MCA tidak perlu bimbang dengan program "Jom Sertai UMNO"


MCA tidak perlu bimbang dengan program JOM sertai UMNO kerana ia hanya bertujuan untuk menarik lebih ramai menyertai UMNO, khususnya Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Ghaffar, berkata penganjuran program itu bukan bertujuan sebagai strategi merampas kerusi parlimen yang sebelum ini dipegang MCA, tetapi lebih kepada untuk kepentingan parti secara keseluruhan.

"Kita memang sedang giat melancarkan gerakan menerusi pelbagai program untuk menarik lebih ramai pembabitan golongan muda di Perak menyertai UMNO khususnya Bahagian Ipoh Barat.

"Bagaimanapun, tidak terlintas bagi kami untuk meminta mana-mana kerusi baik di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk diserahkan kepada UMNO," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu hanya bertujuan mendidik dan memberi penjelasan kepada golongan sasar mengenai kepentingan memahami sejarah serta perjuangan sebenar UMNO, khususnya BN.

Lagipun katanya, sehingga kini terdapat 73,000 pengundi di Parlimen Ipoh Barat dan 10 peratus daripadanya mewakili Melayu.
"Jadi mustahil untuk kami mengetengahkan calon di kalangan Melayu pada pilihan raya akan datang nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment