Peringatan Buat Semua Parti Politik!


Parti-parti politik di negara ini diingatkan agar tidak melampaui batasan berpolitik sehingga mampu mencetus isu perkauman dan keagamaan yang akhirnya merosakkan negara!

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan jika ia tidak diberi perhatian, parti politik itu sebenarnya sangat tidak bertanggungjawab kepada masa depan pembangunan negara yang telah dibina sekian lama.

“Ada had dan batasan untuk berpolitik dan bukan semuanya boleh dipolitikkan dan jika ia berlaku ia satu tindakan tidak bertanggungjawab kepada masa depan rakyat dalam negara ini,” katanya.

Ingatan beliau ini sebagai mengulas ingatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada DAP supaya tidak menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum tersebut.

DS Najib berkata demikian semasa mengulas cadangan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada kerajaan Selangor agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada Bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.

Buat DAP - JANGAN TIMBULKAN KEMARAHAN ORANG MELAYU!


PUTRAJAYA 28 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan DAP supaya tidak terlalu menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum tersebut.


Perdana Menteri menegaskan, kerajaan cuba menentukan dasar-dasar yang adil dan saksama tetapi orang Melayu dan bumiputera akan merasa marah jika parti itu asyik menekankan tentang soal penghapusan dasar membabitkan kepentingan orang Melayu di negara ini.

“Kalau terlalu menekan orang Melayu dan bumiputera tanpa mereka melihat ada juga pihak lain yang memberi pertimbangan kepada orang Melayu terutama sekali swasta, ia akan ada rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.

“Maknanya, orang Melayu pun mengharapkan syarikat-syarikat swasta (yang dikuasai bukan bumiputera) membantu mereka dalam memajukan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan – Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Orlaith Inc. Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Perikatan Malaysia (AFM).

Hadir sama beberapa menteri dan Pengerusi AFM, Tan Sri Sabaruddin Chik.
Pada majlis itu, Najib turut meluangkan masa menonton persembahan teater Tun Razak-Suatu Pengisahan yang menampilkan pelakon Melissa Saila sebagai Tun Rahah manakala Mazlan Tahir sebagai Tun Razak.

Najib mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada kerajaan Selangor agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.

Tony yang juga Penasihat Ekonomi Setiausaha Agung DAP mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Sementara itu Najib berkata, meskipun pemberian diskaun kepada bumiputera itu merupakan bidang kuasa yang termaktub di bawah kerajaan negeri, setakat ini negeri di bawah Barisan Nasional (BN) tidak bercadang menghapuskan dasar berkenaan.

“Walaupun saya akui dasar itu tidak mungkin akan kekal selama-lamanya tetapi pada masa ini, ia (penghapusan diskaun) belum sesuai lagi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, generasi baru boleh mengambil teladan dari segi gaya kepimpinan Tun Abdul Razak yang banyak terserlah termasuk begitu rapat dengan rakyat bawahan.
Katanya, ciri kepimpinan tersebut perlu dikupas dan dianalisis oleh generasi muda hari ini.

“Tun Razak meniti tangga rumah yang robek, ada gambarnya. Dengan hanya berbaju singlet masuk kolam untuk menjala bersama-sama orang kampung, juga ada gambarnya dan meniti jambatan lama di celah-celah bendang, ada gambarnya.

“Imej itu masih tersemat dalam ingatan rakyat sehingga sekarang,” katanya.

Najib mengimbas bapanya terkenal dengan identiti 3B iaitu gemar memakai ‘bush jaket’ ketika di luar pejabat, bertongkat dan berdehem setiap kali ingin berucap menunjukkan beliau cukup teliti soal perwatakan dan pakaian mengikut peredaran fesyen ketika itu.

Perdana Menteri berkata, Allahyarham menunjukkan kepimpinannya sebagai seorang pentadbir yang cekap dan berkesan selain bijak membuat pemilihan pegawai bagi menerajui sesuatu agensi.

“Kebolehan Tun Razak adalah memilih orang terbaik untuk mengisi suatu pekerjaan yang secocok dengan seseorang itu, seperti pelantikan Tan Sri Arshad Ayub menerajui Institut Teknologi Mara (ITM) dan juga pelantikan pemimpin seperti Tan Sri GK Rama Ayer dan Datuk Micheal Chen,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Allahyarham seorang pemimpin bersifat institusi kerana berjaya mencetuskan penubuhan ITM yang sekarang menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pernas, Felda, Felcra, Bank Bumiputera dan lain-lain.

“Ini adalah legasi Tun Razak untuk negara,” katanya.

DAP Sudah Mula Cuba Hapuskan Hak Melayu


Perlukah kita tetap berdiam diri, satu persatu bukti telah menunjukkan bahawa Dap berusaha untuk menidakkan hak-hak keistimewaan Melayu. Semalam, seorang Ahli Parlimen Dap memansuhkan diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor disifatkan sebagai satu petanda awal bahawa parti itu sedia menghapuskan semua hak istimewa Melayu sekiranya diberi kuasa memerintah.

Jelas Dap merupakan sebuah parti yang Chauvinist. Jika misi mereka tercapai, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan akan dipinda dan nasib kehidupan orang Melayu bukan sahaja bertambah perit malah kepentingan Islam juga boleh terjejas.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, ”Adakah ini yang kita mahukan? Adakah kita mahu melihat nasib kaum kita seumpama mengemis di tanah air sendiri? Adakah kita mahu melihat Islam sebagai agama kita yang suci ini terjejas?

