Bajet Untuk Yayasan Perak ditambah

IPOH – Kerajaan Negeri sedia menyumbang RM10 juta daripada bajet 2010 kepada Yayasan Perak bagi membantu bidang mempertingkatkan bidang akademik di negeri ini. Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, biarpun mengalami defisit sebanyak 23.8% pada bajet 2010, Kerajaan Negeri bersedia menyumbang sejumlah peruntukan bagi mempertingkatkan bidang akademik di negeri ini demi menjamin rakyat menerima pendidikan yang lebih baik.

Menurutnya, peruntukan berkenaan diharap dapat membantu para pelajar khususnya dari segi pembelajaran mereka. “Dermasiswa berkenaan adalah satu usaha daripada pihak Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan pelajar di negeri ini mendapat pembelajaran terbaik demi menjamin masa depan sekali gus membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan. “Ianya sekali gus memberi petanda positif bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik para pelajar berkenaan dapat membantu memajukan negeri ini suatu hari nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Dermasiswa Negeri Perak, di sini semalam. Hadir sama pada Majlis Penyampaian Dermasiswa itu, Pengurus Besar Yayasan Perak, Abdul Jamil Mat Kasa.

Difahamkan, seramai 115 pelajar yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini hadir bagi menerima dermasiswa berkenaan. Sementara itu, golongan pelajar juga digalakkan agar melibatkan diri dengan pelbagai badan sukarelawan selain membantu melaksanakan pelbagai aktiviti sukarela yang dibuat. Katanya, ianya bakal mewujudkan semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar dan sekali gus dapat melahirkan modal insan dan mewujudkan generasi minda kelas pertama di negeri ini. “Semoga pembentukan generasi minda kelas pertama ini menjadi realiti di masa hadapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment