Lagi Penubuhan Pusat Khidmat

GERIK – Sebuah lagi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong bakal dibuka bertempat di Dataran Parlimen Lenggong, Padang Kunyit, Gerik. Ia akan memberikan kemudahan rakyat dan pengundi Parlimen Lenggong, khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering. Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pusat khidmat itu menempatkan satu ruang pejabat berserta kakitangan sepenuh masa dan akan mula beroperasi pada 1 Januari tahun hadapan.

Sehubungan dengan itu, menurutnya, satu majlis korban bersempena sambutan Aidiladha diadakan untuk meraikan pembukaan pusat khidmat itu. “Saya harap dengan pembukaan pusat khidmat ini, akan lebih memudahkan urusan rakyat di sini, khususnya di kawasan DUN Kenering dan tidak perlu lagi bersusah payah untuk ke Pekan Lenggong bagi sebarang urusan. “Saya amat memahami kesukaran yang dialami kerana kerap kali ramai rakyat dari kampung di sekitar sini datang berjumpa saya di Pekan Lenggong dan kebanyakan mereka ini adalah golongan susah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Shamsul, beliau dapat melihat sendiri kesulitan rakyat untuk bertemunya di Pekan Lenggong apabila melihat mereka terpaksa ke Pekan Lenggong dengan menggunakan perkhidmatan bas. Katanya, disebabkan hal itu, beliau mengusulkan membuka satu lagi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong di kawasan Padang Kunyit. “Oleh itu, saya berharap agar masyarakat akan mendapat kemudahan di sini tanpa perlu lagi pergi jauh ke Pekan Lenggong,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Dataran Parlimen Lenggong, bukan sahaja akan menempatkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong malah dilengkapi dengan Gelanggang Rakyat (futsal), perpustakaan mini, pusat Informasi dan teknologi (ICT) serta Gerai Rakyat. “Tujuan diadakan kelengkapan berkenaan untuk membolehkan tempat tersebut menjadi tumpuan rakyat di kawasan ini dan selain itu, kita akan memulakan juga beberapa program serta kegiatan lain, di sini. :“Antaranya, pusat tuisyen percuma untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Selain itu, turut diadakan aktiviti sukan dan keagamaan yang akan disusun sebuah Jawatankuasa (JK) Pentadbiran Dataran Parlimen Lenggong serta beberapa kemudahan lain akan dimasukkan pada tahun hadapan. “Apa yang penting bagi saya, rakyat mesti didahulukan dan perumpamaan paling tepat adalah kita sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) adalah rakyat. “Oleh itu, saya menegaskan sekarang ini bukan era rakyat mencari pemimpin tetapi pemimpin mesti mendekati rakyat dan sudah tentu pembukaan pusat khidmat di sini adalah usaha kami untuk mendekati rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment