Bajet 2010 Perak - Bajet untuk kesejahteraan rakyat

Merujuk kepada bajet sulung Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang diluluskan oleh sidang DUN Perak tempohari dapat disimpulkan bahawa ianya merupakan strategi untuk menangani permasalahan rakyat yang melibatkan semua kaum terutama golongan yang memerlukan perhatian kerajaan.

Bajet 2010 itu juga memperlihatkan usaha serius kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional meneruskan agendanya memelihara kesejahteraan rakyat semua kaum sesuai dengan konsep 1 Malaysia dengan sejumlah besar diperuntukkan bagi perbelanjaan membela rakyat.

Antaranya adalah kenaikan elaun bulanan 3,120 guru KAFA dari RM75 kepada RM200 dengan jumlah peruntukan RM4.68 juta.

Turut mendapat manfaat adalah 2,498 bilal dan siak yang akan menikmati elaun bulanan berbanding hanya bonus tahunan sahaja sebelum ini melibatkan peruntukan sebanyak RM5.99 juta.

Bagi membela nasib golongan warga emas, ibu dan bapa tunggal, golongan miskin dan miskin tegar serta orang kurang upaya, kerajaan negeri telah memperkenalkan skim insuran perlindungan Takaful berkonsepkan Tabaruk dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.

Bajet 2010 juga memperlihatkan Perak menjadi negeri pertama mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri dengan dana permulaan sebanyak RM2 juta di mana setiap anak Perak yang baru lahir layak menerima insentif berupa simpanan pendidikan berjumlah RM200 seorang.

Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menikmati kenaikan elauan bulanan berikutan tindakan kerajaan negeri menambah peruntukan kepada jabatan dari RM14.5 juta kepada RM16.5 juta.

Kebajikan rakyat bukan beragama Islam juga tidak diabaikan dengan penambahan peruntukan untuk Hal Ehwal Bukan Islam daripada RM2 juta kepada RM3.5 juta dengan RM500,000 diperuntukkan khas kepada kaum Sikh.

Ini merupakan kali pertama kaum Sikh mendapat peruntukan khas sebagai tanda penghargaan dari kerajaan negeri terhadap sumbangan kaum tersebut.

Menyedari Perak sebagai negeri dengan jumlah penduduk Orang Asli tertinggi negara, kerajaan negeri mendapati perlu adanya pengiktirafan terhadap masyarakat ini dengan memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan menyemarakkan lagi aktiviti sosio-budaya Orang Asli.

Bagi mengubah nasib keluarga miskin tegar melibatkan kaum India, kerajaan negeri telah menubuhkan Tabung Khas Pendidikan Anak-Anak Kaum India bertujuan memberi peluang anak-anak ini meneruskan pendidikan supaya dapat membantu keluarga keluar dari kepompong kemiskinan.

Di bawah tujuan ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi dana itu yang dikelolakan oleh Yayasan Perak.

Prihatin dengan masalah pengurusan sekolah-sekolah persendirian Cina (SUWA), kerajaan negeri akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM400,00 setahun kepada setiap sembilan sekolah SUWA mulai tahun hadapan melibatkan peruntukan RM3.6 juta.

Tidak ketinggalan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil di mana kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menampung sebahagian daripada perbelanjaan utiliti dan air sekolah berkenaan mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Bagi sekolah-sekolah Agama Rakyat pula, kerajaan negeri memperuntukan RM1 juta bagi tujuan menampung perbelanjaan membayar elaun guru-guru yang mengajar subjek agama dan Al-Quran.

Bagi tujuan meningkatkan syiar Islam, sebuah sekolah Mahad Tahfiz akan dibina di setiap daerah bermula tahun hadapan.

Sumbang bakti oleh Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk orang Islam juga tidak dilupakan dengan persetujuan kerajaan negeri menambah bilangan kurniaan menunaikan Fardu Haji daripada lima kepada 10 orang, kemudahan hospital kelas dua percuma dan menaikkan bayaran sagu hati tahunan kepada RM2,000.

Bagi menggalakkan golongan belia menjadi modal insan dengan memiliki nilai sosial dan jati diri yang sempurna serta semangat patriotik dan persefahaman antara kaum yang tinggi, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menganjurkan Sukan Muda Muhibah 1Malaysia di setiap kawasan parlimen.

Mengulas Bajet 2010, Zambry berkata setiap peruntukan yang dibuat itu bertujuan memberi bantuan terus kepada rakyat.

"Ianya adalah bajet rakyat. Tujuan kita adalah bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas selesai sidang DUN hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan beliau juga akan meneruskan agenda membasmi kemiskinan dan menyediakan bantuan rumah kepada golongan yang amat memerlukan.

"Di bawah skim membasmi kemiskinan ini, kita wujudkan dana dengan modal RM4 juta bagi membantu menaikkan ekonomi keluarga miskin di Perak," katanya.

Selain manfaat untuk rakyat jelata, Zambry berkata kerajaan negeri juga ingin mengiktiraf sumbangan kakitangan awam dengan menyediakan perkhidmatan taska percuma membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi tujuan membina taska di setiap pejabat daerah.

Seramai 600 pemandu kakitangan awam juga menikmati insuran kemalangan diri mulai tahun depan selain daripada pembayaran ex-gratia yang telah ditetapkan, katanya.

No comments:

Post a Comment