BN Perak akan kenal pasti calon berpotensi menang untuk pilihan raya umum ke-13



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sehingga kini BN Perak sudah mengenal pasti beberapa calon yang boleh memenuhi kriteria yang ditetapkan dan prestasi mereka akan terus dipantau secara berterusan.

"Kita tidak akan sama sekali meletakkan calon yang tidak disukai rakyat, ataupun di kalangan mereka yang mempunyai kes buruk dan sering menjadi perbualan orang ramai.

"Inilah realiti sebenar politik masa kini dan kita akan berusaha membuat banyak perubahan (calon) pada pilihan raya umum nanti," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, berkata semua ahli parti komponen BN perlu akur dengan senarai calon yang bakal diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak kerana sebagai ahli sepatutnya menunjukkan sepenuh kepercayaan terhadap pimpinan tertinggi.

Dalam perkembangan lain, Zambry turut meminta generasi muda hari ini melibatkan diri mereka dalam pengurusan dan hal ehwal parti untuk menentukan kesinambungan hala tuju serta matlamat parti.

"Generasi muda adalah aset berharga dalam parti dan sepatutnya mereka diberi peluang untuk menentukan hala tuju parti. Kita tidak mahu mereka ditarik menjadi ahli hanya untuk menambah bilangan ahli semata-mata.

"Sepatutnya, golongan sedemikian diberi peluang untuk bekerja dan mempelajari aspek pentadbiran termasuk persediaan untuk menjadikan mereka sebagai barisan pelapis pemimpin parti akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment