Ke arah menjadi juara rakyat...




YAB DS Najib Tun Razak mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bangun menjadi juara rakyat atau bersedia menghadapi nasib yang pernah menimpa parti tersohor Jepun, LDP yang tersungkur di tangan rakyat negara itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, LDP yang pernah memerintah Jepun selama lebih 50 tahun dan merintis kemerdekaan negara matahari terbit itu jatuh kerana mereka melupakan rakyat.

"Rakyat muak dengan parti yang tidak bekerja untuk rakyat, yang mengutamakan konkrit (membina bangunan) dan kontrak. "Oleh itu, kita mesti menjadikan BN parti yang bukan sahaja dilihat sebagai juara rakyat, tetapi bertindak menjuarai (nasib) rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong;. Najib berkata, beliau menggunakan contoh LDP kerana parti Jepun itu mempunyai banyak persamaan dengan UMNO dari segi peranan mendapat kemerdekaan negara, perjuangan mengisi kemerdekaan serta tempoh pemerintahan.

"Saya baru-baru ini ada berjumpa dengan Perdana Menteri baru Jepun, Yukio Hotoyama dan bertanya dengannya bagaimana partinya mampu menundukkan LDP yang telah lama berkuasa. "Jawapan dia amat mudah, LDP jatuh sebab parti itu hilang sentuhan dengan rakyatnya," katanya.

Justeru, Najib berkata, kejatuhan parti LDP Jepun harus diambil iktibar dan semua parti komponen BN harus kembali kepada idea asal BN untuk memenangi hati rakyat dengan memberikan perkhidmatan terbaik. Katanya lagi, parti komponen BN pada masa ini harus meletakkan komitmen yang tinggi untuk memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Beliau menambah semangat sukarela harus disegar dan pertingkatkan semula kerana ia merupakan resipi kejayaan pada masa lalu. Perdana Menteri seterusnya menarik perhatian mengenai pengorbanan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO dulu yang sanggup menyerahkan barang kemas masing-masing bagi mengumpul wang membolehkan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pergi ke London membincangkan kemerdekaan negara.

Najib memberitahu, beliau yakin sekiranya semua parti komponen dapat memberikan perubahan yang bermakna kepada rakyat, BN mampu memenangi pilihan raya akan datang. Malah, katanya, jika rakyat sentiasa diutamakan, adalah tidak mustahil BN akan direkodkan dalam sejarah dunia sebagai parti paling lama memerintah. Beliau menambah, kekalahan BN di beberapa negeri pada pilihan raya umum lalu harus dijadikan pengajaran berguna.

Beliau juga menambah bahawa, kekalahan BN "Ia bukanlah kerana pembangkang kuat, tetapi kerana kita lemah. Ia bukanlah kerana pembangkang popular, tetapi kerana kita menjadi kurang popular," katanya.

No comments:

Post a Comment