Semua bahagian UMNO diminta perhebat program seminar jentera pilihan raya





Program Seminar Jentera Pilihan Raya perlu diperhebatkan oleh semua bahagian. Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata, itu boleh diadakan bersama-sama dengan program ceramah juara rakyat.

Katanya, melalui konsep itu jentera ceramah penerangan boleh mengadakan ceramah juara rakyat dan seminar jentera pilihan raya boleh diadakan bersama program itu.

Ini supaya masyarakat di semua peringkat mendapat penjelasan dan penerangan terhadap pelbagai isu termasuk yang ditimbulkan oleh pembangkang.

"Setiap bahagian boleh panggil sesiapa sahaja untuk menyampaikan ceramah berkaitan pelbagai isu dan seminar jentera pilihan raya boleh diadakan selepas itu.

"Saya menyanjung tinggi usaha yang dipelopori oleh UMNO bahagian Tanjung Malim yang merupakan satu contoh yang baik untuk diikuti oleh bahagian-bahagian UMNO lain," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, model yang diguna pakai oleh UMNO bahagian ini merupakan model yang baik.

Katanya, ia melibatkan semua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam memastikan jentera BN terus mantap bagi menghadapi pilihan raya.

Pemuda Umno buat laporan polis bantah tindakan hina Yang di-Pertuan Agong

Satu laporan polis dibuat terhadap setiausaha akhbar Ahli Parlimen Ipoh Barat, P. Sugumaran, yang membuat kenyataan dianggap menghina dalam ruangan Twitter miliknya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat Syamsul Baharin Putra Ahmad Syibi menyifatkan perbuatan Sugumaran mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam Twitter itu biadap dan sebagai menderhaka.

"Kami kesal dengan perbuatan itu dan isu ini perlu ditangani sebaik mungkin. Ini (kenyataan itu) membuktikan satu lagi ancaman kepada negara.

"Titah yang dinyatakan Seri Paduka bukan bertujuan politik, sebaliknya menasihatkan rakyatnya supaya hidup dalam keadaan aman serta sejahtera," katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan berbunyi 'Alat Terbaru politik BN, Agong bertitah mengikut kehendak @najibrazak' dikeluarkan susulan daripada titah Tuanku Mizan Zainal Abidin kelmarin yang meminta rakyat memastikan tuntutan demokrasi tidak membawa kemusnahan kepada negara.

Selain Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik lain turut membuat laporan polis termasuk Gerakan Belia 4B Cawangan Ipoh Barat, Gerakan Bina Bangsa Melayu Kinta, Badan Penasihat Ayahanda Insan Malaysia dan Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak.

Ahli UMNO Diingatkan Jauhi Politik Fraksi



Ahli UMNO diingatkan agar menjauhkan diri dari politik fraksi atau berpecah-pecah kerana ia sememangnya boleh menjejaskan prestasi parti. YAB DS Najib Tun Razak berkata, politik fraksi semestinya menjejaskan prestasi sesebuah parti itu menjelang pilihan raya dan untuk itu juga, apabila sampai masa untuk pilihan raya kepentingan parti mengatasi kepentingan yang lain. 
Perdana Menteri berkata amalan yang bersifat jatuh-menjatuhkan sesama sendiri itu perlu dielakkan, sebaliknya meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu, mengatasi kepentingan peribadi dan kepentingan tertentu.
Najib berkata amalan negatif itu bukan saja berlaku dalam UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, tetapi juga dalam parti pembangkang di mana setiap kali adanya pemilihan parti, perkara itu sering kali akan timbul.
“Ia bukan saja ada dalam UMNO tapi termasuk juga pembangkang. Bila ada pemilihan secara terbuka dan ada perbezaan pendapat dalam parti politik yang amalkan kefahaman demokrasi, maka akan timbullah keadaan tertentu di mana pelbagai kumpulan yang bersikap demikian di peringkat akar umbi,” katanya.
Presiden UMNO itu berkata setiap ahli parti perlu memberikan sokongan mereka kepada calon yang dipilih parti dengan mengetepikan sikap negatif mereka terhadap calon berkenaan, dan tidak mengambil kesempatan untuk menjatuhkannya.
“Kalau parti sudah pilih sesiapa jadi calon, semua orang mesti sokonglah walaupun kita mungkin tidak minat dia secara peribadi sebab dia merupakan   calon telah dipilih oleh parti, jadi kalau ada sikap sedemikian dan kita dapat mengelakkan daripada perkara jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain, maka kita akan berjaya dalam pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, semasa berucap, Najib berkata proses muhasabah dalam parti amat penting bagi memperbetulkan kesilapan yang berlaku pada pilihan raya umum lalu dapat diperbaiki untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.
Hasil muhasabah itu, katanya berupaya memberikan kekuatan dan keyakinan baru yang boleh meningkatkan prestasi pada pilihan raya umum akan datang.
“Kita mahu bangkit daripada mimpi ngeri pada 2008 (kekalahan beberapa negeri kepada pembangkang), kita bangkit semula dengan kekuatan yang kita sendiri tak terfikir boleh dicapai, maknanya kalau lakukan muhasabah diri dan bergerak dalam satu pasukan dan letakkan parti mengatasi segala-galanyanya maka parti kita akan berjaya,” katanya.