UMNO Jangan Sesekali Lupa Akar Umbi...

UMNO jangan sesekali lupa akar umbi. Pendapat itu dinyatakan oleh Timbalan Majlis Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mohd Zaid Sirat yang jelas amat berbangga kerana dapat melihat perkembangan UMNO sejak merdeka sehingga kini. 

11 Mei 2011, UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke 65. Sudah pasti, sepanjang tempoh tersebut kita dapat lihat telah banyak jasa dan perjuangan UMNO yang dapat dinikmati rakyat bukan sahaja dikalangan orang Melayu malah kaum-kaum lain di negara ini. UMNO juga tidak pernah gentar demi memartabatkan dan memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Transformasi dan aspirasi yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga semakin diterima ramai. 

Datuk Mohd Zaid Sirat juga mengingatkan "Jika dahulu, nenek moyang kita mengerah keringat memperjuangkan parti demi masa depan kita, kini telah menjadi tugas kita pula untuk memertahankan perjuangan mereka". 

Beliau juga menyarankan agar pemimpin muda masa kini menyelami dan menyingkap kembali bagaimana perit jerih orang dahulu berkorban demi UMNO. Bukan sahaja wang ringgit dikorbankan sebaliknya tenaga turut sama semata-mata untuk memastikan generasi akan datang hidup selesa.

“Walaupun kadangkala saya agak sedih melihat anak muda yang semakin alpa dengan sejarah perjuangan parti tetapi saya yakin, semua ini hanyalah sekadar carik-carik bulu ayam.
“Bangsa Melayu bagi saya tetap masih utuh selagi kita di bawah satu agama iaitu agama Islam. Inilah kekuatan kita dan menyatukan kita. Sekiranya terjadi sebarang musibah, sudah pasti bangsa Melayu akan bersatu tanpa mengira fahaman politik. Inilah kelebihan kita yang kukuh sejak azali,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Katanya, kekuatan yang ada pada orang Melayu sememangnya wajib  dipertahankan di samping sifat  yang sering bertolak ansur dengan bangsa lain, membuatkan negaraini rukun, damai dan harmoni.
“Inilah semangat kebangsaan 1Malaysia yang cuba diterap oleh Perdana Menteri kita. Semangat kebangsaan berbilang kaum ini membuatkan negara luar hormat dan tidak berani menceroboh negara kita seperti apa yang terjadi di negara-negara Islam yang lain.
“Pendekatan 1Malaysia walaupun ditentang oleh pembangkang, tetapi inilah tunjang kekuatan rakyat berbilang kaum di sini. Saya berharap, transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri diterima oleh semua lapisan masyarakat kerana ianya adalah perpaduan untuk semua,” jelas beliau lagi.
Melihat akan fenomena arus politik masa kini, beliau menasihatkan agar para pemimpin tidak mengira pangkat atau bangsa, lebih bersikap terbuka di dalam menerima teguran serta mengamalkan amalan tegur menegur sekiranya terlihat sebarang kekhilafan.
“Sekiranya perkara ini dapat kita laksanakan dengan baik, sudah pasti negara kita akan lebih maju dan makmur. Rakyat juga akan lebih mempercayai kita di dalam memperjuangkan nasib mereka. Saya mengharapkan keutuhan rakyat semakin padu dalam menyusuri kemajuan negara yang semakin mencabar di pentas dunia.
“Tidak salah kita pandang sedikit ke belakang bagaimana nenek moyang kita saling menegur semata-mata ingin melihat parti semakin kukuh. Bagaimana nenek moyang kita membantu pemimpin untuk mendapatkan kemerdekaan negara tanpa sebarang keluhan. Inilah yang membuatkan UMNO terus maju sehingga kini. Semoga ianya terus kukuh dan merintis nasib anak bangsa kita.
“Apa yang penting, jangan sesekali kita lupa akan akar umbi apabila telah menjawat sesuatu jawatan. Pandang ke bawah walau telah terbang jauh ke awan,” katanya.

No comments:

Post a Comment