Pergerakan Pemuda UMNO Perak - serah rakyat untuk nilai...



IPOH - Pergerakan Pemuda UMNO menyerahkan kepada rakyat terutama Melayu dan beragama Islam untuk membuat penilaian siapa yang biadab serta memulakan isu berbaur perkauman terlebih dahulu. Naib Ketua Pemuda UMNO Simpang Empat Hutan Melintang, Mohd Najib Mohd Mokhtar berkata, dalam kenyataannya baru-baru ini, beliau hanya meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut meminta maaf berhubung isu pemimpin itu memijak gambar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

Katanya, tidak cukup dengan sekadar mereka mewakilkan kepada Setiausaha DAP, Nga Kor Ming untuk meminta maaf kepada orang Melayu dan Islam di atas perbuatan biadabnya, sebab itu beliau mahu kedua-duanya turut berbuat demikian. “Adakah apa yang saya minta itu dikatakan biadab dan cuba membangkitkan isu perkauman. Ini memang tuduhan tidak masuk akal. Mereka yang mula melakukan perbuatan biadab, kurang ajar dan berbaur perkauman, mereka menuding jari kepada Pemuda UMNO. “Beginilah perangai pembangkang dari dulu, kini dan akan berterusan untuk selama-lamanya. Mereka lakukan kesilapan dan apabila mendapat kecaman dan kutukan daripada rakyat, mereka cuba mengalih perhatian dengan meletakkan kesalahan itu kepada UMNO,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha DAP Ipoh Barat, P Sugumaran yang meminta UMNO jangan membangkitkan sentimen perkauman dalam isu memijak gambar ADUN Bebas pada konvensyen DAP Ahad lalu. Dalam kenyataan itu, Sugumaran dilaporkan berkata, kenyataan Mohd Najib yang meminta Kit Siang dan Guan Eng meminta maaf mengenai isu berkenaan boleh dianggap sebagai permintaan tidak masuk akal.

Mohd Najib berkata, soal tidak masuk akal atau sebaliknya tidak lagi berbangkit kerana beliau mendapat tahu Kit Siang sudah pun meminta maaf dan melahirkan rasa kesal dengan perbuatannya itu. “Kita anggap isu ini sudah selesai dan berharap mana-mana pemimpin dari pakatan pembangkang tidak lagi mengulangi perbuatan sama, yang menyentuh sensitiviti orang Islam dan Melayu sebagaimana mereka lakukan sebelum ini. “Pemuda UMNO tidak kisah kalau pemimpin pembangkang benci kepada UMNO, tetapi kaedah untuk menzahirkan kebencian itu harus dilakukan secara matang, bukan kebudak-budakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment