YAB DS Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ~ Ahli UMNO Perak diminta tidak leka dan lalai



Ahli - ahli UMNO Perak diingatkan agar tidak leka dan lalai. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, kajian terbaru yang dibuat Zentrum Future Studies mengenai senario politik di Perak itu mendapati parti berkenaan tidak boleh memandang ringan bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Sehubungan dengan itu juga, usaha berterusan akan dipergiatkan bagi meraih lebih banyak sokongan rakyat terutamanya di kalangan masyarakat Cina.

"Biarlah mereka buat ramalan dan analisis. Saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti akan ditafsirkan sebagai angkuh.

"Tapi ini tidak bermakna UMNO Perak tidak yakin untuk memenangi pilihan raya cuma apa yang penting kita meneruskan agenda yang ditetapkan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini," katanya.

Zambry berkata, UMNO Perak kini berada pada kedudukan paling kukuh dan bersedia bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan penghujung tahun ini.

"Saya yakin selagi semua ahli bersatu, kita pasti mampu mengorak kejayaan dan mempertahankan pentadbiran BN di Perak," katanya.

No comments:

Post a Comment