Semua bahagian UMNO diminta perhebat program seminar jentera pilihan raya





Program Seminar Jentera Pilihan Raya perlu diperhebatkan oleh semua bahagian. Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata, itu boleh diadakan bersama-sama dengan program ceramah juara rakyat.

Katanya, melalui konsep itu jentera ceramah penerangan boleh mengadakan ceramah juara rakyat dan seminar jentera pilihan raya boleh diadakan bersama program itu.

Ini supaya masyarakat di semua peringkat mendapat penjelasan dan penerangan terhadap pelbagai isu termasuk yang ditimbulkan oleh pembangkang.

"Setiap bahagian boleh panggil sesiapa sahaja untuk menyampaikan ceramah berkaitan pelbagai isu dan seminar jentera pilihan raya boleh diadakan selepas itu.

"Saya menyanjung tinggi usaha yang dipelopori oleh UMNO bahagian Tanjung Malim yang merupakan satu contoh yang baik untuk diikuti oleh bahagian-bahagian UMNO lain," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, model yang diguna pakai oleh UMNO bahagian ini merupakan model yang baik.

Katanya, ia melibatkan semua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam memastikan jentera BN terus mantap bagi menghadapi pilihan raya.

Pemuda Umno buat laporan polis bantah tindakan hina Yang di-Pertuan Agong

Satu laporan polis dibuat terhadap setiausaha akhbar Ahli Parlimen Ipoh Barat, P. Sugumaran, yang membuat kenyataan dianggap menghina dalam ruangan Twitter miliknya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat Syamsul Baharin Putra Ahmad Syibi menyifatkan perbuatan Sugumaran mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam Twitter itu biadap dan sebagai menderhaka.

"Kami kesal dengan perbuatan itu dan isu ini perlu ditangani sebaik mungkin. Ini (kenyataan itu) membuktikan satu lagi ancaman kepada negara.

"Titah yang dinyatakan Seri Paduka bukan bertujuan politik, sebaliknya menasihatkan rakyatnya supaya hidup dalam keadaan aman serta sejahtera," katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan berbunyi 'Alat Terbaru politik BN, Agong bertitah mengikut kehendak @najibrazak' dikeluarkan susulan daripada titah Tuanku Mizan Zainal Abidin kelmarin yang meminta rakyat memastikan tuntutan demokrasi tidak membawa kemusnahan kepada negara.

Selain Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik lain turut membuat laporan polis termasuk Gerakan Belia 4B Cawangan Ipoh Barat, Gerakan Bina Bangsa Melayu Kinta, Badan Penasihat Ayahanda Insan Malaysia dan Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak.

Ahli UMNO Diingatkan Jauhi Politik Fraksi



Ahli UMNO diingatkan agar menjauhkan diri dari politik fraksi atau berpecah-pecah kerana ia sememangnya boleh menjejaskan prestasi parti. YAB DS Najib Tun Razak berkata, politik fraksi semestinya menjejaskan prestasi sesebuah parti itu menjelang pilihan raya dan untuk itu juga, apabila sampai masa untuk pilihan raya kepentingan parti mengatasi kepentingan yang lain. 
Perdana Menteri berkata amalan yang bersifat jatuh-menjatuhkan sesama sendiri itu perlu dielakkan, sebaliknya meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu, mengatasi kepentingan peribadi dan kepentingan tertentu.
Najib berkata amalan negatif itu bukan saja berlaku dalam UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, tetapi juga dalam parti pembangkang di mana setiap kali adanya pemilihan parti, perkara itu sering kali akan timbul.
“Ia bukan saja ada dalam UMNO tapi termasuk juga pembangkang. Bila ada pemilihan secara terbuka dan ada perbezaan pendapat dalam parti politik yang amalkan kefahaman demokrasi, maka akan timbullah keadaan tertentu di mana pelbagai kumpulan yang bersikap demikian di peringkat akar umbi,” katanya.
Presiden UMNO itu berkata setiap ahli parti perlu memberikan sokongan mereka kepada calon yang dipilih parti dengan mengetepikan sikap negatif mereka terhadap calon berkenaan, dan tidak mengambil kesempatan untuk menjatuhkannya.
“Kalau parti sudah pilih sesiapa jadi calon, semua orang mesti sokonglah walaupun kita mungkin tidak minat dia secara peribadi sebab dia merupakan   calon telah dipilih oleh parti, jadi kalau ada sikap sedemikian dan kita dapat mengelakkan daripada perkara jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain, maka kita akan berjaya dalam pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, semasa berucap, Najib berkata proses muhasabah dalam parti amat penting bagi memperbetulkan kesilapan yang berlaku pada pilihan raya umum lalu dapat diperbaiki untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.
Hasil muhasabah itu, katanya berupaya memberikan kekuatan dan keyakinan baru yang boleh meningkatkan prestasi pada pilihan raya umum akan datang.
“Kita mahu bangkit daripada mimpi ngeri pada 2008 (kekalahan beberapa negeri kepada pembangkang), kita bangkit semula dengan kekuatan yang kita sendiri tak terfikir boleh dicapai, maknanya kalau lakukan muhasabah diri dan bergerak dalam satu pasukan dan letakkan parti mengatasi segala-galanyanya maka parti kita akan berjaya,” katanya.

Wanita UMNO mahu tindakan keras diambil bagi cegah perhimpunan BERSIH 2.0 dan Anti BERSIH



Tindakan keras seharusnya diambil bagi mencegah perhimpunan Bersih 2.0 serta ANTI Bersih yang akan diadakan Julai depan. Ketua Penerangannya, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan sedemikian perlu bagi mencegah berlakunya pertembungan yang boleh mengakibatkan satu pertelingkahan yang besar di kalangan rakyat.

Katanya, kesemua 1.3 juta ahli Wanita UMNO yang cintakan keamanan dan kedamaian tidak bersetuju dengan tindakan beberapa pihak dalam mengadakan perhimpunan itu yang melanggar sistem demokrasi yang menjadi amalan negara ini.

"Wanita UMNO berpandangan perhimpunan sedemikian adalah suatu tindakan yang boleh memburukkan keadaan dan merugikan 27 juta rakyat Malaysia.

"Perhimpunan itu juga akan menyebabkan kepercayaan pelabur di luar negara ke atas negara ini yang sebelum ini aman damai akan terhakis sama sekali," katanya.

Hentikan Budaya Kecil Hati Dalam UMNO



Budaya kecil hati dikalangan ahli - ahli UMNO yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya akan ditangani. Budaya itu sebenarnya hanya akan merugikan UMNO dan untuk itu satu modul akan dirangka bagi “merawat” kekecewaan mereka,  demikian ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Modul tersebut akan dirangka kerana sebelum ini, anggota UMNO banyak menghabiskan masa dalam tempoh berkempen untuk memujuk anggota yang merajuk akibat tidak terpilih dan bukan hanya menumpukan perhatian untuk bertemu dengan pengundi. 
Modul untuk menghakis budaya berkecil hati dan merajuk itu akan dirangka dalam simulasi pilihan raya umum olok-olok tidak lama lagi, katanya, sambil menambah beliau telah ditugaskan Majlis Tertinggi UMNO sebagai pengerusi dan penyelaras untuk simulasi pilihan raya di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Modul akan ditentukan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan di antaranya adalah untuk memastikan supaya jentera parti diwujudkan awal dan isu -isu sakit hati, jauh hati dan retak hati akan dihakiskan. Budaya sedemikian perlulah dihentikan kerana ia hanyalah perbuatan sabotaj kepada parti selain menganggu anggota UMNO memberi fokus kepada pilihanraya.
Selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menegur ahli dan pemimpin UMNO yang menyalah guna media baru seperti Facebook, Twitter dan blog dengan cara yang salah kerana mengecam sesama ahli dan bermusuhan sesama sendiri. 

UMNO perlu laku transformasi politik untuk menangi hati rakyat





Generasi muda hari ini tidak lagi melihat dan memandang UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang boleh memenuhi keperluan mereka, demikian ujar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. 

Bukan hanya sekadar memenuhi keperluan asas, sebaliknya generasi muda pada hari ini memerlukan sebuah parti yang boleh memahami keperluan dan masalah rakyat daripada pelbagai aspek termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan serta peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Kita tidak boleh membiarkan pembangkang menjadi suara rakyat hingga terpaksa menggubal dasar baru.

"Apa yang lebih penting transformasi politik ini perlu bermula dengan memahami kawasan sendiri dan semua pihak harus berganding bahu dalam usaha mengeratkan perpaduan kaum," katanya.

Katanya, keputusan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini memberi petanda cemas kepada soal perpaduan kaum apabila DAP berjaya meracuni pemikiran golongan tertentu untuk menyokong politik perpecahan.

"Sudah pasti kejayaan DAP itu akan membawa kesan berpanjangan dan boleh menjejaskan perpaduan rakyat majmuk di negara ini," katanya.

DS Hishamuddin Hussein ~ Transformasi politik perlu disertai dengan bukti



Bagi menarik penyertaan golongan muda, transformasi politik yang dilaksanakan UMNO bukan sajaha perlu dihayati tetapi juga diterjemahkan di peringkat bahagian dan akar umbi dalam bentuk bukti dan hakikat sebenar. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, parti itu kini dilihat lebih demokratik dan mampu menarik penyertaan golongan muda untuk menyertai parti itu.

"Lanskap dunia bukan sahaja berubah di Malaysia tetapi di seluruh dunia tetapi pembangkang sengaja menggunakan isu itu untuk menarik perhatian rakyat.

"Tetapi dengan kebijaksanaan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita sudah mengorak langkah lebih awal daripada aspek kerajaan, ekonomi dan parti dengan membawa pendekatan baru atau tranformasi yang dituntut oleh rakyat," katanya.

Bagaimanapun katanya, ketika ini tranformasi politik itu masih belum nampak kesannya kerana ia masih di peringkat awal pelaksanaan.

"Bagi pemilihan secara pilihan raya, kita sudah meminta UMNO Bahagian Larut yang mempunyai cawangan terbesar iaitu 148 cawangan untuk melaksanakannya walaupun pemilihan sebenar masih jauh.

"Apa yang lebih penting ialah undi perwakilan ini yang akan menentukan siapa yang bakal menjadi Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, sekaligus menjadi sebahagian daripada detik bersejarah dalam parti," katanya.

BN Perak akan kenal pasti calon berpotensi menang untuk pilihan raya umum ke-13



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sehingga kini BN Perak sudah mengenal pasti beberapa calon yang boleh memenuhi kriteria yang ditetapkan dan prestasi mereka akan terus dipantau secara berterusan.

"Kita tidak akan sama sekali meletakkan calon yang tidak disukai rakyat, ataupun di kalangan mereka yang mempunyai kes buruk dan sering menjadi perbualan orang ramai.

"Inilah realiti sebenar politik masa kini dan kita akan berusaha membuat banyak perubahan (calon) pada pilihan raya umum nanti," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, berkata semua ahli parti komponen BN perlu akur dengan senarai calon yang bakal diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak kerana sebagai ahli sepatutnya menunjukkan sepenuh kepercayaan terhadap pimpinan tertinggi.

Dalam perkembangan lain, Zambry turut meminta generasi muda hari ini melibatkan diri mereka dalam pengurusan dan hal ehwal parti untuk menentukan kesinambungan hala tuju serta matlamat parti.

"Generasi muda adalah aset berharga dalam parti dan sepatutnya mereka diberi peluang untuk menentukan hala tuju parti. Kita tidak mahu mereka ditarik menjadi ahli hanya untuk menambah bilangan ahli semata-mata.

"Sepatutnya, golongan sedemikian diberi peluang untuk bekerja dan mempelajari aspek pentadbiran termasuk persediaan untuk menjadikan mereka sebagai barisan pelapis pemimpin parti akan datang," katanya.

Ahli UMNO perlu hayati gesaan Datuk Seri Najib Tun Razak






YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyuarakan bahawa UMNO Perak menyambut baik gesaan YAB Dato' Seri Najib Tun Razak untuk mengelak daripada berleluasanya amalan politik berpuak-puak di dalam parti. Gesaan tersebut merupakan satu peringkat yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua ahli UMNO di semua peringkat termasuk bahagian dan cawangan.


"Kekuatan UMNO hari ini membolehkan kita mampu untuk menghadapi segala cabaran tetapi pada masa sama ia juga mengingatkan kita tentang kelemahan di dalam parti," katanya. 

Zambry berkata, bagi memastikan UMNO terus kukuh, setiap ahlinya tidak perlu menggunakan strategi yang diwujudkan untuk menentang orang luar sebagai perjuangan untuk menjatuhkan ahli UMNO sendiri. 

"Saya yakin sekiranya ahli UMNO berbalik kepada perjuangan asal parti iaitu ‘Bersatu, Setia dan Berkhidmat' maka UMNO mampu menangkis cabaran pada masa akan datang. 

"Situasi politik yang berlaku pada 2008 perlu diambil iktibar bagi menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang lebih kuat berbanding parti lain," katanya.

DS Najib Tun Razak ~ Ahli UMNO Akan Diuji Kesetiaan Bila Sampai Masa Nanti



Kesetiaan anggota UMNO terhadap perjuangan parti akan diuji apabila tiba masanya ujar Presiden UMNO Dato' Seri Najib Tun Razak. 
Walaupun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa ujian itu secara langsung mengaitkan pemilihan calon pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
“Apakah kita sudah cukup setia kepada Umno? Apakah tak jadi calon kita akan setia kepada Umno? Betul? Setia? Betul serah mandat pada pucuk pimpinan? Terima kasih. Saya akan uji bila sampai masa nanti.
“Jangan nanti ada yang merajuk, tidak mahu kerja dan pergi ke luar negara kalau tidak terpilih menjadi calon pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun Umno ke-65 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Najib, mendapat respon daripada kira-kira 3,000 hadirin yang hadir memenuhi Dewan Merdeka yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Umno dari seluruh negara.
Turut sama pada majlis malam ini, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, naib-naib presiden serta ketua-ketua sayap parti.
Dalam pada itu, Najib turut mengajak semua anggota dan pemimpin Umno melafazkan ikrar supaya terus sama-sama mendampingi rakyat dan berkhidmat bersungguh-sungguh serta prihatin kepada keperluan dan suara rakyat di peringkat akar umbi.
Sambil mengajak hadirin mengimbas kembali sejarah penubuhan Umno 65 tahun lepas, Najib mengingatkan anggota dan pemimpin supaya menghindari sikap berpuak-puak atau politik ‘factionalisme’ untuk memastikan Umno terus menjadi parti yang kuat dalam negara.
“Kalau Umno bersatu, apatah lagi kalau orang Melayu pegang, Umnolah parti keramat untuk orang Melayu, Umno itu Melayu…Melayu itu Umno, kita merupakan parti yang kuat dalam negara ini.
“Kita tidak mahu Umno senasib parti-parti lain. Parti yang telah banyak berjasa tapi telah terkubur, yang telah berbudi tapi mengalami kekalahan. Umno belum mengalami nasib sebegitu dan janganlah kita menghadapi nasib yang sama.
Najib berkata Umno juga sudah mempunyai cukup kekuatan untuk terus menjayakan dan memantapkan agenda transformasi negara di samping telah mempunyai jenama tersendiri yang masih di pandang tinggi oleh rakyat jelata.
Pada majlis itu, Najib turut menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ serta memotong pulut kuning.

Jiwai Slogan UMNO Dahulukan Rakyat



Seluruh pimpinan parti pelbagai peringkat UMNO diajak untuk benar -  benar menjiwai slogan "UMNO Mendahulukan Rakyat". Ia adalah perlu bagi memperteguhkan lagi perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair. Pada masa Ketua Penerangan UMNO, Dato' Ahmad Maslan turut menyeru semua ahli UMNO bersama melakukan transformasi parti seperti mana yang disaran Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Pada hari ulang tahun UMNO ini marilah kita bersama-sama dari Perlis hingga ke Sabah menginsafi serta melaksanakan tugas dan tanggungjawab mendahulukan rakyat bagi memperkukuhnkan perjuangan kita mengangkat martabat agama dan bangsa serta membina negara agar terus maju, aman dan makmur”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau juga turut menyeru agar semua ahli dan pimpinan UMNO pelbagai peringkat untuk menyahut saranan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan transformasi politik bagi menjamin kelansungan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu di samping membela rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Transformasi itu membawa maksud perubahan besar dan transfomasi politik seperti yang disarankan presiden kita antara lain sifarkan masalah di bahagian-bahagian, bekerja sebagai satu pasukan, mendahulukan rakyat, menggunakan segala medium media baru dan bersifat inklusif”, ujarnya.
Jelas beliau lagi selama 65 tahun UMNO telah banyak membuat jasa, menjaga rakyat, meningkat taraf hidup rakyat, melengkapkan prasarana hidup rakyat, memberi pendidikan, peluang pekerjaan, keamanan, keharmonian, mengangkat martabat negara ini ke tahap yang lebih tinggi dan pelbagai kejayaan lagi.
“Semua perjuangan UMNO itu dirumus dalam perjuangan agama, bangsa dan tanahair.
“Justeru kepada pendukung, pecinta, ahli, aktivis UMNO….pada 11 Mei ini marilah kita menginsafi  akan segala jasa-jasa yang telah kita lakukan pada rakyat dan ikhlaskan niat kita untuk terus perjuangkan agama, bangsa dan tanahiar ini dengan bersunggu-sungguh”, katanya.

YAB DS Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ~ Ahli UMNO Perak diminta tidak leka dan lalai



Ahli - ahli UMNO Perak diingatkan agar tidak leka dan lalai. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, kajian terbaru yang dibuat Zentrum Future Studies mengenai senario politik di Perak itu mendapati parti berkenaan tidak boleh memandang ringan bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Sehubungan dengan itu juga, usaha berterusan akan dipergiatkan bagi meraih lebih banyak sokongan rakyat terutamanya di kalangan masyarakat Cina.

"Biarlah mereka buat ramalan dan analisis. Saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti akan ditafsirkan sebagai angkuh.

"Tapi ini tidak bermakna UMNO Perak tidak yakin untuk memenangi pilihan raya cuma apa yang penting kita meneruskan agenda yang ditetapkan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini," katanya.

Zambry berkata, UMNO Perak kini berada pada kedudukan paling kukuh dan bersedia bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan penghujung tahun ini.

"Saya yakin selagi semua ahli bersatu, kita pasti mampu mengorak kejayaan dan mempertahankan pentadbiran BN di Perak," katanya.

Biasiswa dan Kolej UMNO...





UMNO dicadangkan menawarkan Biasiswa UMNO dan menubuhkan Kolej UMNO bagi menyerlahkan peranan UMNO dalam pembangunan belia di Malaysia. Perkara tersebut dicadangkan oleh Timbalan Badan Perhubungan UMNO Kedah,  Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penekanan nama UMNO itu sendiri perlu dalam membuktikan kepada rakyat khususnya kepada Bumiputera akan sumbangan parti UMNO dalam pembangunan golongan muda. Walaubagaimanapun, penawaran biasiswa dan penubuhan Koleh UMNO perlulah memberi manfaat kepada semua dan bukan hanya kepada anak-anak ahli UMNO sahaja. 
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  berkata langkah itu perlu memandangkan masih ada pelajar bumiputera yang cemerlang namun keciciran daripada menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan kolej itu boleh dilaksanakan dengan mengambil alih institusi sedia ada atau bekerjasama dengan mereka.
Terdahulu semasa berucap, Mukhriz meminta anggota Pemuda tidak takut dalam menyuarakan keperluan komuniti kepada pucuk pimpinan, namun pada masa yang sama harus menjaga tata susila dan tidak melampau.
“Jangan biarkan pembangkang bersuara untuk masyarakat,” katanya.
Beliau turut meminta semua anggota UMNO dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) bersatu dan tidak membiarkan pertelingkahan kecil menjadi api dalam sekam yang boleh memusnahkan semangat setiakawan.

UMNO Tidak Akan Gadai Prinsip Perjuangan Walau Berdepan Cabaran Getir




Walaupun berhadapan dengan suasana politik yang getir dan mencabar, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa UMNO tidak akan sesekali menggadaikan prinsip perjuangannya tidak seperti PKR dan PAS.
UMNO juga sentiasa istiqamah dalam mempertahankan kesucian Islam dan membela bangsa Melayu kerana itulah prinsip asas perjuangan UMNO jika dibandingkan dengan PAS yang boleh mengenepikan prinsip perjuangan semata-mata untuk meraih sokongan politik.
Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar di sini, Ahad.
Timbalan Perdana Menteri berkata lebih lama Pas berada di dalam pakatan pembangkang, lebih banyak prinsip perjuangan parti itu akan terhakis dantergadai.
Bagi PKR pula, katanya parti pembangkang itu langsung tidak ada prinsip perjuangan kerana dari mula ditubuhkan, perjuangannya hanyalah untuk Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya apabila Anwar dilanda masalah, parti itu turut dilanda masalah yang parah dengan PKR kini dkenali sebagai “Parti Kian Runtuh” dan “Parti Kelua rRamai-Ramai”.
Beliau berkata sekiranya anggota UMNO terus istiqamah dengan prinsip, falsafah dan roh perjuangan parti, UMNO akan terus bertambah kuat dan dihormati.
“Jangan kita gadai perjuangan kita, kerana prinsip inilah yang menentukan kewujudan dan kelangsungan UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu yang gagah dan perkasa,” katanya.
Menurut Muhyiddin, UMNO tidak pernah mengambil pendekatan yang ekstrem di dalam perjuangan kepentingan Melayu dan Islam dan sentiasa bersikap adil terhadap semua dengan mengambil kira realiti sosial masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

UMNO Jangan Sesekali Lupa Akar Umbi...

UMNO jangan sesekali lupa akar umbi. Pendapat itu dinyatakan oleh Timbalan Majlis Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mohd Zaid Sirat yang jelas amat berbangga kerana dapat melihat perkembangan UMNO sejak merdeka sehingga kini. 

11 Mei 2011, UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke 65. Sudah pasti, sepanjang tempoh tersebut kita dapat lihat telah banyak jasa dan perjuangan UMNO yang dapat dinikmati rakyat bukan sahaja dikalangan orang Melayu malah kaum-kaum lain di negara ini. UMNO juga tidak pernah gentar demi memartabatkan dan memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Transformasi dan aspirasi yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga semakin diterima ramai. 

Datuk Mohd Zaid Sirat juga mengingatkan "Jika dahulu, nenek moyang kita mengerah keringat memperjuangkan parti demi masa depan kita, kini telah menjadi tugas kita pula untuk memertahankan perjuangan mereka". 

Beliau juga menyarankan agar pemimpin muda masa kini menyelami dan menyingkap kembali bagaimana perit jerih orang dahulu berkorban demi UMNO. Bukan sahaja wang ringgit dikorbankan sebaliknya tenaga turut sama semata-mata untuk memastikan generasi akan datang hidup selesa.

