Penyatuan UMNO dan PAS tidak mustahil


KUALA LUMPUR 13 Julai – Penyatuan UMNO dan Pas bukan sesuatu yang mustahil tetapi hanya mampu menjadi realiti sekiranya Pas tidak bersikap keras kepala dan melihat perjuangan agama sebagai landasan bersama ke arah kemajuan.

Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Mohammad Agus Yusoff berkata, banyak perkara yang boleh membawa kepada penyatuan antara UMNO dan Pas tetapi dipudarkan dengan rasa benci yang telah ditanam.

“Kita lihat politik pembangkang terlalu banyak menggunakan kata-kata negatif untuk mempengaruhi masyarakat sehinggakan ia menjadi racun yang mewujudkan rasa benci membenci hingga gagal bersatu,” katanya kepada umno-online.com

Menurut beliau lagi, para pemimpin Pas memandang ke arah satu sudut sahaja iaitu menganggap hanya mereka yang memperjuangkan Islam sedangkan UMNO tidak dilihat sedemikian.
“Persoalannya, kenapa Pas tidak melihat UMNO dari sudut agama dan mengenepikan perpaduan demi masa hadapan?” kata beliau.

Dalam hal ini, beliau melihat penyatuan antara dua parti tersebut hanya akan berlaku sekiranya para pemimpin dalam kedua-dua parti mempunyai jiwa yang besar untuk bersatu.
“Perpaduan perlu dilihat secara terbuka dan luas iaitu melangkau keseluruhan aspek meliputi ruang lingkup dan kehidupan pada masa hadapan.”

Malangnya, kata beliau apa yang diamalkan sekarang hanya ibarat ‘politik dikir barat’ iaitu tidak berani berdepan dengan kebenaran dan hanya untuk agenda kepartian atau bersifat peribadi sahaja.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO telah menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan Pas sama ada secara rasmi atau tidak bagi menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu.

Sehubungan itu, Mohammad Agus menegaskan usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.

“Banyak perkara yang boleh diambil sebagai titik penyatuan antara kedua-dua parti ini selain daripada agama Islam misalnya hal-hal sosial seperti kebersamaan menentang kezaliman zionis, semangat kesukanan dalam temasya tertentu atau jika tidak pun melihat hari kebangsaan sebagai satu kesatuan.”

Namun demikian, katanya politik yang tidak ada kematangan dipergunakan dengan mewujudkan pelbagai kata-kata nista sehinggakan timbul rasa marah, benci dan macam-macam lagi.

“Politik yang ada antara dua parti ini dihantui dengan kejian, cacian, fitnah dan kata-kata dusta selain pelbagai manipulasi dan provokasi yang semakin memisahkan antara bangsa Melayu.” - MediaUMNO

No comments:

Post a Comment