UMNO Dan BN Sedia Hadapi Pilihanraya!


KUALA LUMPUR, 18 Nov. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sekiranya rayuan terhadap kekosongan kerusi berkenaan ditolak oleh mahkamah.

Katanya, biarpun mahkamah belum membuat keputusan berkaitan rayuan yang telah diajukan oleh Barisan Nasional (BN) tetapi tetapi jentera-jentera UMNO bersama dengan BN telah siap sedia melaksanakan tanggungjawab atas sebarang kemungkinan.
“Berdasarkan kepada perkembangan semasa dan juga sokongan dari ahli-ahli, kita yakin bahawa kita akan akan mendapat kerjasama penuh dari semua ahli sama ada di peringkat bahagian, negeri dan pusat,” tegas beliau.

Isnin lalu Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) telah mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah kosong dengan Datuk Abu Hassan Sarif bukan lagi wakil rakyat kawasan tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan dewan secara berturut-turut tanpa kebenaran speaker.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin turut memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di DUN Kota Siputeh.
Sehubungan itu, BN telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi menimbangkan kembali keputusan tersebut.

“Kita akur dengan keputusan mahkamah biarpun ia tidak memihak kepada kita, dan kita tidak akan mempertikaikannya sekiranya rayuan yang kita lakukan ditolak,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung BN.
Katanya lagi, UMNO/BN tidak pernah engkar dengan keputusan mahkamah dan menghormati setiap keputusannya dengan bersyukur sekiranya ia memihak kepada kita dan jika sebaliknya penilaian akan dilakukan dengan mengambil tauladan atas apa yang berlaku.

Beliau juga menyatakan bahawa jentera dari semua peringkat termasuklah Ibu Pejabat telah pun sedia maklum akan tugas dan tanggungjawab yang terpikul apabila menjelangnya pilihan raya kecil.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menegaskan bahawa BN tidak gentar menghadapi pilihan raya tersebut sekiranya rayuan yang dibuat ditolak.

Malahan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mohd Shafie Apdal turut memaklumkan bahawa susun atur setiap gerak jentera telah pun dibuat di semua bahagian di negeri Kedah dengan kerangka dan struktur persediaan termasuk bagi menghadapi sebarang pilihan raya kecil.


No comments:

Post a Comment