“Walaupun kadangkala saya agak sedih melihat anak muda yang semakin alpa dengan sejarah perjuangan parti tetapi saya yakin, semua ini hanyalah sekadar carik-carik bulu ayam.
“Bangsa Melayu bagi saya tetap masih utuh selagi kita di bawah satu agama iaitu agama Islam. Inilah kekuatan kita dan menyatukan kita. Sekiranya terjadi sebarang musibah, sudah pasti bangsa Melayu akan bersatu tanpa mengira fahaman politik. Inilah kelebihan kita yang kukuh sejak azali,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Katanya, kekuatan yang ada pada orang Melayu sememangnya wajib  dipertahankan di samping sifat  yang sering bertolak ansur dengan bangsa lain, membuatkan negaraini rukun, damai dan harmoni.
“Inilah semangat kebangsaan 1Malaysia yang cuba diterap oleh Perdana Menteri kita. Semangat kebangsaan berbilang kaum ini membuatkan negara luar hormat dan tidak berani menceroboh negara kita seperti apa yang terjadi di negara-negara Islam yang lain.
“Pendekatan 1Malaysia walaupun ditentang oleh pembangkang, tetapi inilah tunjang kekuatan rakyat berbilang kaum di sini. Saya berharap, transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri diterima oleh semua lapisan masyarakat kerana ianya adalah perpaduan untuk semua,” jelas beliau lagi.
Melihat akan fenomena arus politik masa kini, beliau menasihatkan agar para pemimpin tidak mengira pangkat atau bangsa, lebih bersikap terbuka di dalam menerima teguran serta mengamalkan amalan tegur menegur sekiranya terlihat sebarang kekhilafan.
“Sekiranya perkara ini dapat kita laksanakan dengan baik, sudah pasti negara kita akan lebih maju dan makmur. Rakyat juga akan lebih mempercayai kita di dalam memperjuangkan nasib mereka. Saya mengharapkan keutuhan rakyat semakin padu dalam menyusuri kemajuan negara yang semakin mencabar di pentas dunia.
“Tidak salah kita pandang sedikit ke belakang bagaimana nenek moyang kita saling menegur semata-mata ingin melihat parti semakin kukuh. Bagaimana nenek moyang kita membantu pemimpin untuk mendapatkan kemerdekaan negara tanpa sebarang keluhan. Inilah yang membuatkan UMNO terus maju sehingga kini. Semoga ianya terus kukuh dan merintis nasib anak bangsa kita.
“Apa yang penting, jangan sesekali kita lupa akan akar umbi apabila telah menjawat sesuatu jawatan. Pandang ke bawah walau telah terbang jauh ke awan,” katanya.

UMNO masih relevan dan dapat penerimaan positif di kalangan generasi muda




Masih releven kah UMNO di hati rakyat khususnya di kalangan generasi muda? Menurut, Ketua Penerangan Wanita UMNO pusat, Datuk Hamidah Osman, berkata UMNO masih menjadi parti pilihan rakyat, selain merupakan parti keramat di kalangan orang Melayu.

"Tiada parti lain selain UMNO yang mampu membela nasib orang Melayu daripada segi agama, bangsa dan tanahair sejak dahulu, kini dan selama-lamanya," katanya.

Selain itu, Hamidah yang juga exco kanan kerajaan Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, berkata UMNO juga mendapat maklum balas positif dan pertambahan permintaan menjadi ahli terutama di kalangan generasi muda selepas pilihanraya negeri Sarawak yang diadakan baru-baru ini.

"Perkembangan positif itu sangat dialu-alukan UMNO kerana situasi hari ini memerlukan penyatuan dan perpaduan kuat di kalangan Melayu demi mempertahankan hak mereka di negara ini.

"Selain itu, generasi itu amat diperlukan bagi menggantikan pemimpin sedia ada demi untuk kelangsungan kecemerlangan parti," katanya.

MCA tidak perlu bimbang dengan program "Jom Sertai UMNO"


MCA tidak perlu bimbang dengan program JOM sertai UMNO kerana ia hanya bertujuan untuk menarik lebih ramai menyertai UMNO, khususnya Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Ghaffar, berkata penganjuran program itu bukan bertujuan sebagai strategi merampas kerusi parlimen yang sebelum ini dipegang MCA, tetapi lebih kepada untuk kepentingan parti secara keseluruhan.

"Kita memang sedang giat melancarkan gerakan menerusi pelbagai program untuk menarik lebih ramai pembabitan golongan muda di Perak menyertai UMNO khususnya Bahagian Ipoh Barat.

"Bagaimanapun, tidak terlintas bagi kami untuk meminta mana-mana kerusi baik di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk diserahkan kepada UMNO," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu hanya bertujuan mendidik dan memberi penjelasan kepada golongan sasar mengenai kepentingan memahami sejarah serta perjuangan sebenar UMNO, khususnya BN.

Lagipun katanya, sehingga kini terdapat 73,000 pengundi di Parlimen Ipoh Barat dan 10 peratus daripadanya mewakili Melayu.
"Jadi mustahil untuk kami mengetengahkan calon di kalangan Melayu pada pilihan raya akan datang nanti," katanya.

PERTANDINGAN MENULIS ESEI SEMPENA SAMBUTAN ULANGTAHUN KEPUTERAAN DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK YANG KE- 83




Sekretariat Pembangunan Masyarakat & Sosial Pergerakan Wanita Umno Negeri Perak Dengan  Kerjasama Jabatan Pelajaran Perak Pertandingan Menulis EseiSempena Sambutan Ulangtahun Keputeraan Dymm Paduka Seri Sultan Perak Yang Ke- 83
1. Pengenalan:
Program ini julung kali diadakan oleh Sekretariat Pembangunan Masyarakat & Sosial Pergerakan Wanita UMNO Negeri Perak melalui Biro Pendidikannya, sebagai perintis kepada program penerangan dan pendidikan yang dirancang untuk murid-murid terutama dalam mengenali dan memahami sistem Raja Berpelembagaan negara kita. Pertandingan Menulis Esei ini juga adalah salah satu pendekatan bagi mengukuhkan penghayatan murid-murid terhadap Rukun Negara ke 2 ’Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’.

Justeru pihak kami melalui Jabatan Pelajaran Negeri mempelawa murid-murid dari peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah dari seluruh negeri Perak untuk mengenali dan menghasilkan buah fikiran tentang Rukun Negara ke 2 itu dalam bentuk penulisan ilmiah bertemakan ’Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ sempena sambutan Keputeraan Ke Bawah DYMM Paqduka Seri Sultan Perak ke-83.
1.1 Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri- negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang Di Pertuan Agung (http://www.scribd.com/doc/13947808/Rukun-Negara)
2. Matlamat
Meningkatkan kesedaran akan pentingnya mengukuhkan perasaan taat setia kepada raja dan negara dalam kalangan murid sebagaimana yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara.
3. Objektif
3.1.  Meningkatkan pemahaman dan penghayatan murid-murid terhadap Raja Berpelembagaan dan menambahkan taat setia kepada Raja dan Negara.
3.2.  Memupuk dan menggalakkan murid-murid  untuk membaca, membuat penyelidikan dan menulis mengenai Kedaulatan Raja  khususnya Ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
3.3.  Mendidik dan meningkatkan pengetahuan murid-murid  mengenai peranan raja-raja dalam dalam Sistem Demokrasi Berparlimen negara kita.
3.4.  Mencungkil keupayaan murid-murid  untuk berfikir secara kritis dan analitis serta bijaksana dalam mempersembahkan kesetiaan mereka kepada raja dan negara  dalam bentuk penulisan.
4.  Pelaksanaan
4.1   Tarikh :  1 April  2011 – 19 Mei 2011
4.2   Penyertaan :
Pertandingan ini terbuka kepada semua murid Sekolah Rendah dan Menengah
(Kerajaan dan Bantuan Kerajaan)  yang dibahagikan kepada 3 kategori:
A.  Kategori  A  (Rendah:  Tahun 4-6)  -  120 hingga 200 patah perkataan
B. Kategori  B  (Menengah Rendah: Ting. 1-3) – 200 hingga 400 perkataan
C. Kategori  C  (Men. Atas:Ting 4 – 6 Atas) – 500 hingga 1000 perkataan
4.3   Tajuk Esei :
Kategori Rendah :  Menjunjung Kasih Ke Bawah DYMM Sultan Perak.
Kategori Menengah Rendah : Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Kategori Menengah Atas : Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Asas        Keamanan dan Kemakmuran Negara.
4.5  Alamat Pos:
URUSETIA,
PERTANDINGAN ESEI KEPUTERAAN DYMM SULTAN PERAK,
10-U JALAN TUN ABDUL RAZAK,
30100 IPOH, PERAK
5.   Syarat-Syarat Pertandingan dan Hadiah: –
Sila rujuk Lampiran 1 dan Lampiran 2
6.   Jawatankuasa
Penaung        : YAB Dato’ Seri Dr Zambry bin Hj Abdul Kadir
(Menteri Besar Perak)
Penasihat       : YB Dato’ Hajah Rusnah Bt Kassim
(Ketua Wanita UMNO Negeri Perak)
Pengerusi      : Datin Normah Hanum Bt. Dato’ Ibrahim
Pengerusi Sekretariat Pembangunan Masyarakat
dan Sosial Pergerakan Wanita UMNO Negeri Perak                                                                             
N/Pengerusi   : YB Cik Nolee Ashilin Bt. Dato’ Mohd Radzi
ADUN Tualang Sekah
Setiausaha    : Pn.Hjh. Rohani bt. Idris
Jawatankuasa Kecil:
Pn. Rosmaizar bt. Mat  Ali
En. Ahmad Faizal bt. Dato’ Azumu
En. Idris bin Ngah  Mat Ariffin
Pengerusi  Biro Pendidikan UMNO Bahagian
8. Penutup
Dengan penganjuran program ini pihak kami berharap usaha untuk menerapkan tentang peri pentingnya semangat Rukun Negara disemarakkan di dada setiap rakyat, akan menjadi kenyataan. Program-program lebih kecil dapat diselaraskan dalam kalangan masyarakat terutama murid-murid  sekolah dalam usaha mendidik mereka mengenali negara Malaysia yang mengamalkan Sistem Demokrasi dan Raja Berpelembagaan.

Disediakan oleh;                                                         Disahkan oleh

(PN. HJH. ROHANI BT. IDRIS)
Setiausaha
Pertandingan Esei
(Datin Normah Hanum bt Dato’ Ibrahim
Sempena Keputeraan DYMM  Sultan Perak              Pengerusi Sekretariat Pembangunan
Masyarakat dan Sosial Pergerakan Wanita
UMNO Negeri Perak


LAMPIRAN 1       Syarat-Syarat Penyertaan
1   Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.
2  Setiap sekolah hanya layak untuk menyerahkan  satu esei sahaja bagi setiap Kategori.
3  Peserta hanya boleh menghantar penyertaan secara individu, walau bagaimanapun penyelidikan dan perlaksanaan kerja penulisan esei bolehlah dilakukan secara berkumpulan.
4  Tuliskan nama peserta, nombor sijil kelahiran/kad pengenalan, nama dan alamat sekolah di dalam borang penyertaan pertandingan sahaja. Setiap penyertaan mestilah dengan cop pengesahan dari Guru Besar/Pengetua masing-masing.
5  Nama Peserta dan Nama Sekolah tidak boleh dimasukkan di dalam mana-mana halaman esei.
6  Peserta hendaklah menulis jenis Kategori (A/ B/ C) pada sudut sebelah kiri sampul surat semasa mengirimkan penyertaan.
7  Esei hendaklah dihantar melalui pos/serahan tangan dan pihak penganjur tidak bertanggungjawab jika esei yang dihantar rosak atau hilang semasa dalam pengiriman/pos.
8  Plagiat – iaitu meniru kenyataan atau idea orang lain adalah dilarang sama sekali. Jika didapati juga, maka penyertaan akan dibatalkan serta-merta.
9  Semua esei mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu (tidak ada kategori yang berasingan) dan mematuhi jumlah perkataan yang dibenarkan.
10 Setiap esei mestilah ditaip, berselang dua baris (double spacing) di atas kertas putih bersaiz A4, guna font 12 (Arial atau Times New Roman). Setiap muka surat perlu diletakkan nombor.
11  Setiap hasil kerja yang pernah diterbitkan di dalam akhbar,majalah atau lain-lain penerbitan tidak boleh digunakan untuk penyertaan.
12  Dilarang menyentuh hal-hal yang sensitif seperti sentimen bangsa, agama mahupun politik.
13  Setiap esei yang dihantar akan menjadi hak mutlak penganjur (iaitu Sekretariat Pembangunan Masyarakat dan Sosial , Pergerakan Wanita UMNO Negeri Perak). Penganjur berhak untuk meminda atau menyiarkan mana-mana esei atau bahagian esei peserta.
14  Semua penyertaan hendaklah sampai sebelum atau pada  19 Mei 2011 .
15.  Keputusan Hakim adalah muktamad.
16.   Esei-esei yang dihantar akan dibatalkan jika:-
i.  Tidak menepati kehendak tajuk yang ditetapkan.
ii.  Tidak mempunyai nota rujukan atau bibliografi
iii.  Tidak menggunakan sumber selain dari internet sahaja.
iv.  Tidak asli/plagiat – meniru atau mencuri idea orang lain.
v.  Dihantar/ sampai ke tangan Urusetia selepas tarikh tutup 19/5/2011
LAMPIRAN 2
Hadiah Pertandingan
PEMENANG
KATEGORI  A
(Sekolah Rendah)
KATEGORI  B
(Menengah Rendah)
KATEGORI  C
(Menengah Atas)
PERTAMA
RM500.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
RM700.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
RM1000.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
KEDUA
RM300.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
RM500.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
RM700.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
KETIGA
RM150.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
RM300.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
RM500.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
5 SAGUHATI
RM50.00
Sijil
Plak Penyertaan
RM100.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
RM100.00 tunai
Sijil
Plak Penghargaan
Sekolah Pemenang akan menerima Cenderamata daripada pihak penganjur
Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang akan diberitahu oleh pihak penganjur.
Sebarang Pertanyaan sila hubungi
Pn.Hjh.Rohani bt. Hj. Idris                       -  012-5273443
Datin Normah Hanum bt. Dato Ibrahim   -  012-5111888