Sikap Pas merugikan orang Melayu!!!



BATU KURAU – Rakyat Malaysia perlu menukar persepsi daripada menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai idola kepada dalang yang telah memporak-perandakan keadaan politik negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin seperti inilah yang menyebabkan survival dan perpaduan orang Melayu serta rakyat Malaysia semakin terhakis.

Menurutnya, perpaduan rakyat Malaysia adalah berteraskan kepada perpaduan bangsa Melayu, kaum majoriti negara yang berjumlah lebih 65 peratus.

“Tiga ancaman dikenal pasti yang menyebabkan survival orang Melayu semakin tenat iaitu persepsi rakyat menganggap Anwar sebagai idola, sikap Pas bersekongkol dan menjadi alat untuk DAP, jelas tidak menguntungkan orang Melayu sebagaimana pendirian Pas di Perak, Selangor serta Pulau Pinang.

“Negeri-negeri ini tidak mungkin dapat mewujudkan kerajaan sama ada peringkat negeri mahupun pusat kerana Pas banyak bergantung pada orang lain, khususnya DAP,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Ceramah Perdana di Dataran Kampung Raya, di sini malam semalam.

Ibrahim berkata, kebergantungan Pas dan Anwar kepada DAP amat jelas dan secara tidak langsung membuka ruang kepada mereka diperalatkan seterusnya menjadi alat perpecahan kepada Melayu serta rakyat Malaysia.

Katanya, keadaan bertambah parah apabila sejak kebelakangan ini, sikap para pemimpin DAP yang cukup berani menterjemahkan tindakan melampau mereka dengan usaha membawa balik Chin Peng, mempersoalkan ketuanan Melayu, institusi raja, semuanya cuba diganggu-gugat untuk mewujudkan semangat perkauman.

“Kita memang mengamalkan demokrasi dan setiap parti politik boleh bergerak bebas, tidak kira Pas, DAP, UMNO dan sebagainya, mereka untuk ada pendirian tetapi mestilah berpandukan kepada asas perlembagaan negara kita yang tidak boleh diganggu gugat termasuklah mendaulatkan rukun negara.

“Tindak-tanduk mereka ini sekarang adalah untuk merobek dan memusnahkan tembok penghalang yang menjadi lambang demokrasi rakyat Malaysia khususnya orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, tiga ancaman inilah jika tidak dibendung akan merosakkan negara dan kaum Melayu serta dalam masa yang sama kaum Melayu perlu sedar akan hakikat berlaku.

“Justeru, saya menggesa bangsa Melayu khususnya bangkit dan sedar akan ancaman ini, kalau tidak Malaysia akan jadi seperti Singapura, bangsa Melayu tiada hak di tanah air sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau menyokong tindakan beberapa pemuda Melayu memijak gambar pemimpin DAP negeri dan pusat sebagai amaran dan peringatan kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, tindakan berkenaan bukan bermakna apa yang mereka lakukan itu perlu kita balas tetapi hanya bersifat amaran serta peringatan dan mengambil iktibar apa yang telah berlaku.

“Kita tidak mahu hari ni, mereka pijak, esok minta minta maaf, lusa buat balik, minta maaf balik, seolah-olah perkara yang dilakukan tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka walhal itu melibatkan maruah dan martabat seseorang individu atau kaum tertentu.

“Perlu ingat kesabaran orang Melayu ada hak batasannya, bila dicabar dan diancam dengan pelbagai tindakan, orang Melayu akan bangkit menentang, namun kita tidak mahu peristiwa berdarah seperti 13 Mei berulang lagi,” katanya. Ibrahim berkata, semasa kesemua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) melompat masuk ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berbuat demikian seperti apa yang berlaku semasa Konvensyen DAP.

Katanya, DAP sepatutnya pijak gambar Anwar Ibrahim kerana beliau adalah dalang kepada orang lain melompat parti.

Beliau turut hairan dengan sikap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bersetuju dengan tindakan rakan-rakan Pakatannya.

“Pemimpin Melayu Islam langsung tidak bangkit menentang tindakan DAP, inilah gambaran jelas tentang pendirian pemimpin pembangkang yang harus dinilai oleh rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment