Kenapa UMNO yang dikaitkan?

Berikutan pelbagai masalah yang melanda pakatan rakyat  pada masa ini.  Pakatan rakyat juga membuat tuduhan kepada pihak lain khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN).  Kenapa perlu UMNO yang dikaitkan?


Sebelum ini para pemimpin pembangkang, termasuklah ketuanya, Anwar Ibrahim sendiri sering sahaja mewujudkan pelbagai propaganda dan provokasi terhadap UMNO.
Begitu juga dengan PAS yang turut bersekongkol membuat tuduhan hinggakan mengaitkan agama dengan sesuatu pandangan taksub khususnya dalam menghadapi pilihan raya atau melepaskan diri dari kemelut politik.

Namun UMNO tidak pernah melatah dengan sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan bukan sahaja kepada parti dan para pemimpinnya malahan ahli-ahli yang menyokong UMNO juga turut ‘dikafirkan’ lantaran idealogi politik yang berbeza.

Lantas, kini apabila PAS bersama sekutunya berdepan dengan kemelut yang sememangnya cukup rumit untuk dirungkai, seperti biasa maka alasan yang diberikan kononnya ia adalah perancangan UMNO dan BN yang sengaja mahu memporak-perandakan mereka.

Bukan itu saja, pemimpin-pemimpin kanan dalam UMNO turut dikatakan antara punca perseteruan dalam PAS dan juga pakatan pembangkang sedangkan jika dilihat dan dinilai semula ahli-ahli dalam pakatan campuran dan pemimpin tertingginya yang gemar ke ‘depan’ dan memberikan ulasan terbuka menonjolkan lagi pekung di dada.

Sesungguhnya ini bukanlah kali pertama perkara sedemikian berlaku, iaitu sikap menunding jari kepada pihak lain lantaran menutup malu yang selama ini disembunyikan.
Apa yang jelas, tindakan memburuk-burukkan BN sentiasa dilakukan oleh mereka yang sememangnya tandus dengan isu dan gagal mendapat manfaat atas apa yang mereka lakukan selama ini.

Pembangkang cuba mengalihkan perhatian rakyat yang semakin ketara menolak pakatan campuran apatah lagi sejak ditubuhkan hinggalah sekarang ini, ketiga-tiga parti terbabit tidak pernah mencapai kata sepakat malah sebaliknya tidak sunyi daripada dilanda perpecahan dan pergeseran antara pemimpinnya.

Dalam menilai tuduhan dangkal sedemikian, perlu difahami matlamat perjuangan asal parti yang sebenarnya tanpa meletakkan kepentingan dan rasionalnya apa yang dilakukan antara semua pakatan politik hari ini.
Lantaran itu, nilailah semula matlamat perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang tertulis jelas dengan asas dan tujuan perjuangannya adalah sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Perjuangan untuk memartabatkan bangsa, agama dan tanah air ini tidak pernah terhenti dan akan diteruskan walaupun generasi silih berganti dengan mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan demi untuk memastikan rakyat tidak tertindas dan negara tidak tergadai di samping agama terus dijulang.

No comments:

Post a Comment