”Insaflah, sedarlah, lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin Melayu dan pengikut-pengikut mereka yang terlalu seronok bersekongkol dengan Dap. Cuba lihat Singapura apa sudah jadi dengan orang Melayu di sana?,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Hilmi berkata, secara peribadi beliau meminta kumpulan pemimpin Melayu yang sanggup bekerjasama serta bersekongkol dengan Dap supaya segera bermuhasabah.

”Jangan nanti kita menyesal setelah melihat negara ini tergadai kepada kaum lain,” katanya.
Ketika menjawab satu soalan, Mohd. Hilmi turut mengakui cadangan Tony Pua itu akan melebarkan lagi jurang dalam bentuk pegangan ekuiti antara bumiputera khususnya orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

”Umum mengetahui kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain dalam konteks pegangan ekuiti adalah terlalu jauh. Orang Melayu masih lagi ketinggalan. Ini adalah fakta dan bukannya kenyataan kosong.

”Berapa sangat orang Melayu boleh memberi hartanah komersial dan rumah mewah? Saya percaya ia boleh dikira dengan jari. Selama ini pun sejak berpuluh-puluh tahun sistem diskaun pembelian hartanah oleh bumiputera diamalkan tidak pula timbul masalah,” katanya.


Jika dahulu Singapura menjadi contoh terbaik kepada orang-orang Melayu, kini lihat sahaja di Pulau Pinang.
Cuba jenguk nasib orang Melayu di negeri itu. Pelbagai cara dibuat untuk meminggirkan orang kita di sana.

DS Najib Tun Razak - PAS Jangan Terus Hina UMNO


KOTA KINABALU 18 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan Pas supaya jangan terus menghina UMNO dalam ucapan-ucapan mereka.

“Kalau hendak berbincang janganlah kita mengutuk satu sama lain. Pendirian UMNO untuk menjayakan rundingan perpaduan antara orang Melayu tidak pernah berubah. Terserah kepada Pas untuk menyatakan pendirian mereka.

”Kalau boleh kita tidak mahu ulang-ulang perkara ini sebab ia tidak produktif. Mereka mengetahui pendirian kita dan biarlah mereka menyatakan pendirian terhadap apa sahaja cadangan yang menjurus kepada perbincangan bagi mewujudkan perpaduan di kalangan orang Melayu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Makan Tengah Hari Bersama Pemimpin Cina Sabah di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas kebimbangan pelbagai pihak terhadap nasib orang Melayu yang akan kehilangan kuasa jika terus berpecah dan tidak bersatu padu.

Turut menyuarakan kebimbangan semalam adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

“Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada Pilihan Raya Umum Ke-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru,” tegas Harussani.

Najib berkata, UMNO sentiasa terbuka untuk menjayakan apa sahaja cadangan atau rundingan membabitkan perpaduan orang Islam dan Melayu.

Beliau menambah, setiap rundingan tidak sepatutnya disertai dengan prasyarat kerana ia boleh membantutkan usaha tersebut.

”Dan satu lagi, (Pas) jangan terus hina UMNO dalam ucapan-ucapan mereka. Kalau hendak berbincang janganlah kita mengutuk satu sama lain,” katanya.

Perdana Menteri turut menjelaskan isu royalti tidak sepatutnya dikaitkan dengan usaha penyatuan orang Melayu itu .

”Ini bukan soal royalti minyak. Ini soal wang ihsan sebab kuasa itu terletak bawah Kerajaan Persekutuan mengikut perlembagaan negara,” katanya.

Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau sedia bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin asalkan perbincangan itu tidak menjurus kepada perpaduan antara Pas dan UMNO, sebaliknya membincangkan soal royalti minyak Kelantan. – MediaUMNO

Cari Jalan Baik Selesaikan Masalah Dalaman...


Pemimpin UMNO Bahagian terutama di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang supaya sepakat mencari cara menyelesaikan masalah dalaman mereka supaya ia tidak memberi kesan kepada Barisan Nasional pada pilihan raya nanti.


Perdana Menteri juga mengingatkan bahawa UMNO Bahagian tidak boleh terus bertelagah dan mereka perlu berdamai kerana hanya itu formula untuk mengembalikan kekuatan UMNO. Sikap “KAWAN MAKAN KAWAN” perlu ditukar kepada “KAWAN MAKAN LAWAN”. Jika ia dilakukan, BN boleh kembali merampas kawasan dan negeri yang dikuasai pembangkang.

“Anggota UMNO dan penyokong UMNO sering tidak menyokong calon sendiri menyebabkan UMNO kalah dalam pilihan raya. Jadi, bila pilihan raya, bahagian kenalah pakat pilih calon. (Kita) boleh menang kalau semua berpakat baik-baik. Pilih calon semua sokong,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah.


DS Najib berkata apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin dan anggota UMNO terpaksa berhadapan dengan politik dalaman dan sering berbalah menyebabkan banyak puak wujud dalam bahagian. Kebimbangan UMNO akan gagal memenangi kembali kerusi dan negeri yang tewas juga turut dilahirkan jika masalah dalaman di Bahagian masih berterusan.
“Saya tak lena tidur jika tahu ada puak-puak dalam bahagian. Semua anggota UMNO perlu kembali kepada asas-asas perjuangan dan kembali kepada perjuangan pemimpin UMNO terdahulu,” katanya.
Ahli-ahli UMNO perlu menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu sebagai iktibar dan menjadikan peristiwa lalu sebagai pengajaran. “Jika tidak mimpi ngeri itu akan berulang. Ia akan menjadi satu igauan jika UMNO gagal untuk berkuasa. Perjuangan kita jangan hanya berkisar kepada jawatan dalam parti. Kalau ada harta gunakan harta untuk membela rakyat,” katanya.

Beliau berkata jasa UMNO bukan hanya kepada orang-orang Melayu tetapi kepada bukan Melayu dan ini sudah terbukti sejak lebih 60 tahun yang lalu menerusi kerjasama UMNO dengan parti-parti kaum lain.
Sementara itu, Najib berkata pertimbangan kerajaan sekarang lebih kepada menjadikan ekonomi negara lebih kukuh dan membangunkannya dalam jangka masa panjang.

“Kerana itu apabila kita kurangkan perbelanjaan dalam subsidi, kita gunakan kembali untuk bangunkan masyarakat di luar bandar…elektrik dan air. Kita jimatkan belanja untuk peruntukan kawasan luar bandar,” katanya.

Katanya jika kerajaan dan pemimpin UMNO menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya, beliau yakin rakyat akan terus dan kembali menyokong UMNO dan BN. – Bernama

Klinik Bergerak 1 Malaysia


KUALA LUMPUR 15 Julai. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan melancarkan klinik bergerak 1Malaysia, sebagai kesinambungan usaha untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat.


Perdana Menteri berkata klinik bergerak itu, yang akan dilengkapi dengan kemudahan rawatan dan boleh melakukan pembedahan kecil, bertujuan memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Tujuannya ialah bagi sesetengah kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan klinik, boleh mendapat rawatan dari klinik bergerak ini. Saya harap konsep ini (Klinik Bergerak 1Malaysia) boleh dilancar dalam masa terdekat.

“Saya percaya dengan pelancaran klinik ini, lebih ramai penduduk di kawasan luar bandar, kampung-kampung tradisional, estet dan kampung-kampung baru boleh mendapat rawatan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti,” katanya ketika berucap pada jamuan malam ulang tahun ke-50 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan juga bercadang untuk membuka lebih banyak klinik 1Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Beliau berkata sehingga 4 Julai, sebanyak 644,315 pesakit telah menerima rawatan dari 50 klinik 1Malaysia di seluruh negara.

“Keperluan dan permintaan daripada mereka yang berpendapatan rendah tidak boleh diabaikan.
“Dalam meneruskan pendekatan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan untuk menyediakan kemudahan rawatan kesihatan yang berkualiti kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata walaupun kerajaan meletakkan sektor perubatan sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), melalui meningkatkan pelancongan kesihatan, keperluan rawatan dan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia tidak akan diabai.

“Kami telah menetapkan sasaran untuk mencapai nisbah seorang doktor untuk 600 orang menjelang 2015 daripada nisbah pada masa ini ialah seorang doktor kepada 900 orang,” katanya sambil menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan turut menetapkan sasarannya sendiri untuk mencapai nisbah seorang doktor untuk 400 orang menjelang 2020.

Najib juga berharap dengan tawaran pendapatan yang lebih baik dalam sektor perubatan, lebih ramai doktor dan pakar akan memilih untuk terus berkhidmat dengan kerajaan. – Bernama

Penyatuan UMNO dan PAS tidak mustahil


KUALA LUMPUR 13 Julai – Penyatuan UMNO dan Pas bukan sesuatu yang mustahil tetapi hanya mampu menjadi realiti sekiranya Pas tidak bersikap keras kepala dan melihat perjuangan agama sebagai landasan bersama ke arah kemajuan.

Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Mohammad Agus Yusoff berkata, banyak perkara yang boleh membawa kepada penyatuan antara UMNO dan Pas tetapi dipudarkan dengan rasa benci yang telah ditanam.

“Kita lihat politik pembangkang terlalu banyak menggunakan kata-kata negatif untuk mempengaruhi masyarakat sehinggakan ia menjadi racun yang mewujudkan rasa benci membenci hingga gagal bersatu,” katanya kepada umno-online.com

Menurut beliau lagi, para pemimpin Pas memandang ke arah satu sudut sahaja iaitu menganggap hanya mereka yang memperjuangkan Islam sedangkan UMNO tidak dilihat sedemikian.
“Persoalannya, kenapa Pas tidak melihat UMNO dari sudut agama dan mengenepikan perpaduan demi masa hadapan?” kata beliau.

Dalam hal ini, beliau melihat penyatuan antara dua parti tersebut hanya akan berlaku sekiranya para pemimpin dalam kedua-dua parti mempunyai jiwa yang besar untuk bersatu.
“Perpaduan perlu dilihat secara terbuka dan luas iaitu melangkau keseluruhan aspek meliputi ruang lingkup dan kehidupan pada masa hadapan.”

Malangnya, kata beliau apa yang diamalkan sekarang hanya ibarat ‘politik dikir barat’ iaitu tidak berani berdepan dengan kebenaran dan hanya untuk agenda kepartian atau bersifat peribadi sahaja.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO telah menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan Pas sama ada secara rasmi atau tidak bagi menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu.

Sehubungan itu, Mohammad Agus menegaskan usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.

“Banyak perkara yang boleh diambil sebagai titik penyatuan antara kedua-dua parti ini selain daripada agama Islam misalnya hal-hal sosial seperti kebersamaan menentang kezaliman zionis, semangat kesukanan dalam temasya tertentu atau jika tidak pun melihat hari kebangsaan sebagai satu kesatuan.”

Namun demikian, katanya politik yang tidak ada kematangan dipergunakan dengan mewujudkan pelbagai kata-kata nista sehinggakan timbul rasa marah, benci dan macam-macam lagi.

“Politik yang ada antara dua parti ini dihantui dengan kejian, cacian, fitnah dan kata-kata dusta selain pelbagai manipulasi dan provokasi yang semakin memisahkan antara bangsa Melayu.” - MediaUMNO

Ahli UMNO Jangan Berdiam Diri!!!


Setiausaha Agung UMNO, DS Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan agar ahli UMNO perlu berusaha mematahkan segala fitnah dan tohmahan parti pembangkang terhadap pemimpin negara dan kerajaan.Ini kerana, sikap berdiam diri di kalangan ahli-ahli UMNO hanya melemahkan parti.

Dari berdiam diri, sebaiknya tohmahan dan fitnah yang dilemparkan perlu ditangkis. Jika tiada sebarang tindak balas terhadap tohmahan dan fitnah tersebut, ini sedikit sebanyak menggambarkan bahawa segala tohmahan dan fitnah itu benar.

“Selama lima tahun UMNO diserang, dihina, dikatakan korup, dipijak tetapi kita masih berdiam diri seperti takut membela kebenaran parti sendiri,” kata DS Tengku Adnan Tengku Mansor semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub tempohari.


Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan memberitahu, penubuhan Pas hanya untuk memecah-belahkan orang Melayu negara ini. Tambah beliau, Pas ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli UMNO yang kecewa apabila kalah dalam pertandingan bagi merebut jawatan dalam UMNO ketika itu.

Katanya, Tuan Hj Ahmad Fuad dan rakan-rakannya ketika itu berikrar menumbangkan UMNO dan bukannya berkhidmat untuk rakyat dan menegakkan Islam. “Mereka berikrar di mana ada UMNO di situ mereka akan tubuhkan cawangan Pas. “Jadi saya harap rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO jangan mudah terpengaruh dengan dakyah Pas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, pemimpin dan ahli UMNO berhenti mempergunakan parti untuk kepentingan diri sendiri seperti bagi mendapat projek dan sebagainya. Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu menyumbangkan tenaga dan idea untuk membangunkan Orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

UMNO Ada Keistimewaan Tersendiri


MUAR 9 Julai – Seluruh ahli UMNO diingatkan agar terus  mempertahankan parti keramat berkenaan kerana UMNO mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak ada pada mana-mana parti lain khususnya parti pembangkang.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim berkata UMNO yang wujud selepas perjuangan orang-orang Melayu di Kg Baru merupakan sebuah parti yang berjuang untuk semua di bawah payung Barisan Nasional (BN).

Justeru katanya ahli UMNO perlu menumpukan tumpuan kepada perjuangan yang sebenar dan tidak hilang arah tuju selain tidak menggunakan parti untuk kepentingan diri sendiri.
“Cukup-cukuplah…kalau betul kita melakukan kesalahan, kita dah dihukum pada waktu pilihan raya umum lalu. Kita pulihkan balik perjuangan kita.

“UMNO sesungguhnya  berbeza dengan parti lain khusunya parti pembangkang. UMNO wujud selepas lahirnya perjuangan orang-orang Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru.

“Ketika itu masing-masing bersemangat untuk berjuang dan mereka  tidak perasan bahawa mereka tidak ada pemimpin kerana mereka pada waktu itu adalah semuanya pejuang. Tetapi bila berjuang dalam mana-mana perjuangan mesti ada ketua dan baru ketika itu orang-orang Melayu memilih Datuk Onn Jaafar sebagai pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online pada sidang media selepas majlis perasmian persidangan Pemuda UMNO bahagian Muar, di sini, hari ini.
Kata beliau lagi, berbanding dengan pembangkang seperti Pas, PKR dan Dap, parti ini lahir selepas pemimpin mereka lahir.

“Pas diwujudkan oleh pemimpin mereka selepas keluar daripada UMNO. Begitu juga PKR.  Tertubuhnya parti tersebut selepas pemimpin utama mereka hari ini dipecat daripada UMNO pada satu ketika dahulu akibat  salah laku.

“Jadi UMNO merupakan sebuah parti yang memperjuangkan semua bersama rakan komponen BN lain berasaskan Perlembagaan Negara. Sebab itulah persidangan Pemuda UMNO Muar hari ini ada kelainan seikit.

“Kita mahu tunjukkan kepada mereka di luar sana bahawa kita tidak menyembunyikan apa-apa malah dan  tidak ada perkara yang saya nak selindung dalam persidangan UMNO hari ini.

“Biar orang luar tahu apa yang kita bincangkan. Perbincangan kita adalah untuk memberi manfaat kepada semua dan tidak tertumpu kepada ahli UMNO sahaja. Perbincangan kita juga bukanlah untuk meminggirkan mana-mana kaum lain dan tidak bincang untuk jatuhkan mana-mana orang,” katanya.- Media UMNO

Persepsi Negatif Perlu Diurus oleh UMNO dan BN

JASIN 10 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu memberi keutamaan untuk mengurus dan memperbetulkan setiap persepsi negatif yang ditimbulkan pembangkang yang semata-mata mahu mengelirukan rakyat terhadap parti dan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu berkata anggota dan pemimpin parti perlu sentiasa sedar bahawa pembangkang tidak akan berhenti untuk memutar-belitkan fakta sebenar dalam sesuatu isu.
“Pihak pembangkang tidak akan berhenti untuk memutar-belitkan banyak fakta, kadang-kadang sampai ke peringkat mahkamah, buat laporan tidak betul dalam media sosial, diputarbelitkan dengan pembohongan dalam pelbagai peringkat ditambah pula dengan fitnah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jasin di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ketua Umno Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa.
Muhyiddin berkata pembangkang tidak segan silu dalam perbuatan mereka untuk menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap BN dan kerajaan.

