Dakwaan rancangan jahat BN timbul dari imaginasi ganas Pakatan

Dakwaan Pakatan Perak bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai rancangan jahat untuk menyerang wakil rakyat pembangkang semasa sidang DUN Rabu ini semata-mata disebabkan imaginasi ganas mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dakwaan itu timbul kerana rata-rata wakil rakyat Pakatan itu sendiri berfikiran ganas dan berimaginasi liar dengan mengeluarkan bermacam-macam kenyataan provokasi.

"Mereka mempunyai imaginasi liar...maka tidak hairanlah mereka bertindak liar. Buktinya adalah sidang DUN 7 Mei yang lalu. Rakyat boleh lihat siapakah yang mempunyai rancangan jahat...siapa yang tidak bertamadun dan ganas dengan berdiri di atas meja semasa dewan bersidang dahulu," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menuduh bahawa BN mempunyai rancangan jahat untuk menyerang wakil Rakyat Pakatan yang cuba membuat kecoh pada sidang DUN 28 Oktober ini.

Nizar menuduh BN kononnya telah menggantikan bentara Dewan dengan mengupah 15 samseng dari UMNO.

Zambry menggesa rakyat supaya tidak mempercayai segala tuduhan Pakatan kerana mereka sendiri tidak pernah menghormati proses demokrasi dan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.

"Mereka langsung tidak ada rasa hormat pada undang-undang. Semua masih ingat semasa sidang 7 Mei lalu, mereka tidak ikut aturan untuk masuk ke dewan. Mereka masuk dulu supaya boleh ubah kedudukan wakil rakyat BN dari kanan ke kiri. Kita mengalah sahaja..tapi orang bukan bodoh," katanya ketika merujuk tuduhan Nizar bahawa BN mempunyai rancangan menghalang wakil rakyat Pakatan daripada memasuki dewan sebelum sidang bermula 10 pagi.

Zambry juga mempersoalkan samada ADUN Tronoh V. Sivakumar itu seorang yang pandai ataupun tidak.

"Sivakumar kini cabar ADUN BN untuk memboikot sidang DUN kerana jika hadir bermakna kita mengiktiraf beliau sebagai Speaker. Saya tidak tahu samada Sivakumar ini pandai atau tidak kerana beliau sendiri telah membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah putuskan (Datuk R.) Ganesan sebagai Speaker yang sah," katanya.

Beliau menasihati wakil rakyat Pakatan supaya belajar menjadi pembangkang yang bertanggungjawab sesuai dengan konteks demokrasi yang kononnya mereka perjuangkan.

Beliau juga mahu Pakatan Perak supaya menghentikan tindakan-tindakan provokasi yang tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

"Semalam (Sabtu) mereka sengaja adakan perhimpunan di Lumut dan Pangkor untuk cabar saya kerana tahu saya berada di tempat sama ketika itu. Tidak perlu saya sebutkan sambutan terhadap program mereka kerana semua tahu berapa orang yang hadir," katanya dengan nada sinis.

No comments:

Post a Comment