Maaf kepada ADUN bukan kepada RAKYAT...

IPOH – Permohonan maaf Perbuatan pemimpin DAP Perak yang diwakili Setiausaha Agungnya, Nga Kor Ming memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka memijak gambar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Ahad lalu disifatkan sebagai sandiwara.

Timbalan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Negeri, Dr Naran Singh berkata, inilah sandiwara pembangkang yang penuh dengan muslihat dan agenda tersendiri untuk menjatuhkan seseorang.

Menurutnya, mereka sanggup buat apa sahaja untuk menjayakan sikap biadab terhadap para pemimpin yang tidak disukainya malah sehingga sampai menjatuhkan maruah serta martabat sesuatu bangsa.

“Hari ini dia minta maaf, esok dia buat balik, minta maaf balik, demikianlah permainan yang penuh strategi dan percaturan dangkal dari pemimpin DAP dan pembangkang.”

“Mereka akan menggunakan pelbagai helah dan tipu daya untuk menarik perhatian pemimpin Barisan Nasional (BN) dan juga rakyat negeri ini,”katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, di sini, semalam.

Naran berkata, walaupun DAP Perak meminta maaf tetapi ia ditujukan kepada rakyat bukannya kepada tiga ADUN Bebas.

Katanya, tindakan mereka tidak tepat sebabnya yang terkena perbuatan mereka adalah tiga ADUN berkenaan dan seharusnya permohonan maaf perlu diajukan kepada ADUN itu.

“Sebenarnya, saya faham sangat dengan permainan mereka yang seringkali bertukar watak dalam drama dicipta sendiri.”

“Semuanya bermotif kepentingan peribadi semata-mata bukannya perjuangan untuk rakyat negeri Perak,”katanya.

Beliau berkata, jika benar pemimpin DAP ikhlas dan mengakui kesilapan mereka, minta maaflah kepada tiga ADUN berkenaan, Jamaluddin Mohd Radzi, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Hee Yit Foong bukannya kepada rakyat.

“Saya cabar pemimpin DAP untuk berbuat demikian dan buktikan keikhlasan mereka yang sememangnya mereka bersalah,” katanya.

No comments:

Post a Comment