“Kita perlu menguruskan persepsi, bagaimana cara hendak kita menguruskan persepsi itu tidak perlu saya jelaskan di sini, yang penting salah satu ukurannya menunjukkan parti kita kuat, hubungan antara parti komponen Barisan Nasional mesti kukuh,” katanya.

Muhyiddin berkata sejak pilihan raya umum ke-12 pada 2008, banyak persepsi negatif oleh masyarakat terhadap parti dan kerajaan tetapi persepsi negatif itu semakin berkurangan berikutan langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan parti dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Perdana Menteri mengambil inisiatif dari segi imej kerajaan dengan mengambil langkah seperti memperkenalkan Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh, dan beberapa lagi bidang pembangunan ekonomi yang kita akan kemukakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata populariti perdana menteri agak meningkat dalam tahun ini hasil tinjauan pihak tertentu dan ini menunjukkan satu persepsi yang baik.
Terdahulu semasa berucap, Muhyiddin mahukan parti melakukan tranformasi dengan lebih pantas sebagaimana kepantasan tranformasi dalam kerajaan.
Beliau berkata kepimpinan semua peringkat perlu bekerja keras menjayakan perjuangan parti dalam membela nasib rakyat dengan melaksanakan pelbagai program yang dirancang.
Sementara itu, Muhyiddin menasihati rakyat agar jangan mudah terpedaya dengan pembangkang yang cuba untuk melunturkan kredibiliti sesebuah agensi yang diwujudkan kerajaan BN.
Beliau berkata sejak dari dahulu hingga sekarang, pembangkang tidak henti-henti untuk melunturkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti agensi kerajaan seperti polis, badan kehakiman, badan perundangan dan agensi masyarakat lain seperti Felda, yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

“Ini strategi mereka, kita boleh baca, ini untuk menimbulkan tanda tanya rakyat tentang kredibiliti sesebuah institusi…institusi raja-raja pun mereka timbulkan.
“Jadi tidak ada satu pun yang betul, seolah-olah institusi yang ditubuh oleh kerajaan Barisan Nasional tidak baik, perlu kita patahkan tanggapan itu kerana mereka hendak timbulkan persoalan,” katanya.
Beliau berkata jasa yang disumbangkan agensi kerajaan seperti Felda sudah diketahui dan diperakui rakyat, bagaimanapun pencapaian itu tidak disenangi oleh pembangkang.

Ditanya laporan yang mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim membiayai program temu bualnya dengan Cable News Network (CNN) baru-baru ini dalam usaha untuk meyakinkan kembali para pelobi Yahudi bahawa Anwar bukannya antiYahudi, Muhyiddin berkata kalau kenyataan itu betul, ini menunjukkan kemungkinan ketua pembangkang itu terdesak.

“Saya gunakan andaian kerana saya tidak tahu maklumat itu, kalau itu kenyataan betul mungkin bermakna dia tahu dia terdesak, tidak ada pihak yang mempercayainya lagi.
“Dia boleh gunakan media, kalau dia terpaksa bayar, dia bayarlah untuk menjelaskan pendirian dan pembohongan yang dia buat bila dia pergi luar negara,” katanya.

Presiden Trevino Strategies and Media Inc., Joshua Trevino dipetik mendakwa, pada masa sama Anwar juga menggunakan lobi rangkaian sahabatnya di CNN bagi menaikkan semula imejnya di kaca mata dunia. – Bernama/MediaUMNO

Ahli-Ahli UMNO Perak Diingatkan Supaya Berwaspada..


Ekoran daripada adanya gerakan yang menggunakan taktik ala CIA dalam agenda untuk  memecahkan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO di Perak, sekali lagi semua ahli-ahli diingatkan supaya berwaspada dengan taktik intipan yang digunakan oleh pihak pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, langkah berhati-hati itu perlu kerana keinginan pembangkang melihat UMNO bepecah semakin kuat. "Mereka tahu UMNO di Perak semakin kuat. Sebab itulah saya ingatkan ahli-ahli UMNO supaya sentiasa berwaspada dengan gerakan seperti ini," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan strategi intipan ala-CIA dengan menyelinap dalam UMNO bagi memperolehi maklumat dalaman parti. Maklumat itu, kemudiannya digunakan untuk memecah belahkan ahli UMNO. 

Ditanya sama ada pengintip ini sudah dikenalpasti, Zambry berkata beliau tidak mahu menuduh sesiapa sebaliknya menegaskan langkah berhati-hati perlu untuk mengelakkan ahli parti itu daripada berpecah belah.
"Saya tidak mengenal pasti sesiapa. Cuma saya tahu ada penyusupan pernah berlaku. Mereka ini mempamerkan sifat talam dua muka, membuat kenyataan-kenyataan provokasi dan bermain dengan sentimen kebencian," katanya.



Taktik ala-CIA untuk pecah-belah UMNO


Masih lagi dengan cubaan menganggu ketenteraman di Perak, pakatan pembangkang dikesan menggunakan taktik ala-CIA dengan menyelinap masuk ke dalam UMNO bagi memperolehi maklumat dalaman mengenai parti. Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mendedahkan perkara ini berkata maklumat yang diperolehi akan digunakan untuk memecah-belahkan ahli UMNO. 

Sehubungan itu, beliau meminta ahli UMNO supaya berhati-hati dan tidak melayan cakap-cakap yang menjurus kepada melaga-lagakan sesama mereka."Satu demi satu cara digunakan untuk menghancurkan UMNO tetapi mereka tidak berjaya. Maka mereka ubah strategi dengan menyelinap masuk ke dalam UMNO. "Cucuk sana...cucuk sini. Hanya dengan adanya keretakan dalam UMNO, barulah mereka akan jadi kuat," katanya.

DS Dr. Zambry yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut menyifatkan tindakan pembangkang menukar strategi itu sebagai perbuatan semakin terdesak. "Mereka sedar ceramah politik mereka tidak lagi mendapat sambutan menggalakkan manakala UMNO pula terus mendapat sokongan rakyat" katanya.




Konvoi Didik Dan Dakwah Tak Nak Judi...Buktikan dahulu...


Pemuda Pas tidak perlu bersusah-payah naik sampai ke Genting untuk ‘Konvoi 10 ribu Rakyat, Didik dan Dakwah Tak Nak Judi’ sebaliknya boleh dimulakan di Selangor dan negeri-negeri di bawah pentadbiran Kerajaan pakatan pembangkang bagi menjayakan usaha murni tersebut.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, banyak daerah dan negeri pakatan pembangkang ada Magnum, Sport Toto dan Pan Malaysian Pool, mulakan di situ.
“Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasarudin Hasan Tantawi perlu tumpu pada negeri pakatan pembangkang. Banyak permis judi beroperasi di negeri-negeri yang dikuasai mereka.
“Mereka juga harus mengetuai kempen kepada semua Ahli Parlimen bukan Islam untuk sama-sama bawa usul di dalam Parlimen untuk haramkan aktiviti perjudian di kalangan bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO online ketika diminta mengulas kentataan Nasarudin mengenai “Konvoi 10 ribu Rakyat, Didik dan Dakwah Tak Nak Judi” ke puncak Genting Highlands.
“Kempen  dan desakan ini bukan sahaja di Selangor malah ia harus dilaksanakan di negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang. Pas perlu membuktikan mereka serius dalam menangani isu judi. Bukan setakat main wayang demi kepentingan peribadi politik sempit mereka,”.

Dalam perkembangan sama, EXCO Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin melihat Pas sudah ketandusan isu sebaliknya membawa dan menyegarkan isu-isu lama yang bertujuan untuk memburukkan UMNO.
“Kita tidak nampak relevannya Pemuda Pas konvoi ke Genting kerana orang-orang Islam tidak dibenarkan masuk ke pusat-pusat perjudian di sana.
” Kerajaan sendiri telah menguatkuasakan undang-undang bahawa orang Islam sama sekali tidak dibenarkan berjudi bukan sahaja di Genting Highland, malah di pusat-pusat nombor ekor di seluruh negara,” ujarnya ketika dihubungi UMNO-Online.

Beliau turut menyarankan agar Pemuda Pas wajib membawa sekali rakan-rakan mereka dalam pakatan pembangkang untuk sama-sama menjayakan “Konvoi 10 ribu Rakyat, Didik dan Dakwah Tak Nak Judi” ke puncak Genting Highlands, jika tetap mahu meneruskan niat tersebut .

“Mereka tidak harus menyisihkan rakan-rakan mereka dalam pakatan pembangkang, Pemuda DAP, Pemuda PKR, PSM, pemuda-pemuda Cina dan India harus sertai sama konvoi tersebut bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar komited selain mereka yang berjudi di atas puncak Genting tersebut, hanya melibatkan kaum bukan Melayu.

Beliau berharap nawaitu Pemuda Pas benar-benar jujur, ikhlas untuk membanteras judi. Katanya, sepatutnya bukan baru sekarang mereka perlu bertindak demikian. Semenjak berjaya memerintah beberapa buah negeri sejak 8 Mac 2008, negeri-negeri yang dikuasai kerajaan pakatan pembangkang tidak pula ditentang seperti Selangor khususnya, sebaliknya kian bertambah bukan sahaja premis judi, malah rumah-rumah hiburan serta rumah-rumah urut. – MediaUMNO

Melayu Tidak Seharusnya Berpecah



MUAR 6 Julai. – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa orang Melayu berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa politik jika mereka terus berpecah-belah sesama sendiri.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kuasa politik yang diperolehi orang Melayu sejak negara merdeka adalah penting kerana ia telah membolehkan mereka maju dalam pelbagai bidang.
“Sebab itu, untuk menentukan kuasa politik yang kita miliki kekal, kita kena bersatu. Kalau kita berpecah, kuasa politik yang menentukan kemajuan kita dalam bidang ekonomi, pelajaran akan hilang,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan Israk Mikraj UMNO bahagian Pagoh di Masjid Kampung Parit Raja, Gersik, di sini.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di dunia walaupun umat Islam negara ini hanya separuh dari jumlah penduduknya.

“Kejayaan kita memajukan negara ini sehingga diiktiraf sebagai sebuah negara Islam contoh dikagumi di kalangan negara Islam di dunia,” menurut beliau.
Malah, katanya, kerajaan telah berjaya mengatasi masalah kemiskinan, satu usaha yang dituntut Islam sehingga kadar kemiskinan telah menurun dari 66 peratus suatu ketika dulu kepada hanya tiga peratus ketika ini.

Beliau yakin, matlamat kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar pada hujung tahun ini akan tercapai sepenuhnya. – Bernama/MediaUMNO

UMNO Bersama Ilmuan Muda Islam Atur Langkah Dekati Rakyat.


UMNO dan kumpulan pertama ilmuan muda Islam malam tadi mengadakan perjumpaan peringkat awal dalam merancang kerangka pergerakan selepas ini dalam usaha meningkatkan lagi syiar Islam dan perkara berkaitan lain menerusi parti keramat itu.


Pertemuan bersama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusof selama hampir dua jam telah memberi satu lonjakan kepada kumpulan pertama ilmuan muda Islam untuk bergerak dengan lebih sistematik dan strategik selepas ini.

Menurut Setiausaha kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusof, pertemuan itu memberi ruang kepada golongan ilmuan Islam untuk memberi cadangan dan segala pendapat untuk diterjemahkan menerusi perjuangan UMNO selepas ini.

“Percayalah, jika tuan-tuan yakin dengan perjuangan ini, satu hari nanti syiar Islam yang telah cemerlang menerusi perjuangan UMNO akan terus bertambah dengan adanya tokoh-tokoh muda ilmuan Islam ini.
“Banyak lagi perkara yang akan kita laksanakan. Pertemuan hari ini adalah lebih menjurus kepada mencari jalan untuk membuat satu perancangan yang jitu untuk digerakkan dengan lebih besar. Ini adalah pertemuan pertama.
“Dan selepas ini akan ada lagi pertemuan kedua seterusnya selepas itu kita akan duduk bersama dalam meja bulat mencari sesuatu yang bermakana dalam memberi nilai tambah kepada kecemerlangan sedia ada di bawah payung UMNO,” katanya.

Pertemuan itu turut dihadiri bekas Setiausaha Politik Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Othman Desa. Kumpulan ilmuwan muda Islam diketuia oleh Dr. Fadlan Mohd Othman.

Menurut Ab Rauf lagi, banyak perancangan yang akan digerakkan selepas ini menerusi sekretariat yang akan diketuai Setiausaha Bahagian Penerangan UMNO, Nasiruddin Jantan.

“Segala gerakan dan susun atur serta pelbagai cadangan lain akan kita gerakkan menerusi sekretariat ini. Gerakan kita akan turut merangkumi pertemuan bersama Kelab-Kelab UMNO Luar Negara dan program di dalam negara.

“Apa yang kita harapkan peluang yang akan kita berikan kepada ilmuan muda Islam ini akan terus menarik minat yang lain untuk bersama-sama dengan kita bergerak ke seluruh negara dan luar negara” katanya.

Pada sesi itu juga, Datuk Ab Rauf turut berkongsi sejarah perjuangan UMNO menerusi Perikatan dan seterusnya menerusi Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara khususnya meningkatkan martabat syiar Islam di negara ini.- MediaUMNO

Bangkit Perteguh Parti Demi Kepentingan Masa Hadapan dan Generasi Akan Datang...


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa masyarakat khususnya pemimpin dan ahli-ahli UMNO untuk bangkit memperteguh parti demi kepentingan masa hadapan dan generasi akan datang.


Katanya, kita tidak boleh berharap dengan berpeluk tubuh sahaja tanpa ada yang bangkit untuk mempertahankan parti.
“Kita lihat apa yang berlaku pada UMNO, selama UMNO dihina, dikeji dan dituduh dengan pelbagai rupa dan kata-kata nista, tidak ada sesiapa yang mahu mempertahankannya. Mengapa begitu sedangkan kita adalah ahli UMNO?” ujar beliau.

Katanya lagi, masalah dalaman yang melanda UMNO diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menghina dan memperkecil kedudukan kita sedangkan nyata bahawa pihak pembangkang tidak seteguh mana.
Beliau yang berucap semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Besar pagi ini turut menuntut masyarakat berubah sejajar dengan matlamat pemimpin atasan parti iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita masih tidak berubah secara total biarpun kita bercakap soal perubahan malahan masih ramai di kalangan kita yang bersikap seperti masih menang dalam pilihan raya walaupun kerajaan pembangkang yang berkuasa di Selangor tetapi kita tidak mahu mengakuinya.
“Kita perlu ubah diri kita dahulu. Kita perlu utamakan parti iaitu berubah demi kepentingan UMNO dan buanglah sikap harapkan ganjaran kerana perjuangan parti kita adalah demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Jelasnya lagi, sikap tamak, dengki dan iri hati yang diamalkan oleh sesetengah ahli UMNO mendatangkan kesan negatif kerana sanggup mengenepikan asas perjuangan parti hanya untuk kepentingan peribadi sendiri.
“UMNO lemah kerana kita berpecah dan tiada perpaduan sedangkan asas dalam kekukuhan adalah dengan bersatu. Kemerdekaan 1957 dapat dicapai kerana kita bersatu dan kita dapat mengembalikan keharmonian selepas tragedi 1969 juga adalah kerana kita kembali bersatu.

“Adakah kita hanya akan bersatu apabila kita tersepit?” soal Tengku Adnan kepada para perwakilan yang hadir di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, di sini.
Lantaran itu, beliau menyeru ahli-ahli UMNO terutamanya masyarakat di akar umbi untuk melakukan satu gerakan bagi mengembalikan suara parti dan UMNO kembali gagah.

“Kita perlu buktikan bahawa kita masih wujud. Kibarkanlah bendera parti kita di semua pelusuk termasuk di kampung-kampung agar rakyat tahu kita tetap ada dan tetap bersemangat. Jangan sampai ada orang lain yang ambil peranan kita,” tegas beliau lagi.
Tambahnya, pernahkah kita bayangkan nasib anak-anak kita dan generasi akan datang sekiranya UMNO hilang kuasa.

“Renunglah mata anak-anak kita, bayangkanlah masa depan mereka. Ke manakah mereka akan pergi. Ambillah tauladan daripada pekerja asing yang ada di negara kita kerana tidak mustahil kita akan mengalami nasib demikian suatu hari nanti jika kita hilang kuasa dan orang lain mengambil hak kita,” katanya.
Dalam masa yang sama, Tengku Adnan turut menasihatkan para perwakilan agar menjadikan asas dan tujuan UMNO sebagai landasan dalam perjuangan iaitu melebihi matlamat peribadi dan kepentingan politik semata-mata.

“Jangan sampai kita jadikan jawatan sebagai tujuan utama kita menyertai UMNO sebaliknya bekerjalah dengan ikhlas, laksanakan amanah dan tugas dengan sempurna maka akan ada kepuasan yang kita nikmati disebaliknya.” – MediaUMNO

Lebih 4 juta Pengundi Baru Tidak Mendaftar

Dimana salahnya, di mana silapnya. Jika sebelum ini didedahkan nisbah pengundi baru yang menunjukkan 1 Melayu : 40 Bukan Melayu, kini SPR pula tampil memberi kenyataan bahawa lebih 4 juta rakyat yang telah layak mengundi masih tidak mendaftar sebagai pemilih.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, banyak pihak menganggap SPR patut dipersalahkan kerana tidak agresif memainkan peranan menarik minat orang ramai untuk mendaftar. “Kita telah melaksanakan pelbagai pendekatan, bahkan pelbagai saluran disediakan oleh SPR termasuk kaunter-kaunter pendaftaran di tempat awam, pejabat pos dan pejabat parti politik bagi memudahkan orang ramai mendaftar.

“Proses pendaftaran pun tidak lama. Mereka hanya perlu meluangkan masa kurang 15 minit sahaja untuk mengisi borang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai 4.3 juta rakyat yang layak mengundi masih belum mendaftar sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 1.9 juta atau 43 peratus ialah orang Melayu.
Wan Ahmad turut memberitahu, kumpulan terbesar ialah mereka yang berumur 35 tahun ke bawah dan majoriti ialah pekerja dari sektor swasta termasuk mereka yang bekerja sendiri.
Menurutnya, sikap sambil lewa dan tidak peka dengan perkembangan politik tanah air ialah antara punca golongan itu tidak mendaftar.

“Selain itu, terdapat kumpulan yang suka menunggu saat-saat akhir menjelang pilihan raya sebelum mendaftar.
“Jika anda mendaftar hari ini, tidak bermakna esok sudah boleh mengundi. Sekurang-kurangnya empat hingga lima bulan diperlukan oleh SPR untuk memasukkan nama anda dalam senarai Daftar Pemilih,” jelas beliau. – MediaUMNO

Puteri UMNO Tekad Tingkatkan Keahlian Pengundi Muda


KUALA LUMPUR 30 Jun – Pergerakan Puteri UMNO bertekad akan meningkatkan usaha dan melaksanakan pelbagai program dalam fokus menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi di samping meningkatkan penyertaan mereka dalam UMNO.


Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Majid Rashid Shirlin berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua bahagian dan cawangan Puteri UMNO untuk bekerja keras mendekati golongan muda menerusi program-program yang bersesuaian dengan jiwa mereka.

“Apa yang penting adalah usaha menyedarkan golongan muda tentang betapa pentingnya mereka celik politik dan mendaftar sebagai pengundi,” katanya dalam siaran media hari ini.
Jelas beliau, sebagai sayap parti yang mewakili usia muda, Puteri UMNO sentiasa menggalas tanggungjawab tersebut kerana menyedari undi mereka amat penting untuk menentukan kedudukan serta senario politik negara.

“Ini kerana golongan muda menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di negara ini, dan jika kebanyakkan mereka khususnya orang Melayu tidak berdaftar sebagai pengundi maka kesannya terhadap masa depan bangsa amat membimbangkan,” katanya.

Tambahnya lagi, pada masa yang sama golongan muda Melayu yang mendaftar sebagai pengundi mesti dibimbing supaya mereka tidak terikut-ikut dengan rentak politik pembangkang yang kononnya memperjuangkan idealisme dan kebebasan.

“Kesedaran serta minat berpolitik di kalangan muda mesti terarah dan tersusun, bukannya secara semberono kerana trend sekarang menunjukkan golongan muda yang mendaftar sebagai pengundi tetapi tidak dibimbing arah politik mereka menjadi penentang kepada kerajaan dan tidak memberi sokongan kepada UMNO.”
Dalam hal ini juga, Puteri UMNO akan terus menanamkan rasa cinta dan sayang golongan muda terhadap parti yang memelihara hak-hak orang Melayu serta menjaga kesucian Islam.

Selaras dengan hasrat mendekati masyarakat, komen dan cadangan daripada semua pihak untuk aktiviti yang dirasakan sesuai sebagai pemangkin mewujudkan ahli UMNO dan pengundi berkualiti amat dialu-alukan. Cadangan tersebut boleh dihantar ke admin@puteriumno.my atau ke laman facebook – MediaUMNO