Lebih 4 juta Pengundi Baru Tidak Mendaftar

Dimana salahnya, di mana silapnya. Jika sebelum ini didedahkan nisbah pengundi baru yang menunjukkan 1 Melayu : 40 Bukan Melayu, kini SPR pula tampil memberi kenyataan bahawa lebih 4 juta rakyat yang telah layak mengundi masih tidak mendaftar sebagai pemilih.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, banyak pihak menganggap SPR patut dipersalahkan kerana tidak agresif memainkan peranan menarik minat orang ramai untuk mendaftar. “Kita telah melaksanakan pelbagai pendekatan, bahkan pelbagai saluran disediakan oleh SPR termasuk kaunter-kaunter pendaftaran di tempat awam, pejabat pos dan pejabat parti politik bagi memudahkan orang ramai mendaftar.

“Proses pendaftaran pun tidak lama. Mereka hanya perlu meluangkan masa kurang 15 minit sahaja untuk mengisi borang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai 4.3 juta rakyat yang layak mengundi masih belum mendaftar sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 1.9 juta atau 43 peratus ialah orang Melayu.
Wan Ahmad turut memberitahu, kumpulan terbesar ialah mereka yang berumur 35 tahun ke bawah dan majoriti ialah pekerja dari sektor swasta termasuk mereka yang bekerja sendiri.
Menurutnya, sikap sambil lewa dan tidak peka dengan perkembangan politik tanah air ialah antara punca golongan itu tidak mendaftar.

“Selain itu, terdapat kumpulan yang suka menunggu saat-saat akhir menjelang pilihan raya sebelum mendaftar.
“Jika anda mendaftar hari ini, tidak bermakna esok sudah boleh mengundi. Sekurang-kurangnya empat hingga lima bulan diperlukan oleh SPR untuk memasukkan nama anda dalam senarai Daftar Pemilih,” jelas beliau. – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment