibu pejabat UMNO akan berhubung secara terus dengan semua UMNO Bahagian untuk keberkekasan proses berkenaan.
Selaras dengan kelulusan pindaan Perlembagaan UMNO tersebut juga, Tengku Adnan turut menggesa ahli-ahli parti agar tidak leka dengan matlamat perjuangan untuk terus memperkasa parti dan memastikan kekukuhan di kalangan ahli terpelihara.

“Kita jangan terlalu asyik menyaksikan pergolakan yang berlaku dalam parti lawan hinggakan kita lalai untuk melaksanakan tanggungjawab kita seperti mana yang telah digariskan oleh Presiden,” katanya.
Menurut beliau, pergeseran pendapat dan pertentangan idea yang melanda pakatan pembangkang perlu diambil sebagai satu tauladan dan lonjakan bagi UMNO dan BN sendiri untuk terus memantapkan matlamat perjuangan.

“Sesungguhnya apa yang berlaku kepada PAS, PKR dan DAP adalah bukti bahawa idealogi mereka yang tidak selari jauh menyimpang daripada apa yang dihajatkan oleh masyarakat, dan perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam BN kerana kerajaan tahu kehendak rakyat,” tegasnya.

Pergerakan Pemuda UMNO Perak - serah rakyat untuk nilai...



IPOH - Pergerakan Pemuda UMNO menyerahkan kepada rakyat terutama Melayu dan beragama Islam untuk membuat penilaian siapa yang biadab serta memulakan isu berbaur perkauman terlebih dahulu. Naib Ketua Pemuda UMNO Simpang Empat Hutan Melintang, Mohd Najib Mohd Mokhtar berkata, dalam kenyataannya baru-baru ini, beliau hanya meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut meminta maaf berhubung isu pemimpin itu memijak gambar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

Katanya, tidak cukup dengan sekadar mereka mewakilkan kepada Setiausaha DAP, Nga Kor Ming untuk meminta maaf kepada orang Melayu dan Islam di atas perbuatan biadabnya, sebab itu beliau mahu kedua-duanya turut berbuat demikian. “Adakah apa yang saya minta itu dikatakan biadab dan cuba membangkitkan isu perkauman. Ini memang tuduhan tidak masuk akal. Mereka yang mula melakukan perbuatan biadab, kurang ajar dan berbaur perkauman, mereka menuding jari kepada Pemuda UMNO. “Beginilah perangai pembangkang dari dulu, kini dan akan berterusan untuk selama-lamanya. Mereka lakukan kesilapan dan apabila mendapat kecaman dan kutukan daripada rakyat, mereka cuba mengalih perhatian dengan meletakkan kesalahan itu kepada UMNO,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha DAP Ipoh Barat, P Sugumaran yang meminta UMNO jangan membangkitkan sentimen perkauman dalam isu memijak gambar ADUN Bebas pada konvensyen DAP Ahad lalu. Dalam kenyataan itu, Sugumaran dilaporkan berkata, kenyataan Mohd Najib yang meminta Kit Siang dan Guan Eng meminta maaf mengenai isu berkenaan boleh dianggap sebagai permintaan tidak masuk akal.

Mohd Najib berkata, soal tidak masuk akal atau sebaliknya tidak lagi berbangkit kerana beliau mendapat tahu Kit Siang sudah pun meminta maaf dan melahirkan rasa kesal dengan perbuatannya itu. “Kita anggap isu ini sudah selesai dan berharap mana-mana pemimpin dari pakatan pembangkang tidak lagi mengulangi perbuatan sama, yang menyentuh sensitiviti orang Islam dan Melayu sebagaimana mereka lakukan sebelum ini. “Pemuda UMNO tidak kisah kalau pemimpin pembangkang benci kepada UMNO, tetapi kaedah untuk menzahirkan kebencian itu harus dilakukan secara matang, bukan kebudak-budakan,” katanya.

UMNO Juara Rakyat, Program 2010



Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 4/12/09, telah meluluskan program-program UMNO untuk tahun hadapan dan antara yang akan diberikan tumpuan adalah yang bertemakan UMNO Juara Rakyat. Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata UMNO juga akan mempelawa Parti-parti Komponen Barisan Nasional yang lain untuk bersama-sama di peringkat Bahagian untuk melaksanakan pelbagai program yang menepati konsep tersebut.

Menurut beliau lagi, program-program ini yang disifatkan sebagai satu initiatif yang berterusan sepanjang tahun akan meliputi pelbagai jenis bidang seperti pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, ekonomi, sosial dan lain-lain lagi.

Selain dari itu Pihak Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan Perlembagaan UMNO yang baru. Pindaan Perlembagaan UMNO tersebut mula berkuatkuasa 10 November 2009. UMNO juga akan mengambil tindakan untuk menentukan satu kaedah pemutihan ahli-ahlinya supaya mempunyai senarai keahlian yang terkini dan dikemaskini, tambah Datuk Seri Najib Tun Razak. Mengikut perlembagaan UMNO yang baru, disebabkan yuran tahunan tidak perlu lagi dikutip setahun sekali maka keperluan untuk menentukan kesahihan senarai ahli UMNO adalah begitu penting dan menjadi keutamaan. Ibu Pejabat UMNO Malaysia pula akan dipertanggungjawab untuk menerangkan kepada semua di peringkat Bahagian mengenai kaedah pemutihan tersebut .

Saranan Tun Dr. Mahathir disambut baik



SHAH ALAM – Puteri UMNO menyambut baik saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar program Biro Tata Negara (BTN) dikekalkan dan Kerajaan tidak merombak modulnya semata-mata disebabkan desakan pembangkang, kata Ketuanya, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin “Sudah tentu BTN perlu dikekalkan kerana program ini memberi kesedaran kepada peserta mengenai kesetiaan kepada negara, memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

“Usaha baik pulih BTN telah dicadangkan dahulu lagi. Jadi jika BTN dirombak, i:a bukan disebabkan desakan pembangkang. Mereka tidak perlu mengambil kesempatan dengan ‘menangguk di air keruh’,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam. Menurutnya, pembangkang akan menafikan sebarang usaha kerajaan walaupun ia bagi kebaikan semua dan meminta penjawat awam tidak termakan hujah pembangkang. “Perbuatan pembangkang sungguh kolot. Bukan sahaja BTN mereka bantah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi mahkamah juga menerima nasib yang sama.

Walaupun langkah kerajaan untuk kebaikan semua, mereka menilai semua benda tidak adil. “Saya meminta penjawat awam terus menyertai kursus BTN, walaupun ia diharamkan di beberapa negeri dan kerajaan tidak perlu tunduk kepada desakan pembangkang,” katanya.

Maaf kepada ADUN bukan kepada RAKYAT...

IPOH – Permohonan maaf Perbuatan pemimpin DAP Perak yang diwakili Setiausaha Agungnya, Nga Kor Ming memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka memijak gambar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Ahad lalu disifatkan sebagai sandiwara.

Timbalan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Negeri, Dr Naran Singh berkata, inilah sandiwara pembangkang yang penuh dengan muslihat dan agenda tersendiri untuk menjatuhkan seseorang.

Menurutnya, mereka sanggup buat apa sahaja untuk menjayakan sikap biadab terhadap para pemimpin yang tidak disukainya malah sehingga sampai menjatuhkan maruah serta martabat sesuatu bangsa.

“Hari ini dia minta maaf, esok dia buat balik, minta maaf balik, demikianlah permainan yang penuh strategi dan percaturan dangkal dari pemimpin DAP dan pembangkang.”

“Mereka akan menggunakan pelbagai helah dan tipu daya untuk menarik perhatian pemimpin Barisan Nasional (BN) dan juga rakyat negeri ini,”katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, di sini, semalam.

Naran berkata, walaupun DAP Perak meminta maaf tetapi ia ditujukan kepada rakyat bukannya kepada tiga ADUN Bebas.

Katanya, tindakan mereka tidak tepat sebabnya yang terkena perbuatan mereka adalah tiga ADUN berkenaan dan seharusnya permohonan maaf perlu diajukan kepada ADUN itu.

“Sebenarnya, saya faham sangat dengan permainan mereka yang seringkali bertukar watak dalam drama dicipta sendiri.”

“Semuanya bermotif kepentingan peribadi semata-mata bukannya perjuangan untuk rakyat negeri Perak,”katanya.

Beliau berkata, jika benar pemimpin DAP ikhlas dan mengakui kesilapan mereka, minta maaflah kepada tiga ADUN berkenaan, Jamaluddin Mohd Radzi, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Hee Yit Foong bukannya kepada rakyat.

“Saya cabar pemimpin DAP untuk berbuat demikian dan buktikan keikhlasan mereka yang sememangnya mereka bersalah,” katanya.

Bajet Untuk Yayasan Perak ditambah

IPOH – Kerajaan Negeri sedia menyumbang RM10 juta daripada bajet 2010 kepada Yayasan Perak bagi membantu bidang mempertingkatkan bidang akademik di negeri ini. Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, biarpun mengalami defisit sebanyak 23.8% pada bajet 2010, Kerajaan Negeri bersedia menyumbang sejumlah peruntukan bagi mempertingkatkan bidang akademik di negeri ini demi menjamin rakyat menerima pendidikan yang lebih baik.

Menurutnya, peruntukan berkenaan diharap dapat membantu para pelajar khususnya dari segi pembelajaran mereka. “Dermasiswa berkenaan adalah satu usaha daripada pihak Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan pelajar di negeri ini mendapat pembelajaran terbaik demi menjamin masa depan sekali gus membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan. “Ianya sekali gus memberi petanda positif bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik para pelajar berkenaan dapat membantu memajukan negeri ini suatu hari nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Dermasiswa Negeri Perak, di sini semalam. Hadir sama pada Majlis Penyampaian Dermasiswa itu, Pengurus Besar Yayasan Perak, Abdul Jamil Mat Kasa.

Difahamkan, seramai 115 pelajar yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini hadir bagi menerima dermasiswa berkenaan. Sementara itu, golongan pelajar juga digalakkan agar melibatkan diri dengan pelbagai badan sukarelawan selain membantu melaksanakan pelbagai aktiviti sukarela yang dibuat. Katanya, ianya bakal mewujudkan semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar dan sekali gus dapat melahirkan modal insan dan mewujudkan generasi minda kelas pertama di negeri ini. “Semoga pembentukan generasi minda kelas pertama ini menjadi realiti di masa hadapan,” katanya.

Lagi Penubuhan Pusat Khidmat

GERIK – Sebuah lagi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong bakal dibuka bertempat di Dataran Parlimen Lenggong, Padang Kunyit, Gerik. Ia akan memberikan kemudahan rakyat dan pengundi Parlimen Lenggong, khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering. Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pusat khidmat itu menempatkan satu ruang pejabat berserta kakitangan sepenuh masa dan akan mula beroperasi pada 1 Januari tahun hadapan.

Sehubungan dengan itu, menurutnya, satu majlis korban bersempena sambutan Aidiladha diadakan untuk meraikan pembukaan pusat khidmat itu. “Saya harap dengan pembukaan pusat khidmat ini, akan lebih memudahkan urusan rakyat di sini, khususnya di kawasan DUN Kenering dan tidak perlu lagi bersusah payah untuk ke Pekan Lenggong bagi sebarang urusan. “Saya amat memahami kesukaran yang dialami kerana kerap kali ramai rakyat dari kampung di sekitar sini datang berjumpa saya di Pekan Lenggong dan kebanyakan mereka ini adalah golongan susah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Shamsul, beliau dapat melihat sendiri kesulitan rakyat untuk bertemunya di Pekan Lenggong apabila melihat mereka terpaksa ke Pekan Lenggong dengan menggunakan perkhidmatan bas. Katanya, disebabkan hal itu, beliau mengusulkan membuka satu lagi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong di kawasan Padang Kunyit. “Oleh itu, saya berharap agar masyarakat akan mendapat kemudahan di sini tanpa perlu lagi pergi jauh ke Pekan Lenggong,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Dataran Parlimen Lenggong, bukan sahaja akan menempatkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong malah dilengkapi dengan Gelanggang Rakyat (futsal), perpustakaan mini, pusat Informasi dan teknologi (ICT) serta Gerai Rakyat. “Tujuan diadakan kelengkapan berkenaan untuk membolehkan tempat tersebut menjadi tumpuan rakyat di kawasan ini dan selain itu, kita akan memulakan juga beberapa program serta kegiatan lain, di sini. :“Antaranya, pusat tuisyen percuma untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Selain itu, turut diadakan aktiviti sukan dan keagamaan yang akan disusun sebuah Jawatankuasa (JK) Pentadbiran Dataran Parlimen Lenggong serta beberapa kemudahan lain akan dimasukkan pada tahun hadapan. “Apa yang penting bagi saya, rakyat mesti didahulukan dan perumpamaan paling tepat adalah kita sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) adalah rakyat. “Oleh itu, saya menegaskan sekarang ini bukan era rakyat mencari pemimpin tetapi pemimpin mesti mendekati rakyat dan sudah tentu pembukaan pusat khidmat di sini adalah usaha kami untuk mendekati rakyat,” katanya.

Tindakan dan Perilaku yang tidak bertamadun...

IPOH – Tindakan memijak gambar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas oleh pemimpin DAP dalam Konvensyen DAP Negeri Perak ke-15, Ahad lalu disifatkan sebagai tidak bertamadun. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau yakin perbuatan itu keterlaluan, kurang ajar, tidak beradab apabila tidak memahami proses demokrasi. “Saya mahu tanya, ini permainan politik apa? Tindakan meletak gambar ADUN-ADUN berkenaan di pintu masuk juga seolah-olah memaksa semua orang memijak gambar itu,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Menteri Besar, di sini semalam.

Menurutnya, tindakan pemimpin parti pembangkang memijak gambar itu adalah suatu yang tidak melambangkan demokrasi. Katanya, Lim Kit Siang sebagai seorang yang berpengalaman dalam politik tidak seharusnya menjatuhkan maruah dirinya dengan membiarkan insiden sedemikian berlaku sebaliknya beliau turut bersekongkol dengan tindakan itu. "Rakyat sendiri sudah dapat memahami jika DAP memerintah negara ini, beginilah keadaan yang akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kejadian memijak dan membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Zambry berkata, ia mencerminkan dua perbezaan iaitu satu dilaksanakan oleh rakyat (Kampung Buah Pala) manakala satu lagi dilakukan oleh pemimpin (di konvensyen). Bagaimanapun, Zambry tidak berhasrat untuk menyaman pihak berkenaan kerana beranggapan DAP hanya mahu mencari publisiti murahan kerana mahu berita perbuatan mereka itu dipaparkan di akhbar.

BTN bukan rasis!!!


KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menolak persepsi sesetengah pihak yang menganggap kursus Biro Tata Negara (BTN) bersifat perkauman dan menanam kebencian dalam kalangan rakyat. Menurutnya, beberapa modul yang diadakan dalam kursus tersebut memang menyebut mengenai fakta sejarah negara dan sudah semestinya nama Melayu sebagai kaum terbesar di Malaysia disebut dalam ceramah-ceramah BTN.

 “Persepsi yang mengatakan BTN ini bersifat perkauman datang daripada 2-3 orang peserta yang mungkin anak-anak orang DAP dan pihak yang mendakwa BTN rasis, sebenarnya adalah rasis,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam. Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Kabinet bersetuju kepada rombakan kurikulum BTN dan meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan membincangkan perkara itu dengan BTN. Sebelum ini barisan pembangkang telah membangkitkan isu sama dengan mendakwa kursus-kursus BTN sebagai salah satu cara doktrinasi oleh Barisan Nasional (BN) selain dijadikan tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurut Ahmad, kursus BTN sebenarnya mengutamakan budaya menghormati semua kaum dan ia terbukti sejak 2003 yang mana peserta bukan Melayu turut menghadiri kursus tersebut. “Kita tidak mengajar peserta kita sehingga memijak poster wajah seseorang, kita tidak bertindak sebegitu sekali,” katanya. Ahmad berkata, kerajaan akan menambah-baik program dalam BTN dan elemen 1Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diserapkan. Ditanya mengenai cadangan negeri-negeri PR yang berkemungkinan mewujudkan kursus ala-BTN mereka sendiri, Ahmad menjelaskan ia terpulang kepada mereka. “Mereka nak buat kursus lain terpulang kepada mereka, tetapi jangan sehingga memburukkan kursus BTN,” katanya.

Majlis Qiamullail dan Zikir Munajat Perdana 2009


Majlis Korban Perdana Aidiladha 2009
Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan
dan Badan-Badan Berkanun Negeri Perak

Tarikh: 28 November 2009 bersamaan 11 Zulhijjah 1403H (Sabtu)
Tempat: Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jalan Sultan Azlan Shah (U), Ipoh
Masa: 6.30 petang


Pakaian : Sesuai


___________________________________________________________________________________



Majlis Qiamullail dan Zikir Munajat Perdana 2009
Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan
dan Badan-Badan Berkanun Negeri Perak

Tarikh: 28 November 2009 bersamaan 11 Zulhijjah 1403H (Sabtu)
Tempat: Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh
Masa: 6.30 petang


Pakaian : Baju Kebangsaan

Tahniah Kerajaan BN Perak...

Diberitakan bahawa indeks jenayah di negeri Perak turun ke bawah paras satu peratus sejak Barisan Nasional menjadi kerajaan negeri berbanding lima peratus di bawah pemerintahan pakatan pembangkang selama 11 bulan.

Penurunan indeks jenayah ini menunjukkan keberkesanan pihak polis menangani
usaha mencegah dan membenteras kegiatan-kegiatan jenayah. Menteri Besar Dr Zambry Abd Kadir berkata ini menunjukkan kecekapan serta keseriousan polis.

“Polis adalah sahabat rakyat dan bukannya musuh seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak,” katanya ketika merasmikan program pecah tanah Balai Polis Pangkor yang bernilai RM27 juta.

Akhir-akhir ini pakatan menggambarkan polis sebagai penghalang demokrasi semata-mata kerana bertindak mencegah rusuhan dan demonstrasi yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang. Kejaidan
7 Mei, 2 Sept dan 28 Okt lepas, apabila pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang cuba menimbulkan huru-hara, digambarkan sebagai tindakan polis menghalang kebebasan rakyat.

Soalnya apakah polis mesti mengizinkan pembangkang bebas berdemonstrasi dan menimbulkan huru-hara baru dikatakan pasukan itu bebas? Adakah semata-mata kerana polis mahu mewujudkan keamanan, ia dituduh sebagai bersengkongkol dengan UMNO dan BN.

Cuba bayangkan jika pasukan polis membenarkan tindak-tanduk yang menjejaskan keamanan – demonstrasi dan berguling-guling atas jalan (seperti yang dilakukan oleh PAS pada DYMM Sultan Perak di Kuala Kangsar pada Februari lepas), siapa yang akan menjadi mangsa? Tentunya rakyat.
 
Semoga kadar jenayah ini akan berkurangan lagi dari masa ke semasa.Perak Aman Jaya!

Keretakan PR yang semakin terbukti!

KUALA LUMPUR, 22 Nov. – Apa yang selama ini cuba disembunyikan menjadi nyata membuktikan bahawa siapa yang benar dan siapa yang salah apabila kepincangan demi kepincangan yang berlaku dalam pakatan campuran terdedah.

Ternyata bahawa apa yang berlaku dalam sekutu pembangkang tersebut secara tidak langsung menutup mulut mereka yang gemar menunding jari kepada pihak lain sebagai alternatif menyelesaikan masalah.
Terbaru, khabar angin bertiup kencang bahawa Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan.

Dikatakan bahawa tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Namun begitu, Menteri Besarnya, Nik Aziz cuba menyembunyikannya.
Ini belum lagi ditambah dengan pertelingkahan dalaman PKR hingga dikatakan Penasihatnya, Anwar Ibrahim semakin risau ekoran kepercayaan dari kalangan ahlinya termasuklah para wakil rakyatnya mula pudar.

Pastinya, ramai ahli-ahli dalam pakatan pembangkang tersebut sedar bahawa segala janji-janji yang diluahkan ketika penggabungan antara tiga parti PAS, DAP dan PKR yang bertentangan idealogi semasa mahu menghadapi pilihan raya umum lalu hanya palsu belaka.

Masa yang berlalu menjadi bukti bahawa bukan hanya tingkah laku para pemimpin atasannya malahan wakil rakyat yang diberi kepercayaan menerajui kawasan masing-masing juga turut hambar dan gagal melaksanakan tanggungjawab.

Lantaran itu, apa lagi yang mahu dilakukan selain daripada meninggalkan sahaja parti yang lebih banyak mengkhianati rakyat daripada membantu dan membina masa depan cerah.
Kesedaran masyarakat dan ahli-ahli dalam pakatan campuran semakin terserlah lantaran tindakan para pemimpin atasannya yang bukan sahaja gagal menunaikan janji malahan tidak melaksanakan amanah parti dan rakyat termasuklah sanggup menggadaikan prinsip dan idealogi asal.

PAS DAN NEGARA ISLAM

NOV 18 — PAS merupakan parti pembangkang yang terbesar dalam arena politik Malaysia, walaupun mempunyai jumlah kerusi yang paling kurang di dalam Parlimen dan nampak seolah-olah terpinggir dari segi kepimpinan dalam Pakatan Rakyat. Suka atau tidak kita perlu akui yang PAS merupakan parti yang mempunyai ahli terbanyak dan mempunyai kedudukan keuwangan yang paling mantap.

Dari segi keutuhan parti, tidak seperti rakan mereka PKR dan DAP, belum ada satu pun ADUN PAS yang melompat parti kerana kecekalan mereka membuat bai’ah. ADUN PAS lebih mana sanggup menceraikan isteri mereka talak tiga dari mengkhianati parti, begitulah dapat kita gambarkan keutuhan perjuangan mereka.

Malah kehebatan jentera mereka ternampak jelas apabila diadakan perhimpunan atau demonstrasi jalanan yang mana sebahagian besar datang darinya adalah dari ahli atau penyokong PAS dan sangat kecil dari datang dari rakan-rakan PR.

Atas kehebatan inilah sering diperkatakan yang PAS hendaklah berusaha untuk menjadi pengganti kepada Umno dalam usaha Pakatan Rakyat dalam mengambil alih kerajaan persekutuan. Selalu kita dengar yang mana pemimpin PAS menolak kerajaan perpaduan kerana bukan penggabungan yang dimahukan akan tetapi penggantian. Barangkali atas sebab itulah Datuk Zaid Ibrahim telah mencadangkan Murshidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai pengerusi Pakatan Rakyat kerana diharap mengganti UMNO dan Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi Barisan Nasional. Dapat kita lihat bahawa PAS adalah tunjang utama dalam Pakatan Rakyat kerana selaku pengerusi PR, sama seperti pengerusi BN pastilah pemimpin mereka yang akan memegang jawatan Perdana Menteri.

Perkara pokok yang membezakan antara UMNO dan PAS ialah perjuangan PAS yang mahukan negara Islam mengikut takrifan mereka. Bagi mereka konsep negara Islam yang dibawa UMNO adalah tidak lengkap, palsu atau plastik dan ini dapat kita lihat dengan jelas apabila Nik Aziz pernah menyebut dalam salah satu siri ceramahnya:
‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh Umno ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa Umno.”

Sidang Akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos 2009.
Malah kenyataan ini dapat kita lihat dengan jelas lagi dalam salah satu lagi siri ucapan Presiden PAS Datuk Hadi Awang yang lebih dikenali sebagai amanat Haji Hadi:
“Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
“Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.” — Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Dapat kita lihat di sini yang mana UMNO telah dianggap kafir kerana parti itu tidak menerima sepenuhnya kepimpinan Islam dan saya agak dari itu apa yang dimaksudkan adalah hukum Hudud, ini dapat disimpulkan dengan takrifan “Politik Suku, Agama Suku”. Kalau dari segi ideologi, sebenarnya PAS dan UMNO tidak mempunyai banyak perbezaan. Perbezaan utama yang dapat kita lihat adalah isu Hukum Hudud yang mana bagi PAS, UMNO itu dikatakan menolak Islam kerana tidak mengamalkan Islam sepenuhnya seperti mana Hadi menyebut "mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah".

Saya tidak berapa bersetuju dengan takrifan negara Islam oleh PAS. Mengikut sesetengah pandangan, Hukum Hudud walaupun disebut di dalam Quran, terjatuh kepada kebijaksanaan pemerintah untuk melaksanakanya atau tidak. Malah ada yang mengatakan Hukum Hudud adalah hanya sebahagian kecil dari konsep negara Islam secara keseluruhan. Namun saya bukan ulamak yang boleh menentukan hukum, saya menyerahkan kepada mereka yang merupakan yang merupakan ahli. Sebagai salah seorang yang telah “dikafirkan” saya berasa saya ada hak untuk mempersoal tentang hal ini, bukan mempersoal hukum Allah akan tetapi mempersoal mereka yang menjatuhkan hukum atas nama Allah.

Sebagai contoh, Hadi ada menyatakan “Politik Suku, Agama Suku” kerana UMNO tidak melaksanakan Islam sepenuhnya, jadi saya pun terfikir sejenak. Bukankah PAS juga tidak melaksanakan sistem Islam sepenuhnya. Seingat saya ketika pemerintahan Nabi Muhammad (s.a.w) antara perkara yang menjadi asas pemerintahan beliau adalah Piagam Madinah, Hukum Hudud dan Syura. Islam telah menolak konsep monarki kerana nasib seseorang itu bukan bergantung atas keturunanya tetapi dirinya sendiri.

Datuk Dr Hasan Ali pernah mempersoalkan mengapa PAS tidak mengamalkan system pemilihan Syura dalam muktamar agung sebelum ini. Bukankah telah ada sistem Islam yang lebih baik yang merupakan tauladan dan sunah Nabi? Mengapakah PAS mengikut system pemilihan pemimpin melalui demokrasi undian perwakilan ala-ala negara Barat seperti parti politik di Britain dan UMNO itu sendiri? Apakah mereka tidak yakin dengan sunah Nabi? Jadi bagaimana sekarang, bukankah itu juga sejenis konsep kafir, penjajah dan Jahiliyah? Politik suku agama suku?

Kemudian timbul beberapa kenyataan meragukan mengenai penggunaan Hukum Hudud dari sesetengah pimpinan PAS. Sebagai contoh dalam kes Saiful Bukhari yang telah menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat beliau dan telah membuat sumpah. Mengikut sesetengah pemimpin PAS cara Islam sepatutnya adalah dia perlu mengemukakan empat saksi sebagaimana dalam hukum hudud dan bukan mengangkat sumpah dengan Al-Quran. Bagi saya, katalah kes yang berasingan yang tidak melibatkan mana-mana tokoh politik, kalau begitu bermaharajalela lah perogol bukan? Mana taknya, bila masa perogol akan memperkosa mangsanya di hadapan khalayak ramai yang mana ada 4 saksi? Dan kalau ada 4 saksi pun ia boleh dijatuhkan saksi tidak sahih kerana tidak melalukan apa-apa bagi menghentikan kemungkaran itu. Bagaimana pula apabila perempuan yang telah dirogol mengandung dan tidak dapat mengemukakan 4 saksi? Adakah dia akan terjatuh hukum berzina? Keadilan apakah ini? Adakah ini Hukum Allah atau Hukum Allah yang telah dipolitikkan? Bagaimana pula dengan contoh kes Nabi Yusuf dan Zulaikha dan apakah pula hukum bagi Anwar yang kononya dulu mengangkat sumpah dengan Al-Quran di masjid negara.

 Pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu Anwar telah mengumukan yang hukum Hudud hanya akan dilaksanakan pada orang Islam sahaja dan bukan pada orang bukan islam. Bagi saya, bukankah itu juga “Politik Suku Agama Suku” dan Islam Plastik. Kalau benar-benar mempercayai akan keadilan hukum Allah yang mana ianya merupakan yang terbaik dari apa-apa rekaan manusia mengapa tidak berani melaksanakan keatas semua rakyat Malaysia, yang mana akan menjadi negara islam. Bukankah PAS cukup yakin yang

Hudud yang mereka bawa mampu membawa keadilan kepada semua kerana ianya datang dari tuhan, jadi mengapa ada sangsi dalam melaksanakan terhadap mereka yang bukan Islam? Macamana pulak nanti contoh kes berzina antara orang Islam dan Bukan Islam? Atau perompak yang mengaku dia telah keluar Islam kerana tidak mahu dipotong tangan. Itu belum masuk isu menangani murtad lagi ni. Pengasingan undang-undang ini adalah lebih kurang sama dengan yang ada sekarang bukan yang mana kita mempunyai mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Jadi tidak banyak perbezaan antara sistem baru dan sistem sekarang dan akan menimbulkan isu mahkamah yang mana satukah lebih berkuasa. Adakah ini caranya hendak melaksanakan Negara Islam sepenuhnya?

Saya keliru dan pelik dengan politik PAS baru-baru ini kerana apa yang diperkatakan dengan apa yang dibuat cukup berlawanan. Dalam ceramah memperjuangkan “Negara Islam” sejati akan tetapi dari segi tindak-tanduk pemimpin mereka di Selangor nampaknya sangat berbeza. Dulu dikatakan Selangor adalah negeri yang tidak Islamik langsung kerana mempunyai kilang Carlsberg tapi tengok apa berlaku di Shah Alam. Cakap tak serupa bikin.

Husam Musa ketika berdebat dengan Khairy Jamaluddin di Kota Bahru menuding jari ke langit dan mengatakan yang mereka tetap akan melaksanakan hukum hudud dan menggelarkan Lim Guan Eng sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Besoknya “Khalifah Umar Abdul Aziz” mengumumkan yang dia menolak hukum hudud, Husam pun terdiam sepi. Kerana kalau mengikut cadangan Zaid Ibrahim PAS akan menerajui negara ini dan memperkenalkan negara islam “sejati”, namun lihat pada tindak-tanduk PAS baru-baru ini saya berasa ramai yang sangsi mengenai perjuangan dan kebolehupayaan PAS dalam melakukan perkara ini. Banyak masaalah dari segi perlaksanaan dan tindak tanduk pemimpin mereka yang membuatkan saya cukup musykil dengan apa yang dikatakan. Selaku salah seorang Muslimin yang telah "dikafirkan" oleh “Tok Guru” saya rasa saya berhak mempersoalkan mengenai isu ini. Namun para pembaca perlu diingatkan untuk membezakan perkara yang nyata, saya bukan mempersoalkan Islam tapi apa yang saya persoalkan adalah mereka yang berpolitik menggunakan nama Islam, sewenang-wenangnya!! Ada beza antara Hukum Allah dengan menghukum atas nama Allah dan politik Islam dengan mempolitikan Islam.
Fikir-fikirkanlah.

Dipetik dari Malaysian Insider

UMNO Dan BN Sedia Hadapi Pilihanraya!


KUALA LUMPUR, 18 Nov. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sekiranya rayuan terhadap kekosongan kerusi berkenaan ditolak oleh mahkamah.

Katanya, biarpun mahkamah belum membuat keputusan berkaitan rayuan yang telah diajukan oleh Barisan Nasional (BN) tetapi tetapi jentera-jentera UMNO bersama dengan BN telah siap sedia melaksanakan tanggungjawab atas sebarang kemungkinan.
“Berdasarkan kepada perkembangan semasa dan juga sokongan dari ahli-ahli, kita yakin bahawa kita akan akan mendapat kerjasama penuh dari semua ahli sama ada di peringkat bahagian, negeri dan pusat,” tegas beliau.

Isnin lalu Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) telah mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah kosong dengan Datuk Abu Hassan Sarif bukan lagi wakil rakyat kawasan tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan dewan secara berturut-turut tanpa kebenaran speaker.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin turut memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di DUN Kota Siputeh.
Sehubungan itu, BN telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi menimbangkan kembali keputusan tersebut.

“Kita akur dengan keputusan mahkamah biarpun ia tidak memihak kepada kita, dan kita tidak akan mempertikaikannya sekiranya rayuan yang kita lakukan ditolak,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung BN.
Katanya lagi, UMNO/BN tidak pernah engkar dengan keputusan mahkamah dan menghormati setiap keputusannya dengan bersyukur sekiranya ia memihak kepada kita dan jika sebaliknya penilaian akan dilakukan dengan mengambil tauladan atas apa yang berlaku.

Beliau juga menyatakan bahawa jentera dari semua peringkat termasuklah Ibu Pejabat telah pun sedia maklum akan tugas dan tanggungjawab yang terpikul apabila menjelangnya pilihan raya kecil.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menegaskan bahawa BN tidak gentar menghadapi pilihan raya tersebut sekiranya rayuan yang dibuat ditolak.

Malahan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mohd Shafie Apdal turut memaklumkan bahawa susun atur setiap gerak jentera telah pun dibuat di semua bahagian di negeri Kedah dengan kerangka dan struktur persediaan termasuk bagi menghadapi sebarang pilihan raya kecil.


Kenapa UMNO yang dikaitkan?

Berikutan pelbagai masalah yang melanda pakatan rakyat  pada masa ini.  Pakatan rakyat juga membuat tuduhan kepada pihak lain khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN).  Kenapa perlu UMNO yang dikaitkan?


Sebelum ini para pemimpin pembangkang, termasuklah ketuanya, Anwar Ibrahim sendiri sering sahaja mewujudkan pelbagai propaganda dan provokasi terhadap UMNO.
Begitu juga dengan PAS yang turut bersekongkol membuat tuduhan hinggakan mengaitkan agama dengan sesuatu pandangan taksub khususnya dalam menghadapi pilihan raya atau melepaskan diri dari kemelut politik.

Namun UMNO tidak pernah melatah dengan sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan bukan sahaja kepada parti dan para pemimpinnya malahan ahli-ahli yang menyokong UMNO juga turut ‘dikafirkan’ lantaran idealogi politik yang berbeza.

Lantas, kini apabila PAS bersama sekutunya berdepan dengan kemelut yang sememangnya cukup rumit untuk dirungkai, seperti biasa maka alasan yang diberikan kononnya ia adalah perancangan UMNO dan BN yang sengaja mahu memporak-perandakan mereka.

Bukan itu saja, pemimpin-pemimpin kanan dalam UMNO turut dikatakan antara punca perseteruan dalam PAS dan juga pakatan pembangkang sedangkan jika dilihat dan dinilai semula ahli-ahli dalam pakatan campuran dan pemimpin tertingginya yang gemar ke ‘depan’ dan memberikan ulasan terbuka menonjolkan lagi pekung di dada.

Sesungguhnya ini bukanlah kali pertama perkara sedemikian berlaku, iaitu sikap menunding jari kepada pihak lain lantaran menutup malu yang selama ini disembunyikan.
Apa yang jelas, tindakan memburuk-burukkan BN sentiasa dilakukan oleh mereka yang sememangnya tandus dengan isu dan gagal mendapat manfaat atas apa yang mereka lakukan selama ini.

Pembangkang cuba mengalihkan perhatian rakyat yang semakin ketara menolak pakatan campuran apatah lagi sejak ditubuhkan hinggalah sekarang ini, ketiga-tiga parti terbabit tidak pernah mencapai kata sepakat malah sebaliknya tidak sunyi daripada dilanda perpecahan dan pergeseran antara pemimpinnya.

Dalam menilai tuduhan dangkal sedemikian, perlu difahami matlamat perjuangan asal parti yang sebenarnya tanpa meletakkan kepentingan dan rasionalnya apa yang dilakukan antara semua pakatan politik hari ini.
Lantaran itu, nilailah semula matlamat perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang tertulis jelas dengan asas dan tujuan perjuangannya adalah sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Perjuangan untuk memartabatkan bangsa, agama dan tanah air ini tidak pernah terhenti dan akan diteruskan walaupun generasi silih berganti dengan mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan demi untuk memastikan rakyat tidak tertindas dan negara tidak tergadai di samping agama terus dijulang.

DS Mohd Shafie Afdal - Jangan Sekat Golongan Muda Dan Profesional Sertai UMNO!



SEMPORNA, 15 Nov – Pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat diingatkan supaya tidak menyekat mana-mana golongan muda dan profesional daripada menyertai parti.

Naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pemimpin-pemimpin Umno sebaliknya perlu menggalakkan penyertaan golongan ini kerana kehadiran mereka akan membawa banyak manfaat kepada parti dan negara dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata pindaan perlembagaan Umno baru-baru ini mempermudahkan lagi permohonan mana-mana pihak menganggotai parti, di mana seseorang itu hanya perlu mendapatkan tanda tangan ketua Umno bahagian, pemuda wanita dan puteri untuk menjadi anggota.

“Jika ada sekatan yang menghalang mana-mana pihak yang nak masuk Umno di mana-mana cawangan, mereka diminta menghantar borang permohonan terus ke ibu pejabat supaya proses urusan keanggotaan dapat dipercepatkan,” katanya selepas menghadiri program bersama rakyat di sini pada hari Ahad.
Shafie berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas perdana menteri yang juga bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mendakwa ada cawangan Umno yang menyekat golongan muda daripada menyertai parti itu di peringkat cawangan.

Menurut Dr Mahathir pemimpin cawangan berkenaan berbuat demikian kerana takut kemasukan golongan muda dan profesional akan menggugat kedudukan mereka dalam parti di peringkat cawangan.
Shafie yang juga pengerusi Jawatankuasa Pendaftaran dan Penambahan Anggota Umno berkata pemimpin Umno perlu mengubah persepsi berkenaan dan memberi keutamaan kepada kepentingan parti dan negara.

Beliau seterusnya mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat golongan muda dan profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan Umno sendiri.

Menurutnya jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras menjalankan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar akan kehilangan jawatan kerana anggota akan terus menyokong mereka.

Shafie berkata satu mesyuarat Jawatankuasa Pendafataran dan Penambahan Anggota akan diadakan pada 17 Disember ini yang melibatkan wakil-wakil Umno negeri bagi membincangkan perkara mengenai usaha menambah anggota Umno.

Katanya parti itu akan cuba menarik lebih ramai golongan muda dan profesional dari sektor swasta malah anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi anggota Umno.

– BERNAMA

Taktik Kotor Bukan Cara UMNO!!!

KUALA LUMPUR, 16 Nov. – Sekali lagi UMNO menghadapi tuduhan berikutan pelbagai krisis yang melanda pakatan campuran dan pemimpin atasannya termasuklah hal berkaitan Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan isu tajaan untuk menunaikan ibadat haji dan juga perkembangan semasa di negeri-negeri tadbiran mereka.

Sebagai alternatif mengelak daripada perangkap sendiri yang ternyata makan tuan, pakatan campuran khususnya ketua pembangkangnya, Anwar Ibrahim lantang membuat tuduhan bahawa ia adalah perancangan UMNO termasuk menggunakan media massa dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari kesalahan pemimpin dalam pakatan campuran.

Lantaran itu, cerita yang tidak benar sengaja diada-adakan sebagai senjata bagi mengelirukan rakyat tempatan agar terpengaruh dengan apa yang mereka mahu; dan pastinya cerita yang ada ditambah-tambah dengan pelbagai rencah bagi menambah perisa agar lebih sedap didengar dan dan lebih mudah disebarkan.
Bukan itu sahaja, tuduhan juga dibuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas strateginya mengajak ahli-ahli UMNO bersatu dan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin; pastinya mereka memanipulasikan alternatif tersebut berikutan sedar bahawa ikatan dan kepercayaan masyarakat terhadap mereka mula rapuh.

Justeru, perlu difahami lantas bersimpati dengan apa yang dialami oleh pakatan pembangkang apabila setiap kali timbulnya krisis dan isu berkaitan mereka, tentunya mereka akan terus-terusan menggunakan taktik yang sama bagi mendapat perhatian dari penduduk tempatan.

Media alternatif yang melaporkan berita-berita semasa juga turut dipersalahkan, begitu juga SPRM sedangkan realitinya terdapat juga pemimpin dalam UMNO/BN dan ahlinya turut disiasat oleh badan tersebut ekoran beberapa kesalahan yang dilaporkan.

Sesungguhnya apa yang mampu pakatan campuran lakukan untuk membersihkan nama mereka selain daripada menunding jari kepada UMNO atas segala macam kesulitan yang melanda mereka, termasuklah kepincangan dalam pentadbiran dan kegagalan memanifestasikan janji sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Apatah lagi untuk pakatan pembangkang membicarakan soal pembangunan dan frasarana tempatan kerana telah terbukti bahawa UMNO/BN lebih banyak memberikan sumbangan berkaitan hal tersebut berbanding dengan apa yang mampu dilaksanakan oleh pakatan pembangkang.

Malahan, biarpun negeri-negeri terbabit termasuklah Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan ditadbir oleh pembangkang tetapi BN tetap memberikan bantuan, sumbangan dan pelbagai kemudahan lain sedangkan sebaliknya lihat sahaja bagaimana tindakan PAS; di Kelantan khususnya yang seringkali meminta sumbangan dari ahli-ahlinya, lantas bagaimana mungkin untuk membangunkan masyarakat tempatan jika tidak berkemampuan?

Jelas, taktik sama digunakan di sini, gagal melaksanakan tanggungjawab lantas membuat tuduhan pula dengan harapan impian untuk menjatuhkan BN tercapai.
Ini juga menjadi bukti bahawa pihak terbabit terdesak lantas menggunakan alternatif sedemikian bagi memburuk-burukkan BN dan seterusnya meraih perhatian daripada masyarakat tempatan.

Perlu difahami, sebagai sebuah parti yang menjadi tunjang kerajaan yang bertanggungjawab, UMNO bersama BN tidak perlu melaksanakan tindakan dangkal sedemikian kerana tentunya, fokus utama BN adalah kesinambungan pembangunan, pentadbiran dan kemajuan berpanjangan untuk keselesaan dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

UMNO TIDAK PERNAH GENTAR!!!




UMNO tidak gentar dengan usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memburuk-buruk peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa terbuka dengan kritikan, namun biarlah ia membina dan bertanggungjawab. “UMNO tidak gentar dengan ancaman itu dan belum mengetahui bentuk serangan yang akan dilakukan ke atas Perdana Menteri, namun kita bersedia untuk membalas balik sekiranya memerlukan.
 
“Namun, jika serangan ke atas Perdana Menteri hanya merupakan satu fitnah dan berbentuk peribadi, ini menunjukkan pembangkang di negara ini masih lagi tidak matang,” katanya mengulas usaha Anwar untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penyerahan gelanggang serba guna di kawasan Parlimen Pontian di Kampung Jawa, di sini semalam. Empat gelanggang yang diserahkan iaitu di Kampung Permatang Sepam, Pekan Benut, Pekan Kampung Jawa dan Bandar Pontian berharga RM150,000 setiap sebuah. Ahmad berkata, tindakan pem bangkang yang memburuk-burukkan imej Perdana Menteri di luar negara juga disifatkan sebagai tidak bermoral dan hanya merugikan rakyat di negara ini. “Bagi Anwar, Datuk Seri Najib merupakan halangan besar untuk beliau menjadi Perdana Menteri. 
 
Lantas dia berusaha sedaya untuk menjatuhkannya melalui serangan peribadi,” katanya. Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pembangkang tidak sewajarnya melemparkan tuduhan atau kritikan tanpa mempunyai fakta yang kukuh. “Sebagai pembangkang di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka seharusnya menyampaikan harapan dan kehendak pengundi yang telah memilih mereka. 
 
“Namun keadaan seperti itu tidak berlaku kerana mereka hanya pandai mencari kesalahan dan kelemahan kerajaan tanpa mengakui kejayaan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN,” katanya sambil meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang menguasai beberapa negeri seperti di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan contoh yang baik.
 

Taklimat Sistem SMART



Bertempat di Bangunan UMNO Perak,  satu taklimat mengenai sistem SMART telah diadakan pada jam 2.30 petang.  Peserta terdiri daripada wakil - wakil wanita dan puteri dari seluruh bahagian Negeri Perak.  Turut serta dalam taklimat tersebut ialah 2 orang pegawai sistem maklumat dari BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI PERAK. 



Ia telah disampaikan oleh 2 orang wakil dari Ibu Pejabat UMNO Malaysia.  Taklimat itu juga bertujuan untuk memudahkan semua jentera pilihanraya dan penggerak bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang.  Diharapkan, dengan taklimat yang telah diberikan jentera pilihanraya akan bertambah mantap.


Kekuatan Parti Hasil Dari Sokongan Ahli!!!



Kekuatan UMNO menjadi tunjang kepada bangsa Melayu dan masyarakat keseluruhannya dalam meneruskan perjuangan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Lantaran itu, perlu difahami bahawa UMNO berdiri teguh dan terus ampuh sehingga ke hari ini sejak 1946 bukanlah kerana parti pembangkang lemah dan terus dilanda krisis sebaliknya ia adalah hasil kesinambungan pentadbiran dan kepimpinan dengan satu semangat bersama ahli-ahlinya.

Sebagai sebuah parti yang menjadi tunjang pentadbiran negara bersama Barisan Nasional (BN), UMNO tidak mudah melatah biarpun pernah menghadapi tekanan ekoran penyusutan dari segi undi dan sokongan rakyat lantas direalitikan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 awal tahun lalu dan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kesedaran atas apa yang berlaku, perubahan dibuat secara terancang dengan penyusunan semula pentadbiran dan barisan pemimpin baru dibuat agar impak positif dapat dirasai di samping rakyat tidak terpinggir atas kemakmuran dan kemajuan yang diusahakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggariskan bahawa barisan kepimpinan atasan akan tetap bersama rakyat, bukan setakat mendengar luahan hati dan permasalahan yang ada tetapi juga menyelami apa yang tersirat agar hasrat masyarakat keseluruhannya dapat difahami dan diterjemahkan dalam pentadbiran.

Berhubung hal tersebut, hubungan antara Kerajaan dan rakyat dituntut bagi memastikan apa yang telah digariskan mampu menjadi satu aspirasi bukan sahaja kepada rakyat tetapi kesan secara langsung dalam pembentukan kerajaan dan pembangunan mapan negara selaras dengan impian mencapai negara maju.

Keseriusan para pemimpin atasan bukan hanya dapat dilihat dalam menerajui UMNO dan BN sebaliknya ia berterusan di peringkat global apabila hubungan dua hala dengan negara-negara jiran di peringkat antarabangsa terus diperkukuh.

Buktinya, dalam wilayah Asean, Datuk Seri Najib telah mengemudi Malaysia menjadi antara negara terkemuka dan strategik merentasi politik global; hubungan bersama negara tetangga dipererat sedang jalinan bersama kuasa besar terus diperkuat termasuklah geopolitik bersama China dan Amerika Syarikat.

PAS dan Bai'ah beserta buktinya!

Sana sini kita terdengar isu bai'ah atau sumpat taat setia yakni jatuh talak tiga keatas isteri jika wakil rakyat dan pemimpin PAS keluar parti masih terus berlarutan dengan pertentangan pendapat di kalangan ahlinya antara wujud atau tidak perkara sedemikian diamalkan.

Tidak cukup dengan itu, para pemimpin atasannya juga turut sama membuat penafian berhubung dengan perkara tersebut lantas menyatakan tiada amalan sedemikian dilakukan.

Hal ini dinyatakan sendiri oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat mengatakan bahawa tidak pernah mengamalkan baiah dalam parti lantas beranggapan bahawa isu tersebut hanya digembar-gemburkan oleh kalangan yang dengki dengan perkembangan parti tersebut.

Ujar beliau lagi, golongan yang dengki dengan PAS sengaja menimbulkan isu termasuklah baiah atas tujuan untuk menggugat kedudukan PAS.

Namun demikian, perlu difahami bahawa pendedahan berkaitan hal baiah ini bukan ditimbulkan oleh mana-mana pihak yang diluar PAS sebaliknya ia diperjelaskan sendiri oleh Ahli Parlimen PAS kawasan Shah Alam, Khalid Samad.

Bukan setakat itu, ia juga turut diperkukuhkan dengan beberapa kenyataan lain yang menyokong pernyataan daripada Khalid bahawa amalan baiah tersebut sememangnya wujud dan menjadi amalan dalam PAS.
Malahan dikatakan bahawa ada isteri wakil rakyat PAS yang mengigil dan menangis mendengar perkahwinan mereka diperjudikan menerusi baiah.

Lantaran itu, apa lagi yang mahu dinafikan oleh para pemimpin atasan PAS apabila pekung sudah terbuka dan terserlah kesumbangan dalam pentadbiran mereka dalam melakukan sumpah taat setia.

Biarpun Nik Aziz, waima Presidennya Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Mustafa Ali bersungguh-sungguh membuat penafian berkaitan hal tersebut, namun nasi sudah menjadi bubur dan ternyata benang basah tidak mungkin dapat ditegakkan.

Walaupun ianya masih dinafikan, kehadiran video di bawah dan gambar di Agenda Daily mungkin dapat membuktikannya!

SUA UMNO - Jangan Leka!

KUALA LUMPUR, 11 Nov. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak leka dengan matlamat perjuangan untuk terus memperkasa parti dan memastikan kekukuhan di kalangan ahli terpelihara.
Beliau berkata demikian berikutan perkembangan semasa politik tempatan yang menyaksikan banyak pergolakan dalaman melanda parti-parti politik pembangkang termasuklah sekutu dalam pakatan campuran iaitu DAP, PKR dan PAS sendiri.

“Kita jangan terlalu asyik menyaksikan pergolakan yang berlaku dalam parti lawan hinggakan kita leka untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai ahli UMNO, iaitu untuk terus berkhidmat menjalankan tugas seperti mana yang telah digariskan oleh Presiden,” katanya.

Menurut beliau, pergeseran pendapat dan pertentangan idea yang melanda pakatan pembangkang perlu diambil sebagai satu lonjakan bagi UMNO dan BN sendiri untuk terus memantapkan matlamat perjuangan.

“Sesungguhnya apa yang berlaku kepada PAS dan PKR termasuklah pertentangan pendapat dengan DAP adalah bukti bahawa idealogi mereka yang tidak selari jauh menyimpang daripada apa yang dihajatkan oleh masyarakat, dan perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam BN kerana kerajaan tahu kehendak rakyat,” tegas beliau.

Ujarnya lagi, masyarakat hari ini bijak untuk menilai mana yang benar dan mana yang palsu lantas tentunya tahu membezakan antara parti mana yang benar-benar mahukan kemajuan, kesejahteraan dan perpaduan di kalangan masyarakat berterusan.

Lantaran itu, katanya ahli-ahli UMNO dan BN perlu terus menggembling usaha bagi meningkatkan prestasi semasa dan melaksanakan amanah rakyat tanpa mempedulikan pertelingkahan dan pertentangan idealogi antara pakatan pembangkang.

“UMNO bersama dengan parti-parti kompenan dalam BN tidak pernah mengambil endah apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang apatah lagi berkaitan masalah dalaman PAS dan PKR.”

Beliau yang juga Setiausaha Agung BN berkata demikian sebagai menafikan tindakan pihak-pihak tertentu yang menuduh UMNO dan BN sebagai perancang utama dan punca kepada kekusutan yang melanda pakatan campuran termasuklah dengan mengaitkan kepada kerajaan perpaduan bersama PAS.

“Perlu diingat bahawa perpaduan adalah agenda negara dan bukan hanya matlamat terpencil untuk tujuan bagi memenangi pilihan raya seperti mana yang dibuat oleh pakatan pembangkang sebaliknya langkah kerajaan untuk menjayakan perpaduan di kalangan keseluruhan rakyat adalah satu matlamat berterusan dan meyokong setiap agenda yang memberikan kepentingan bersama,” katanya.

Dalam hal ini, beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dalam parti kompenan BN adalah bukti bahawa perpaduan sentiasa menjadi perkara teratas hinggakan tidak membataskan perbezaan agama, bangsa dan kedudukan asal sahaja kepentingan negara dan rakyat keseluruhan terpelihara.

Tegas beliau lagi, UMNO dan BN bukanlah parti yang baru setahun jagung menjadi pentadbir sebaliknya telah melaksanakan impian seluruh rakyat Malaysia dalam menerajui gagasan bersama selama lebih 52 tahun, matang menilai setiap permasalahan dan akur dengan kehendak rakyat.

“Kita sedar bahawa pembangkang akan menggunakan pelbagai cara untuk cuba merosakkan perpaduan kita agar dapat mengambil kesempatan untuk berkuasa; lantaran itulah kita jangan leka dengan apa yang mereka lakukan biarpun biasanya mereka mencipta sandiwara untuk menagih simpati rakyat.

“Kita perlu jadikan pelbagai peristiwa yang melanda negeri-negeri di bawah tadbiran pembangkang sebagai satu iktibar bagaimana janji-janji yang dilafazkan sebelum pilihan raya umum lalu gagal ditunaikan sebaliknya rakyat pula menjadi mangsa akibat kerakusan mereka mengaut keuntungan daripada pangkat dan kedudukan yang ada,” ujar beliau lagi.

Situasi semasa dalam pakatan pembangkang yang berdepan dengan masalah dalaman termasuklah PAS hinggakan terpaksa mengadakan seminar baru-baru ini ekoran kenyataan negatif pemimpin atasannya dan pertentangan idea di kalangan orang-orang penting di dalamnya.

Ini ditambah lagi dengan pergolakan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor apabila difahamkan barisan Exconya sendiri tidak berpuas hati dengan kepimpinan atasan.

Bukan itu sahaja, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga penasihat PKR sekarang ini sedang bergelut dengan pertuduhan di mahkamah berkaitan salah laku moral hinggakan beberapa kali ditangguhkan dikatakan sebagai cubaan untuk melambat-lambatkan perbicaraan.

Hal ini belum lagi dikaitkan dengan gesaan beberapa pihak yang mahukan pakatan campuran berdaftar sebagimana BN; sedangkan realitinya matlamat perjuangan atara PAS, PKR dan DAP tidak sama lantas mana mungkin untuk mereka sehaluan?

Pakatan Rakyat terbukti Pakatan Rosak!!!



Dari sehari ke sehari, bermacam-macam masalah di dalam pakatan rakyat tersebar...Apa yang selama ini cuba disembunyikan menjadi nyata dan kepincangan demi kepincangan yang berlaku dalam pakatan campuran semakin terdedah lantas melunturkan kepercayaan dan harapan rakyat.

Pastinya, ramai ahli-ahli dalam pakatan pembangkang tersebut sedar bahawa segala janji-janji yang diluahkan ketika penggabungan antara tiga parti PAS, DAP dan PKR yang bertentangan idealogi semasa mahu menghadapi pilihan raya umum lalu hanya palsau belaka.

Masa yang berlalu menjadi bukti bahawa bukan hanya tingkah laku para pemimpin atasannya malahan wakil rakyat yang diberi kepercayaan menerajui kawasan masing-masing juga turut hambar dan gagal melaksanakan tanggungjawab.

Lantaran itu, apa lagi yang mahu dilakukan selain daripada meninggalkan sahaja parti yang lebih banyak mengkhianati rakyat daripada membantu dan membina masa depan cerah.

Kesedaran masyarakat dan ahli-ahli dalam pakatan campuran semakin terserlah lantaran tindakan para pemimpin atasannya yang bukan sahaja gagal menunaikan janji malahan tidak melaksanakan amanah parti dan rakyat termasuklah sanggup menggadaikan prinsip dan idealogi asal.

Difahamkan, ekoran daripada rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan dan langkah yang diambil dalam menangani krisis dalamannya, Ketua Pemuda PAS Shah Alam, Ahmad Sayuti Basiron bertindak meletak jawatan.

Lebih buruk lagi, turut sama melakukan tindakan sedemikian malah keluar parti ialah bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis, Zainurin Yahaya bersama 200 ahlinya.

Zainurin yang juga Timbalan Ketua Bahagian PKR Padang Besar dan ahli-ahli parti itu bertindak sedemikian kerana mendapati perjuangan PKR tersebut terpesong daripada dasar utamanya.

Dikatakan juga, kira-kira 1,000 lagi penyokong PKR di negeri itu akan mengambil tindakan yang sama selepas menyedari perjuangan PKR tidak berfungsi seperti yang digambarkan di peringkat awal kononnya untuk membela nasib rakyat.

BPUNPk: Diharapkan selepas ini rakyat bijak membuat pertimbangan kerana ia yang akan menjadi penentu kepada masa depan kita...Fikirkanlah

Ke arah menjadi juara rakyat...




YAB DS Najib Tun Razak mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bangun menjadi juara rakyat atau bersedia menghadapi nasib yang pernah menimpa parti tersohor Jepun, LDP yang tersungkur di tangan rakyat negara itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, LDP yang pernah memerintah Jepun selama lebih 50 tahun dan merintis kemerdekaan negara matahari terbit itu jatuh kerana mereka melupakan rakyat.

"Rakyat muak dengan parti yang tidak bekerja untuk rakyat, yang mengutamakan konkrit (membina bangunan) dan kontrak. "Oleh itu, kita mesti menjadikan BN parti yang bukan sahaja dilihat sebagai juara rakyat, tetapi bertindak menjuarai (nasib) rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong;. Najib berkata, beliau menggunakan contoh LDP kerana parti Jepun itu mempunyai banyak persamaan dengan UMNO dari segi peranan mendapat kemerdekaan negara, perjuangan mengisi kemerdekaan serta tempoh pemerintahan.

"Saya baru-baru ini ada berjumpa dengan Perdana Menteri baru Jepun, Yukio Hotoyama dan bertanya dengannya bagaimana partinya mampu menundukkan LDP yang telah lama berkuasa. "Jawapan dia amat mudah, LDP jatuh sebab parti itu hilang sentuhan dengan rakyatnya," katanya.

Justeru, Najib berkata, kejatuhan parti LDP Jepun harus diambil iktibar dan semua parti komponen BN harus kembali kepada idea asal BN untuk memenangi hati rakyat dengan memberikan perkhidmatan terbaik. Katanya lagi, parti komponen BN pada masa ini harus meletakkan komitmen yang tinggi untuk memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Beliau menambah semangat sukarela harus disegar dan pertingkatkan semula kerana ia merupakan resipi kejayaan pada masa lalu. Perdana Menteri seterusnya menarik perhatian mengenai pengorbanan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO dulu yang sanggup menyerahkan barang kemas masing-masing bagi mengumpul wang membolehkan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pergi ke London membincangkan kemerdekaan negara.

Najib memberitahu, beliau yakin sekiranya semua parti komponen dapat memberikan perubahan yang bermakna kepada rakyat, BN mampu memenangi pilihan raya akan datang. Malah, katanya, jika rakyat sentiasa diutamakan, adalah tidak mustahil BN akan direkodkan dalam sejarah dunia sebagai parti paling lama memerintah. Beliau menambah, kekalahan BN di beberapa negeri pada pilihan raya umum lalu harus dijadikan pengajaran berguna.

Beliau juga menambah bahawa, kekalahan BN "Ia bukanlah kerana pembangkang kuat, tetapi kerana kita lemah. Ia bukanlah kerana pembangkang popular, tetapi kerana kita menjadi kurang popular," katanya.

PAS dan Seminarnya!!!



Seminar Khas PAS yang berlangsung semalam membuktikan kekaburan masa depannya apabila ramai dikalangan ahlinya menunjukkan rasa keliru atas pendirian pucuk pimpinan termasuklah Presidennya, Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Nik Aziz.

Apa yang pasti, hasil daripada seminar yang kononnya diadakan bagi memperkasakan parti PAS yang semakin suram dan tenggelam ini bagaikan membuka pekung di dada bahawa impian untuk bergabung secara rasmi dalam pakatan pembangkang tidak direstui semua pemimpin PAS.

Menerusi seminar ini ternyata ketidakpuasan hati yang selama ini cuba disembunyikan terluah juga lantas mempertikaikan kerjasama politik yang dilakukan oleh PAS bersama DAP dan PKR.

Ada perwakilan lantang mempertikaikan hala tuju PAS dan mahukan pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu, selain gesaan terhadap pucuk pimpinan agar tidak mengenepikan idealogi semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Biarpun pada akhir seminar tersebut, PAS menetapkan lima resolusi sebagai matlamat parti tapi yang jelas bahawa antara resolusi tersebut secara tidak langsung mendedahkan bahawa sokongan golongan muda terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang semakin tenggelam.

Antara lain, PAS mahu meningkatkan kempennya yang bertemakan ‘PAS Untuk Semua’, iaitu tema yang digunakan selepas membentuk gabungan dengan DAP dan PKR sedangkan idealogi asal iaitu sebuah negara Islam langsung tidak disebutkan.

Sesungguhnya biarpun seminar tersebut diadakan bagi membingkan isu-isu dalamannya tetapi PAS masih lagi mahu ‘menjaga hati’ DAP dan PKR lantas pandangan untuk menegakkan perjuangan Islam tidak disebut kerana sudah pasti ia tidak diterima oleh DAP dan PKR.

Seminar tersebut diadakan ekoran polemik dalaman daripada pertentangan pendapat antara Hadi dan Nik Aziz lantas Nik Aziz mahukan Muktamar Khas (EGM) dibuat bagi menukar beberapa pemimpin parti itu yang bermasalah; bagi membersihkan parti daripada golongan prokerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO yang bertentangan keputusan Muktamar PAS Jun lalu.

Antara pemimpin yang disebut dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Bagaimanapun pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat 28 Oktober lalu memutuskan untuk tidak mengadakan EGM sebaliknya parti itu akan mengadakan seminar politik bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan part

Permohonan didengar panel 11 hakim ditolak

Permohonan Nizar Jamaluddin supaya rayuannya membantah perlantikan Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata ia diputuskan sebulat suara dan tiada perintah dibuat mengenai kosnya.

Keputusan rayuan Nizar, akan menentukan masa depan Pakatan Rakyat Perak yang ditumbangkan Februari lalu selepas beberapa wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).Ia juga bukan sahaja akan menentukan Menteri Besar Perak yang sah tetapi juga akan menjadi duluan bagi kes-kes yang serupa pada masa depan.

Panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.

Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.

Kerajaan Perpaduan Penuhi Tuntutan Agama, Bukan Politik: Kata Najib

UMNO sanggup bekerjasama dengan Pas ke arah membentuk kerajaan perpaduan bagi memenuhi tuntutan agama dan bukan berdasarkan politik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata idea kerajaan perpaduan merupakan perkara yang baik dan justeru itu, Umno sanggup mengadakan rundingan itu dengan Pas.

“Kita mempunyai pendirian jelas bahawa asalkan untuk kebaikan, kita sanggup mengadakan rundingan. Ia bukan semestinya kita terikat tangan atas apa-apa persetujuan.

“Kita hendak cari sesuatu yang baik…sesuatu yang baik adalah tuntutan agama. Umno membuat sesuatu itu bukan berdasarkan politik tetapi tuntutan agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Najib diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lepas bahawa isu kerajaan perpaduan mahu pun cadangan bekerjasama dengan Umno “tidak lagi wujud dalam kamus” Pas.

Abdul Hadi juga berkata cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan dikemukakan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Mengenai kenyataan Abdul Hadi yang beliau tidak tahu sikap pemimpin Umno sekarang berhubung idea kerajaan perpaduan itu, Najib berkata pendirian Umno jelas iaitu jika sesuatu perkara itu memberi kebaikan, ia sanggup mengadakan rundingan dengan Pas.

“Saya tidak tahu apa pendirian Pas sebenar. Kalau nak jelas (mengenai perkara itu), kena tanya mereka (pemimpin Pas),” kata Perdana Menteri

Kelantan Dapat Wang Ehsan Minyak

Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantarkan surat kepada Perdana Menteri mengenai tuntutan bayaran royalti 5 peratus, yang berjumlah RM1 bilion, hasil petroleum dan gas cecair di perairan Kelantan.

Kerajaan negeri membuat tuntutan itu tahun ini setelah mengetahuinya melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 sehingga kini.

UMNO Sememangnya Bersikap Telus dan Terbuka

KUALA LUMPUR, 3 Nov. – Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun telah menyampaikan ucaptama dalam seminar antarabangsa “Freedom Of Information Conference 2009 – Public Right To Information: Benefits, Implementation And Challenges”.

Seminar yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini iaitu 3 – 4 November 2009, diadakan di Hotel Royale Chulan, anjuran bersama antara Transparency International – Malaysia dan Konrad Adenauer Stiftung.

Dengan penglibatan Datuk Hafarizam dalam seminar sedemikian terbukti bahawa UMNO sentiasa bersikap telus dan terbuka khususnya dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak.

Dalam masa yang sama, ia juga menunjukkan UMNO sentiasa sedia berdepan dan berinteraksi dengan semua pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat umum dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri dari kalangan pembangkang sekalipun.

Ke arah 1 Malaysia - Tanggungjawab perlu dilaksanakan!!!



KUALA LUMPUR, 2 Nov. – Sejajar dengan matlamat untuk menjayakan gagasan 1Malaysia, UMNO seiring dengan parti-parti kompenan dalam Barisan Nasional (BN) melaksanakan tanggungjawab tanpa mempedulikan hal-hal remeh yang seringkali dilakukan oleh segelintir pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengulangi sekali lagi dalam ucapan beliau semasa perasmian Persidangan Perwakilan Nasional 2009 Parti Gerakan semalam bahawa UMNO adalah parti yang adil dan bertanggungjawab daripada mula lagi; bersifat inklusif, terbuka, demokratik dan amat menghargai kepentingan masyarakat berbilang kaum. Lantaran itu, UMNO/BN menerima kenyataan dan berpegang teguh kepada kebenaran.
Kenyataannya ialah Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang masyarakatnya sanggup bekerjasama asal sahaja perjuangan mereka tidak bertentangan dengan kepentingan Negara dan perjuangan UMNO.
Rakyat inginkan supaya Negara ini stabil dari segi politik, ekonomi dan sosial serta dalam Negara majmuk tidak ada sesuatu yang lebih berkesan dalam menentukan kestabilan daripada bekerjasama antara semua kaum dengan perpaduan dan toleransi menjadi amalan.
Lantaran itu, biar apapun helah pakatan pembangkang dalam cubaan mereka untuk memperoleh kedudukan, pangkat dan kuasa, UMNO/BN tidak pernah terperangkap dan termakan mana-mana agenda mereka malahan fokus utama ke arah kemajuan dan kesejahteraan negara tetap menjadi teras utama.

Bajet 2010 Perak - Bajet untuk kesejahteraan rakyat

Merujuk kepada bajet sulung Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang diluluskan oleh sidang DUN Perak tempohari dapat disimpulkan bahawa ianya merupakan strategi untuk menangani permasalahan rakyat yang melibatkan semua kaum terutama golongan yang memerlukan perhatian kerajaan.

Bajet 2010 itu juga memperlihatkan usaha serius kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional meneruskan agendanya memelihara kesejahteraan rakyat semua kaum sesuai dengan konsep 1 Malaysia dengan sejumlah besar diperuntukkan bagi perbelanjaan membela rakyat.

Antaranya adalah kenaikan elaun bulanan 3,120 guru KAFA dari RM75 kepada RM200 dengan jumlah peruntukan RM4.68 juta.

Turut mendapat manfaat adalah 2,498 bilal dan siak yang akan menikmati elaun bulanan berbanding hanya bonus tahunan sahaja sebelum ini melibatkan peruntukan sebanyak RM5.99 juta.

Bagi membela nasib golongan warga emas, ibu dan bapa tunggal, golongan miskin dan miskin tegar serta orang kurang upaya, kerajaan negeri telah memperkenalkan skim insuran perlindungan Takaful berkonsepkan Tabaruk dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.

Bajet 2010 juga memperlihatkan Perak menjadi negeri pertama mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri dengan dana permulaan sebanyak RM2 juta di mana setiap anak Perak yang baru lahir layak menerima insentif berupa simpanan pendidikan berjumlah RM200 seorang.

Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menikmati kenaikan elauan bulanan berikutan tindakan kerajaan negeri menambah peruntukan kepada jabatan dari RM14.5 juta kepada RM16.5 juta.

Kebajikan rakyat bukan beragama Islam juga tidak diabaikan dengan penambahan peruntukan untuk Hal Ehwal Bukan Islam daripada RM2 juta kepada RM3.5 juta dengan RM500,000 diperuntukkan khas kepada kaum Sikh.

Ini merupakan kali pertama kaum Sikh mendapat peruntukan khas sebagai tanda penghargaan dari kerajaan negeri terhadap sumbangan kaum tersebut.

Menyedari Perak sebagai negeri dengan jumlah penduduk Orang Asli tertinggi negara, kerajaan negeri mendapati perlu adanya pengiktirafan terhadap masyarakat ini dengan memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan menyemarakkan lagi aktiviti sosio-budaya Orang Asli.

Bagi mengubah nasib keluarga miskin tegar melibatkan kaum India, kerajaan negeri telah menubuhkan Tabung Khas Pendidikan Anak-Anak Kaum India bertujuan memberi peluang anak-anak ini meneruskan pendidikan supaya dapat membantu keluarga keluar dari kepompong kemiskinan.

Di bawah tujuan ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi dana itu yang dikelolakan oleh Yayasan Perak.

Prihatin dengan masalah pengurusan sekolah-sekolah persendirian Cina (SUWA), kerajaan negeri akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM400,00 setahun kepada setiap sembilan sekolah SUWA mulai tahun hadapan melibatkan peruntukan RM3.6 juta.

Tidak ketinggalan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil di mana kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menampung sebahagian daripada perbelanjaan utiliti dan air sekolah berkenaan mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Bagi sekolah-sekolah Agama Rakyat pula, kerajaan negeri memperuntukan RM1 juta bagi tujuan menampung perbelanjaan membayar elaun guru-guru yang mengajar subjek agama dan Al-Quran.

Bagi tujuan meningkatkan syiar Islam, sebuah sekolah Mahad Tahfiz akan dibina di setiap daerah bermula tahun hadapan.

Sumbang bakti oleh Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk orang Islam juga tidak dilupakan dengan persetujuan kerajaan negeri menambah bilangan kurniaan menunaikan Fardu Haji daripada lima kepada 10 orang, kemudahan hospital kelas dua percuma dan menaikkan bayaran sagu hati tahunan kepada RM2,000.

Bagi menggalakkan golongan belia menjadi modal insan dengan memiliki nilai sosial dan jati diri yang sempurna serta semangat patriotik dan persefahaman antara kaum yang tinggi, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menganjurkan Sukan Muda Muhibah 1Malaysia di setiap kawasan parlimen.

Mengulas Bajet 2010, Zambry berkata setiap peruntukan yang dibuat itu bertujuan memberi bantuan terus kepada rakyat.

"Ianya adalah bajet rakyat. Tujuan kita adalah bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas selesai sidang DUN hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan beliau juga akan meneruskan agenda membasmi kemiskinan dan menyediakan bantuan rumah kepada golongan yang amat memerlukan.

"Di bawah skim membasmi kemiskinan ini, kita wujudkan dana dengan modal RM4 juta bagi membantu menaikkan ekonomi keluarga miskin di Perak," katanya.

Selain manfaat untuk rakyat jelata, Zambry berkata kerajaan negeri juga ingin mengiktiraf sumbangan kakitangan awam dengan menyediakan perkhidmatan taska percuma membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi tujuan membina taska di setiap pejabat daerah.

Seramai 600 pemandu kakitangan awam juga menikmati insuran kemalangan diri mulai tahun depan selain daripada pembayaran ex-gratia yang telah ditetapkan, katanya.