Permohonan didengar panel 11 hakim ditolak

Permohonan Nizar Jamaluddin supaya rayuannya membantah perlantikan Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata ia diputuskan sebulat suara dan tiada perintah dibuat mengenai kosnya.

Keputusan rayuan Nizar, akan menentukan masa depan Pakatan Rakyat Perak yang ditumbangkan Februari lalu selepas beberapa wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).Ia juga bukan sahaja akan menentukan Menteri Besar Perak yang sah tetapi juga akan menjadi duluan bagi kes-kes yang serupa pada masa depan.

Panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.

Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.

No comments:

Post a Comment