Wanita UMNO mahu tindakan keras diambil bagi cegah perhimpunan BERSIH 2.0 dan Anti BERSIH



Tindakan keras seharusnya diambil bagi mencegah perhimpunan Bersih 2.0 serta ANTI Bersih yang akan diadakan Julai depan. Ketua Penerangannya, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan sedemikian perlu bagi mencegah berlakunya pertembungan yang boleh mengakibatkan satu pertelingkahan yang besar di kalangan rakyat.

Katanya, kesemua 1.3 juta ahli Wanita UMNO yang cintakan keamanan dan kedamaian tidak bersetuju dengan tindakan beberapa pihak dalam mengadakan perhimpunan itu yang melanggar sistem demokrasi yang menjadi amalan negara ini.

"Wanita UMNO berpandangan perhimpunan sedemikian adalah suatu tindakan yang boleh memburukkan keadaan dan merugikan 27 juta rakyat Malaysia.

"Perhimpunan itu juga akan menyebabkan kepercayaan pelabur di luar negara ke atas negara ini yang sebelum ini aman damai akan terhakis sama sekali," katanya.