YAB DS Dr Zambry - Keputusan kes saman pengajaran buat semua


Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan kemenangan kes saman sivil beliau sebagai pengajaran buat semua pihak.

"Ini adalah kemenangan bukan untuk diraikan. Ia adalah sesuatu pengajaran besar kepada mereka agar tidak keterlaluan menggunakan apa cara sekalipun bagi menjatuhkan, memalukan, menghina, merosakkan atau memfitnah seseorang.

"Ia juga menjadi bukti bagaimana sesuatu cerita direka semata-mata atas nama nafsu serakah yang mahu menggodam seseorang tanpa rasa dosa dan nilai kemanusiaan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya telah menulis kepada Suara Keadilan agar memohon maaf atas perbuatan mereka tetapi dengan angkuh dicabar untuk bertemu di mahkamah. 

Zambry mengulas tentang penghakiman terhadap akhbar Suara Keadilan dalam kes saman RM100 juta yang difailkannya berhubung penyiaran artikel fitnah oleh lidah Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Noordura Mohamad Din membenarkan permohonan beliau untuk mendapatkan penghakiman pada bahagian-bahagian tertentu dalam pernyataan pembelaan defendan selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak di dalam kamarnya

"Kini mahkamah telah membuat keputusan. Saya terima dengan penuh keinsafan," kata Zambry.
Beliau turut mengucapkan terima kasih pada pasukan peguam yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

Perkukuh Jalinan Persaudaraan


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru umat Islam di negara ini supaya memperkukuhkan jalinan persaudaraan dan perpaduan tanpa mengira perbezaan harta, pangkat, bangsa, budaya mahupun ideologi politik.

Sejajar dengan sambutan Aidiladha, Timbalan Perdana Menteri pada masa sama turut meminta umat Islam melakukan muhasabah diri dengan cara meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Dalam konteks negara pula, beliau mahu seluruh rakyat menghayati pengorbanan yang dilakukan pejuang-pejuang terdahulu dalam usaha mereka mewujudkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara.
”Hanya dengan menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta bersedia melakukan pengorbanan demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara yang boleh membuatkan umat Islam di Malaysia muncul sebagai umat contoh.
”Hanya dengan menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta bersedia melakukan pengorbanan demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara yang boleh membuatkan umat Islam di Malaysia muncul sebagai umat contoh.

”Iaitu umat yang menjadi paksi kepada kekuatan tamadun Islam dan cerminan kepada kemurnian agama Islam sebagai satu-satunya agama di sisi Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Aidiladha yang dikeluarkan di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri dalam perutusannya turut menyarankan umat Islam supaya menggunakan kesempatan perayaan Aidiladha yang penuh keberkatan ini untuk menilai mengenai sumbangan yang telah dicurahkan kepada negara.

”Kita juga perlu menilai apakah sumbangan yang boleh kita berikan kepada pertiwi demi mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang kita nikmati selama ini,” katanya.

Berhubung ibadat haji, beliau berkata, ibadat tersebut melambangkan kesaksamaan dan perpaduan dalam Islam yang merentasi perbezaan bangsa dan warna kulit.

Katanya, di sebalik litupan ihram yang meleburkan tembok harta dan pangkat, tiada apa-apa lagi dapat membezakan seorang muslim dengan muslim lain kecuali tingkat keimanan serta ketakwaan kepada Allah.
Muhyiddin dalam pada itu mengajak umat Islam di Malaysia menghayati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai panduan untuk muncul khaira ummah atau umat terbaik di sisi Allah.

”Di kesempatan ini saya juga mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjaga keselamatan negara bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat terus mengecapi keamanan serta kemakmuran,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada mereka yang pulang ke kampung supaya memandu dengan cermat dan mematuhi undang-undang jalan raya demi kebaikan semua.

”Dengan semangat 1Malaysia, diharap cuti Aidiladha ini digunakan untuk menziarahi keluarga dan sahabat handai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Tengku Adnan - Hayati Falsafah Aidiladha Untuk Kesejahteraan


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyarankan agar umat  Islam negara ini menghayati sepenuhnya erti pengorbanan sempena hari raya Aidil Adha yang akan disambut Rabu ini  untuk memastikan Islam  dan negara terus dihormati.


Menurut beliau kesejahteraan hidup yang telah dikecapi sejak sekian lama dan keamanan yang digagaskan secara bersama antara pelbagai kaum di negara ini perlu dipertahankan sebaik mungkin dengan berpaksikan kepada semangat pengorbanan.

“Kita di negara ini hidup dengan rukun pelbagai kaum dan kesatuan dalam kepelbagaian. Prinsip pengorbanan perlu ada dalam setiap diri kita agar negara dan Islam akan terus maju dan dipandang tinggi seluruh dunia.
“Janganlah kita sesekali tersilap langkah dengan mengambil semangat pengorbanan itu  untuk menghancurkan apa yang telah dikecapi sejak sekian lama semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan kepada natijahnya kepada agama dan negara.
“Janganlah kita sesekali tersilap langkah dengan mengambil semangat pengorbanan itu  untuk menghancurkan apa yang telah dikecapi sejak sekian lama semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan kepada natijahnya kepada agama dan negara.”
“Kepada golongan ini, ambillah semangat pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang bersedia melakukan apa sahaja demi mencapai keredaan Allah dan bukannya pengorbanan untuk nafsu serakah yang tidak memberi apa-apa manfaat sebaliknya kehancuran semata-mata,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya membidas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan di negara ini dengan mengambil kesempatan memanipulasi isu-isu tertentu untuk kepentingan mereka tanpa melihat kesannya secara menyeluruh.

“Ambillah falsafah Aidiladha untuk pembangunan ummah sejagat dan bermuhasabahlah dengan ikhlas kerana Aidiladha mengajar umat betapa setiap perjuangan itu memerlukan cita-cita dan idealisme yang disemangati prinsip dan nilai Islam sejati.

“Setiap perjuangan juga menagih komitmen setiap pendukungnya untuk bersedia menderita, berkorban dan terkorban demi mencapai cita-cita dan idealisme suci dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.
Datuk Seri  Tengku Adnan seterusnya mengajak umat Islam agar  mencontohi pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban demi membangunkan negara yang diwarisi hari ini.

Katanya kejayaan negara dalam memacu pembangunan untuk seluruh rakyat tanpa mengira latarbelakang kaum dan fahaman agama hari ini adalah kerana adanya pengorbanan jiwa dan raga seluruh peringkat rakyat jelata.

“Di sinilah pentingnya semangat pengorbanan yang mendasari falsafah Aidiladha untuk kembali dijiwai oleh generasi pewaris negara dan pelanjut perjuangan agama dan bangsa.

“Golongan yang tidak menghayati semangat ini merupakan mereka yang tergolong di dalam golongan yang tidak bersyukur terhadap apa yang dinikmati hari ini.

“Justeru, sempena Hari Raya Korban ini, umat Islam harus kembali menghayati semangat pengorbanan yang mendasari dalam falsafah Aidiladha. Umat Islam perlu sedar bahawa perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan membina tamadun gemilang tidak akan berjaya sekiranya tiada kesediaan untuk berkorban dalam diri,” katanya.

Kukuhkan perpaduan dengan mengamalkan sikap keterbukaan dan kefahaman mengenai agama lain


Sikap keterbukaan dan kefahaman terhadap agama kaum lain dapat merupakan faktor penting dalam menangani isu perpaduan dengan berkesan dan komprehensif. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Datuk Dr Mah Hang Soon bagaimanapun berkata ini hanya boleh dicapai melalui penganjuran forum-forum agama. 

Katanya forum agama dapat dijadikan sebagai platfom perbincangan matang bagi masyarakat terutama generasi muda untuk memahami anutan agama yang berbeza. 

"Melalui forum seperti ini kita dapat membincangkan dan menyalurkan maklumat berkenaan isu semasa dengan lebih tepat dan sahih agar tidak mengelirukan sesiapa demi memelihara perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia yang telah kekal sekian lama 

"Program seperti ini juga bukanlah untuk menaikkan sentimen atau menghangatkan lagi suasana dan sesuatu isu tetapi sebagai tempat untuk mewujudkan pemikiran positif dan rasional terhadap antara kaum berbilang agama," katanya.

UMNO akan timbang semua sudut berkenaan kerusi Parlimen Gerik



Dalam memastikan semangat kerjasama dalam Barisan Nasional (BN) tetap utuh, UMNO akan menimbang dari semua sudut sebelum memutuskan samada untuk mengambil kembali kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 demikian ujar YAB DS Dr Zambry Abd Kadir.  Sehubungan dengan itu, semua faktor akan ditimbang sebelum mengambil kerusi itu kerana kepentingan BN ialah mengambil kira semua faktor termasuk faktor persekitaran dan sokongan rakyat.

Parlimen Gerik kini diwakili oleh Datuk Tan Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mewakili Parti Gerakan.

Kerusi Parlimen Gerik sebelum ini menjadi milik UMNO tetapi diserahkan kepada Gerakan pada PRU ke-12.

Pada 7 November lalu, Parti Gerakan berkata ia akan mengenal pasti dan memperkenalkan calon-calon parti itu bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas Tahun Baru Cina tahun depan.

Sehubungan itu, Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Gerakan telah melancarkan jentera parti untuk menjelajah ke seluruh negara sejak empat bulan lalu bagi bertemu dan mendengar suara hati pemimpin negeri dan peringkat akar umbi berhubung kedudukan politik semasa setiap negeri.

YAB DS Dr Zambry berkata, BN perlu menimbang semua perkara termasuk mengambil kira sokongan rakyat.
 
*BPUNPk juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berangkat ke Tanah Suci kepada YAB DS Dr Zambry Abd Kadir dan keluarga serta rombongan. Semoga dikurniakan keselamatan, kesihatan dan mudah-mudahan memperolehi haji yang Mabrur.

SPR perlu tegas bendung budaya politik ganas semasa pilihan raya


DS DR Zambry Abd Kadir berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengenakan tindakan tegas terhadap parti yang bertindak keterlaluan di luar batasan undang-undang. Ia perlu bagi mengelak sebarang suasana panas hingga menyebabkan kecelaruan dan keadaan tegang.

"Insiden seperti kekecohan yang berlaku di Galas termasuk membaling botol dan memukul tidak seharusnya dibiarkan berlaku," katanya. 

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perak bersetuju dengan cadangan SPR yang mahu melaksanakan tempoh bertenang 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari bagi membendung kekecohan dan keganasan di kalangan penyokong parti bertanding.

"Selain memasukkan peraturan baru, SPR perlu juga menguatkuasakan undang-undang sedia ada supaya parti bertanding mengikut peraturan yang telah ditetapkan," katanya. 

Jelas beliau lagi SPR wajar mengenakan hukuman seperti penalti berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya parti bertanding masih enggan mematuhi peraturan. 

"Namun kita juga faham SPR mungkin berdepan dengan kekurangan kakitangan. Kita harapkan bahagian pelaksana dapat memastikan parti bertanding bertanggungjawab untuk menjaga kelakuan penyokong mereka,"katanya. 

Katanya pilihan raya kecil Batu Sapi merupakan contoh terbaik apabila setiap parti yang bertanding boleh duduk bersama dalam suasana yang tenang dan saling menghormati. 

Baru-baru ini SPR mencadangkan peraturan tempoh bertenang 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari antara intipati kandungan kepada pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk membendung kekecohan dan keganasan oleh penyokong parti bertanding.

UMNO Perak Tidak Gentar!!!


UMNO Perak tidak gentar untuk berhadapan dengan pembangkang!!! Sehubungan dengan itu, UMNO Perak kini dalam keadaan bersiap sedia untuk menggerakkan jentera Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi mengembalikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di negeri itu. 

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kemenangan BN di pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan DUN Galas, seolah-olah menyuntik semangat baru kepada BN dan UMNO. 

"UMNO tidak gentar untuk berdepan parti pembangkang. Setakat ini semua kawasan yang dipertanggungjawabkan di bawah jagaan UMNO Perak memihak kepada BN. 

"Misalnya Peti Undi Belatim di DUN Galas, daripada 131 orang yang keluar mengundi, seramai 117 menyokong BN sementara PAS hanya memiliki sembilan undi manakala lima lagi undi rosak," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kekuatan UMNO sehingga mampu bertahan ke hari ini adalah disebabkan oleh `roh' perjuangan yang didokong ahli-ahli parti untuk menegakkan Islam, bangsa Melayu serta budayanya.
Menurut beliau, walaupun terdapat gerakan yang menuduh parti itu sebagai mengamalkan perkauman sempit, namun UMNO tidak bersifat ekstrim dengan membangkitkan semangat kebencian terhadap kaum lain.

"Sebaliknya kita mengutamakan rakyat sehingga sampai ke ke akar umbi dan bukannya bersifat parti kekeluargaan mahupun menjurus kepada individu tertentu," katanya.

Malah jelasnya, UMNO merupakan parti penyatuan kepada orang Melayu sehingga pernah berjaya menggagalkan Malayan Union yang mahu dilaksanakan penjajah pada 1946.

Rakyat semua kaum digesa hayati dan fahami kebimbangan Majlis Raja-Raja



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyeru semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama memandang serius terhadap kebimbangan yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu. 

Katanya apa yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu semasa persidangan baru-baru ini perlu dihayati dan difahami oleh rakyat berbilang kaum supaya politik yang mencetus api perkauman dapat dielakkan. 

Katanya Majlis Raja-Raja berhak untuk menyatakan pendirian sedemikian termasuklah kebimbangan terhadap usaha mencabar kedaulatan Perlembagaan negara kerana baginda merupakan ketua negara. 
"Ini merupakan satu keprihatinan Majlis Raja-Raja terhadap keadaan yang berlaku pada hari ini.
"Kebimbangan ini wajar bagi saya memandangkan Majlis Raja-Raja Melayu berhak untuk menyampaikan dan mengingatkan rakyat terhadap perkembangan semasa yang berlaku
"Saya yakin apa yang disampaikan adalah sebagai tanda peringatan kepada sekalian warga yang ada dalam negara kita supaya mengambil maklum tentang perkara-perkara yan sudah pun terdapat dalam Perlembagaan. Ia sewajarnya difahami dan dihayati oleh sekalian masyarakat," katanya. 

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dalam kenyataannya menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja bimbang dan memandang berat trend politik semasa di negara ini yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara. 

Kenyataan itu yang dikeluarkan hasil Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 pada 13 dan 14 Oktober lalu turut menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja telah menitahkan seluruh rakyat memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.


YAB DS Dr Zambry Abd Kadir - Kaum lelaki perlu ada kesedaran akan tanggungjawab lindungi keluarga


Tahap kesedaran kaum lelaki terhadap tanggangjawab mereka melindungi isteri dan keluarga akan dapat mengurangkan kes-kes kegananasan rumah tangga di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sebagai ketua keluarga, kaum lelaki perlu sentiasa menyemai perasaan cinta, sayang dan mesra terhadap isteri dan keluarga. 

"Suami tidak sepatutnya melakukan keganasan terhadap isteri mereka. Kaum wanita pula tidak boleh bertolak ansur dengan pihak yang melakukan keganasan terhadap mereka terutama suami," katanya.

Zambry berkata kehidupan keluarga yang dipenuhi dengan kasih saying akan melahirkan masyarakat harmoni yang bebas daripada sebarang keganasan. 

Beliau turut menggesa pihak lelaki membuat perubahan sikap apabila berurusan dengan kaum wanita supaya dapat meletakkan golongan itu di tahap yang lebih bermaruah.

Zambry cabar Pemuda PAS nyatakan hukum Nizar menghadiri vigil



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mencabar Dewan Pemuda PAS Negeri Perak untuk menyatakan pendirian mereka terhadap program ‘vigil' Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum membuat dakwaan beliau melakukan perbuatan khurafat. 

Katanya Dewan Pemuda PAS perlu berani menyatakan hukum disebalik perbuatan Nizar menyertai program vigil anjuran DAP Perak sempena kematian Teoh Beng Hock lengkap berpakaian serba hitam masyarakat Cina berkabung, memegang lilin dan bertakafur suatu ketika dulu. 

"Saya cabar mereka nyatakan pendirian mengenai hukum perbuatan Nizar menyertai abang-abangnya (Ngeh dan Nga) jika benar mereka ikhlas memperjuangan hukum Islam. 

"Jika tidak dapat nyatakan pendirian mereka, saya rasa lebih baik jangan guna hukum-hakam untuk tujuan politik," katanya. 

Beliau diminta mengulas memorandum yang dihantar Dewan Pemuda PAS kepada semua Mufti negeri bagi mengeluarkan hukum atas tindakannya meletak ancak ke tiang seri semasa majlis perasmian pembinaan tapak rumah orang kurang upaya di Kampung Guar, Manong pada 16 Oktober lalu. 

Zambry berkata beliau melihat tohmahan terbaru PAS itu merupakan salah satu strategi politik parti itu untuk mengurangkan sokongan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional. 

"Mereka tahu hubungan saya dengan rakyat amat baik dan apa yang BN lakukan sekarang amat disenangi masyarakat. 

"Mereka tidak tahu bagaimana nak serang saya dan kerajaan, maka mereka gunakan cara paling buruk iaitu main-mainkan agama untuk menjatuhkan kita," katanya.


Perak ambil pendekatan perkongsian bijak antara bumiputera dan kaum lain


Kerajaan Negeri Perak mengambil pendekatan dengan menggalakkan perkongsian bijak antara bumiputera dan kaum lain dalam membangunkan sektor ekonomi negeri. Pendekatan ini bukan sahaja dilihat sebagai sumbangan kemajuan ekonomi sebaliknya ia turut berperanan sebagai pemangkin hubungan harmonis antara golongan etnik.
 
YAB DS Dr Zambry Abd Kadir berkata perkongsian bijak yang merupakan gabungan modal, pengalaman dan kemahiran antara pengusaha Bumiputra dan bukan Bumiputra dapat mengukuhkan kedudukan usahawan Malaysia di pentas global. Keadaan ini jika dapat dilaksanakan dengan jayanya boleh membantu Perak menghadapi cabaran ekonomi global. 

"Walaupun perkongsian bijak antara pelbagai kaum merupakan pendekatan kita, pada masa sama usaha untuk memperkukuhkan ekonomi orang Melayu akan tetap diteruskan. 

"Ini kerana kita mahu lihat orang Melayu tidak hanya berjaya dalam bidang politik tetapi juga ekonomi. Politik dan ekonomi adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. 

"Kita tidak mahu orang Melayu atau mana-mana kaum sekalipun ketinggalan dalam kemajuan ekonomi," katanya. 

Menurut Zambry lagi dalam memajukan ekonomi negeri, perhatian khusus juga akan diberikan dalam menggerakkan ekonomi golongan miskin terutama wanita luar bandar. 

Katanya ini kerana wanita terbukti dapat memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi luar bandar berikutan penglibatan mereka di dalam perniagaan kecil-kecilan sama dari rumah atau gerai. 

"Walaupun perniagaan mereka kecil tetapi telah terbukti ia dapat menghidupkan aktiviti hiliran di kawasan luar bandar yang akhinrya memberi impak besar kepada pendapatan negeri dan negara," katanya. 

Beliau berkata menyedari peranan penting wanita dalam ekonomi, kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya akan terus menggandakan usaha membantu wanita miskin menceburkan diri dalam perniagaan. 

Langkah memberi bantuan pinjaman perniagaan kepada gologan wanita tersebut telah terbukti berjaya membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan, katanya. 

"Dengan bantuan yang kita hulurkan, kita dapati ramai daripada yang dahulunya diketegori sebagai miskin tegar kini sudah terkeluar dari kepompong itu berikutan terdapat peningkatan ekonomi," katanya.

Wakil rakyat perlu jujur dan tidak tabur janji kosong


Setiap wakil rakyat perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan masalah rakyat tanpa menabur pelbagai janji kosong.
 
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendekatan itu perlu dalam menangani sebarang masalah rakyat supaya tidak timbul tanggapan salah jika sesuatu perkara itu tidak dapat diselesaikan dengan segera.

"Berterus-terang kepada rakyat samada satu-satu masalah itu boleh diselesaikan atau sebaliknya supaya penantian mereka tidak sia-sia.

"Mana masalah boleh selesaikan cepat, kita beritahu ia cepat diselesaikan, yang mana masalah perlu ambil masa, kita beritahu ia lambat sedikit. Saya percaya pendekatan ini akan lebih disukai rakyat dalam kita menyelesaikan pelbagai masalah," katanya.

Zambry berkata dalam menyelesaikan masalah rakyat, pendekatan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri, pejabat daerah serta pihak yang berkenaan adalah lebih baik daripada mengadakan demonstrasi yang akan melambatkan proses penyelesaian. 

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) supaya berhati-hati kerana pihak pembangkang cenderung untuk ‘menangguk di air keruh' dengan mengambil kesempatan untuk menjadi ‘juara' kepada permasalahan rakyat. 

"Tujuan mereka adalah untuk mengambil kesempatan politik. Mereka bukan mahu selesaikan sangat..,mereka cuma mahu tunjuk 'hero' kepada rakyat tetapi apabila kita selesaikan, merekalah yang akan berada di hadapan rakyat dengan mengatakan merekalah selesaikan seperti apabila saya selesaikan masalah setinggan di landasan kereta api (di Kuala Sepetang, Taiping)," katanya. 

Menurutnya, pembangkang sebelum ini mempunyai peluang untuk menyelesaikan masalah rakyat apabila mentadbir kerajaan negeri selama 11 bulan. 

"Tetapi sepertimana kita tahu, banyak masalah yang timbul sepanjang tempoh 11 bulan itu," katanya.