PAS DAN NEGARA ISLAM

NOV 18 — PAS merupakan parti pembangkang yang terbesar dalam arena politik Malaysia, walaupun mempunyai jumlah kerusi yang paling kurang di dalam Parlimen dan nampak seolah-olah terpinggir dari segi kepimpinan dalam Pakatan Rakyat. Suka atau tidak kita perlu akui yang PAS merupakan parti yang mempunyai ahli terbanyak dan mempunyai kedudukan keuwangan yang paling mantap.

Dari segi keutuhan parti, tidak seperti rakan mereka PKR dan DAP, belum ada satu pun ADUN PAS yang melompat parti kerana kecekalan mereka membuat bai’ah. ADUN PAS lebih mana sanggup menceraikan isteri mereka talak tiga dari mengkhianati parti, begitulah dapat kita gambarkan keutuhan perjuangan mereka.

Malah kehebatan jentera mereka ternampak jelas apabila diadakan perhimpunan atau demonstrasi jalanan yang mana sebahagian besar datang darinya adalah dari ahli atau penyokong PAS dan sangat kecil dari datang dari rakan-rakan PR.

Atas kehebatan inilah sering diperkatakan yang PAS hendaklah berusaha untuk menjadi pengganti kepada Umno dalam usaha Pakatan Rakyat dalam mengambil alih kerajaan persekutuan. Selalu kita dengar yang mana pemimpin PAS menolak kerajaan perpaduan kerana bukan penggabungan yang dimahukan akan tetapi penggantian. Barangkali atas sebab itulah Datuk Zaid Ibrahim telah mencadangkan Murshidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai pengerusi Pakatan Rakyat kerana diharap mengganti UMNO dan Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi Barisan Nasional. Dapat kita lihat bahawa PAS adalah tunjang utama dalam Pakatan Rakyat kerana selaku pengerusi PR, sama seperti pengerusi BN pastilah pemimpin mereka yang akan memegang jawatan Perdana Menteri.

Perkara pokok yang membezakan antara UMNO dan PAS ialah perjuangan PAS yang mahukan negara Islam mengikut takrifan mereka. Bagi mereka konsep negara Islam yang dibawa UMNO adalah tidak lengkap, palsu atau plastik dan ini dapat kita lihat dengan jelas apabila Nik Aziz pernah menyebut dalam salah satu siri ceramahnya:
‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh Umno ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa Umno.”

Sidang Akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos 2009.
Malah kenyataan ini dapat kita lihat dengan jelas lagi dalam salah satu lagi siri ucapan Presiden PAS Datuk Hadi Awang yang lebih dikenali sebagai amanat Haji Hadi:
“Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
“Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.” — Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Dapat kita lihat di sini yang mana UMNO telah dianggap kafir kerana parti itu tidak menerima sepenuhnya kepimpinan Islam dan saya agak dari itu apa yang dimaksudkan adalah hukum Hudud, ini dapat disimpulkan dengan takrifan “Politik Suku, Agama Suku”. Kalau dari segi ideologi, sebenarnya PAS dan UMNO tidak mempunyai banyak perbezaan. Perbezaan utama yang dapat kita lihat adalah isu Hukum Hudud yang mana bagi PAS, UMNO itu dikatakan menolak Islam kerana tidak mengamalkan Islam sepenuhnya seperti mana Hadi menyebut "mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah".

Saya tidak berapa bersetuju dengan takrifan negara Islam oleh PAS. Mengikut sesetengah pandangan, Hukum Hudud walaupun disebut di dalam Quran, terjatuh kepada kebijaksanaan pemerintah untuk melaksanakanya atau tidak. Malah ada yang mengatakan Hukum Hudud adalah hanya sebahagian kecil dari konsep negara Islam secara keseluruhan. Namun saya bukan ulamak yang boleh menentukan hukum, saya menyerahkan kepada mereka yang merupakan yang merupakan ahli. Sebagai salah seorang yang telah “dikafirkan” saya berasa saya ada hak untuk mempersoal tentang hal ini, bukan mempersoal hukum Allah akan tetapi mempersoal mereka yang menjatuhkan hukum atas nama Allah.

Sebagai contoh, Hadi ada menyatakan “Politik Suku, Agama Suku” kerana UMNO tidak melaksanakan Islam sepenuhnya, jadi saya pun terfikir sejenak. Bukankah PAS juga tidak melaksanakan sistem Islam sepenuhnya. Seingat saya ketika pemerintahan Nabi Muhammad (s.a.w) antara perkara yang menjadi asas pemerintahan beliau adalah Piagam Madinah, Hukum Hudud dan Syura. Islam telah menolak konsep monarki kerana nasib seseorang itu bukan bergantung atas keturunanya tetapi dirinya sendiri.

Datuk Dr Hasan Ali pernah mempersoalkan mengapa PAS tidak mengamalkan system pemilihan Syura dalam muktamar agung sebelum ini. Bukankah telah ada sistem Islam yang lebih baik yang merupakan tauladan dan sunah Nabi? Mengapakah PAS mengikut system pemilihan pemimpin melalui demokrasi undian perwakilan ala-ala negara Barat seperti parti politik di Britain dan UMNO itu sendiri? Apakah mereka tidak yakin dengan sunah Nabi? Jadi bagaimana sekarang, bukankah itu juga sejenis konsep kafir, penjajah dan Jahiliyah? Politik suku agama suku?

Kemudian timbul beberapa kenyataan meragukan mengenai penggunaan Hukum Hudud dari sesetengah pimpinan PAS. Sebagai contoh dalam kes Saiful Bukhari yang telah menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat beliau dan telah membuat sumpah. Mengikut sesetengah pemimpin PAS cara Islam sepatutnya adalah dia perlu mengemukakan empat saksi sebagaimana dalam hukum hudud dan bukan mengangkat sumpah dengan Al-Quran. Bagi saya, katalah kes yang berasingan yang tidak melibatkan mana-mana tokoh politik, kalau begitu bermaharajalela lah perogol bukan? Mana taknya, bila masa perogol akan memperkosa mangsanya di hadapan khalayak ramai yang mana ada 4 saksi? Dan kalau ada 4 saksi pun ia boleh dijatuhkan saksi tidak sahih kerana tidak melalukan apa-apa bagi menghentikan kemungkaran itu. Bagaimana pula apabila perempuan yang telah dirogol mengandung dan tidak dapat mengemukakan 4 saksi? Adakah dia akan terjatuh hukum berzina? Keadilan apakah ini? Adakah ini Hukum Allah atau Hukum Allah yang telah dipolitikkan? Bagaimana pula dengan contoh kes Nabi Yusuf dan Zulaikha dan apakah pula hukum bagi Anwar yang kononya dulu mengangkat sumpah dengan Al-Quran di masjid negara.

 Pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu Anwar telah mengumukan yang hukum Hudud hanya akan dilaksanakan pada orang Islam sahaja dan bukan pada orang bukan islam. Bagi saya, bukankah itu juga “Politik Suku Agama Suku” dan Islam Plastik. Kalau benar-benar mempercayai akan keadilan hukum Allah yang mana ianya merupakan yang terbaik dari apa-apa rekaan manusia mengapa tidak berani melaksanakan keatas semua rakyat Malaysia, yang mana akan menjadi negara islam. Bukankah PAS cukup yakin yang

Hudud yang mereka bawa mampu membawa keadilan kepada semua kerana ianya datang dari tuhan, jadi mengapa ada sangsi dalam melaksanakan terhadap mereka yang bukan Islam? Macamana pulak nanti contoh kes berzina antara orang Islam dan Bukan Islam? Atau perompak yang mengaku dia telah keluar Islam kerana tidak mahu dipotong tangan. Itu belum masuk isu menangani murtad lagi ni. Pengasingan undang-undang ini adalah lebih kurang sama dengan yang ada sekarang bukan yang mana kita mempunyai mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Jadi tidak banyak perbezaan antara sistem baru dan sistem sekarang dan akan menimbulkan isu mahkamah yang mana satukah lebih berkuasa. Adakah ini caranya hendak melaksanakan Negara Islam sepenuhnya?

Saya keliru dan pelik dengan politik PAS baru-baru ini kerana apa yang diperkatakan dengan apa yang dibuat cukup berlawanan. Dalam ceramah memperjuangkan “Negara Islam” sejati akan tetapi dari segi tindak-tanduk pemimpin mereka di Selangor nampaknya sangat berbeza. Dulu dikatakan Selangor adalah negeri yang tidak Islamik langsung kerana mempunyai kilang Carlsberg tapi tengok apa berlaku di Shah Alam. Cakap tak serupa bikin.

Husam Musa ketika berdebat dengan Khairy Jamaluddin di Kota Bahru menuding jari ke langit dan mengatakan yang mereka tetap akan melaksanakan hukum hudud dan menggelarkan Lim Guan Eng sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Besoknya “Khalifah Umar Abdul Aziz” mengumumkan yang dia menolak hukum hudud, Husam pun terdiam sepi. Kerana kalau mengikut cadangan Zaid Ibrahim PAS akan menerajui negara ini dan memperkenalkan negara islam “sejati”, namun lihat pada tindak-tanduk PAS baru-baru ini saya berasa ramai yang sangsi mengenai perjuangan dan kebolehupayaan PAS dalam melakukan perkara ini. Banyak masaalah dari segi perlaksanaan dan tindak tanduk pemimpin mereka yang membuatkan saya cukup musykil dengan apa yang dikatakan. Selaku salah seorang Muslimin yang telah "dikafirkan" oleh “Tok Guru” saya rasa saya berhak mempersoalkan mengenai isu ini. Namun para pembaca perlu diingatkan untuk membezakan perkara yang nyata, saya bukan mempersoalkan Islam tapi apa yang saya persoalkan adalah mereka yang berpolitik menggunakan nama Islam, sewenang-wenangnya!! Ada beza antara Hukum Allah dengan menghukum atas nama Allah dan politik Islam dengan mempolitikan Islam.
Fikir-fikirkanlah.

Dipetik dari Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment