SUA UMNO - Jangan Leka!

KUALA LUMPUR, 11 Nov. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak leka dengan matlamat perjuangan untuk terus memperkasa parti dan memastikan kekukuhan di kalangan ahli terpelihara.
Beliau berkata demikian berikutan perkembangan semasa politik tempatan yang menyaksikan banyak pergolakan dalaman melanda parti-parti politik pembangkang termasuklah sekutu dalam pakatan campuran iaitu DAP, PKR dan PAS sendiri.

“Kita jangan terlalu asyik menyaksikan pergolakan yang berlaku dalam parti lawan hinggakan kita leka untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai ahli UMNO, iaitu untuk terus berkhidmat menjalankan tugas seperti mana yang telah digariskan oleh Presiden,” katanya.

Menurut beliau, pergeseran pendapat dan pertentangan idea yang melanda pakatan pembangkang perlu diambil sebagai satu lonjakan bagi UMNO dan BN sendiri untuk terus memantapkan matlamat perjuangan.

“Sesungguhnya apa yang berlaku kepada PAS dan PKR termasuklah pertentangan pendapat dengan DAP adalah bukti bahawa idealogi mereka yang tidak selari jauh menyimpang daripada apa yang dihajatkan oleh masyarakat, dan perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam BN kerana kerajaan tahu kehendak rakyat,” tegas beliau.

Ujarnya lagi, masyarakat hari ini bijak untuk menilai mana yang benar dan mana yang palsu lantas tentunya tahu membezakan antara parti mana yang benar-benar mahukan kemajuan, kesejahteraan dan perpaduan di kalangan masyarakat berterusan.

Lantaran itu, katanya ahli-ahli UMNO dan BN perlu terus menggembling usaha bagi meningkatkan prestasi semasa dan melaksanakan amanah rakyat tanpa mempedulikan pertelingkahan dan pertentangan idealogi antara pakatan pembangkang.

“UMNO bersama dengan parti-parti kompenan dalam BN tidak pernah mengambil endah apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang apatah lagi berkaitan masalah dalaman PAS dan PKR.”

Beliau yang juga Setiausaha Agung BN berkata demikian sebagai menafikan tindakan pihak-pihak tertentu yang menuduh UMNO dan BN sebagai perancang utama dan punca kepada kekusutan yang melanda pakatan campuran termasuklah dengan mengaitkan kepada kerajaan perpaduan bersama PAS.

“Perlu diingat bahawa perpaduan adalah agenda negara dan bukan hanya matlamat terpencil untuk tujuan bagi memenangi pilihan raya seperti mana yang dibuat oleh pakatan pembangkang sebaliknya langkah kerajaan untuk menjayakan perpaduan di kalangan keseluruhan rakyat adalah satu matlamat berterusan dan meyokong setiap agenda yang memberikan kepentingan bersama,” katanya.

Dalam hal ini, beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dalam parti kompenan BN adalah bukti bahawa perpaduan sentiasa menjadi perkara teratas hinggakan tidak membataskan perbezaan agama, bangsa dan kedudukan asal sahaja kepentingan negara dan rakyat keseluruhan terpelihara.

Tegas beliau lagi, UMNO dan BN bukanlah parti yang baru setahun jagung menjadi pentadbir sebaliknya telah melaksanakan impian seluruh rakyat Malaysia dalam menerajui gagasan bersama selama lebih 52 tahun, matang menilai setiap permasalahan dan akur dengan kehendak rakyat.

“Kita sedar bahawa pembangkang akan menggunakan pelbagai cara untuk cuba merosakkan perpaduan kita agar dapat mengambil kesempatan untuk berkuasa; lantaran itulah kita jangan leka dengan apa yang mereka lakukan biarpun biasanya mereka mencipta sandiwara untuk menagih simpati rakyat.

“Kita perlu jadikan pelbagai peristiwa yang melanda negeri-negeri di bawah tadbiran pembangkang sebagai satu iktibar bagaimana janji-janji yang dilafazkan sebelum pilihan raya umum lalu gagal ditunaikan sebaliknya rakyat pula menjadi mangsa akibat kerakusan mereka mengaut keuntungan daripada pangkat dan kedudukan yang ada,” ujar beliau lagi.

Situasi semasa dalam pakatan pembangkang yang berdepan dengan masalah dalaman termasuklah PAS hinggakan terpaksa mengadakan seminar baru-baru ini ekoran kenyataan negatif pemimpin atasannya dan pertentangan idea di kalangan orang-orang penting di dalamnya.

Ini ditambah lagi dengan pergolakan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor apabila difahamkan barisan Exconya sendiri tidak berpuas hati dengan kepimpinan atasan.

Bukan itu sahaja, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga penasihat PKR sekarang ini sedang bergelut dengan pertuduhan di mahkamah berkaitan salah laku moral hinggakan beberapa kali ditangguhkan dikatakan sebagai cubaan untuk melambat-lambatkan perbicaraan.

Hal ini belum lagi dikaitkan dengan gesaan beberapa pihak yang mahukan pakatan campuran berdaftar sebagimana BN; sedangkan realitinya matlamat perjuangan atara PAS, PKR dan DAP tidak sama lantas mana mungkin untuk mereka sehaluan?

No comments:

Post a Comment