Bangkit Perteguh Parti Demi Kepentingan Masa Hadapan dan Generasi Akan Datang...


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa masyarakat khususnya pemimpin dan ahli-ahli UMNO untuk bangkit memperteguh parti demi kepentingan masa hadapan dan generasi akan datang.


Katanya, kita tidak boleh berharap dengan berpeluk tubuh sahaja tanpa ada yang bangkit untuk mempertahankan parti.
“Kita lihat apa yang berlaku pada UMNO, selama UMNO dihina, dikeji dan dituduh dengan pelbagai rupa dan kata-kata nista, tidak ada sesiapa yang mahu mempertahankannya. Mengapa begitu sedangkan kita adalah ahli UMNO?” ujar beliau.

Katanya lagi, masalah dalaman yang melanda UMNO diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menghina dan memperkecil kedudukan kita sedangkan nyata bahawa pihak pembangkang tidak seteguh mana.
Beliau yang berucap semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Besar pagi ini turut menuntut masyarakat berubah sejajar dengan matlamat pemimpin atasan parti iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita masih tidak berubah secara total biarpun kita bercakap soal perubahan malahan masih ramai di kalangan kita yang bersikap seperti masih menang dalam pilihan raya walaupun kerajaan pembangkang yang berkuasa di Selangor tetapi kita tidak mahu mengakuinya.
“Kita perlu ubah diri kita dahulu. Kita perlu utamakan parti iaitu berubah demi kepentingan UMNO dan buanglah sikap harapkan ganjaran kerana perjuangan parti kita adalah demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Jelasnya lagi, sikap tamak, dengki dan iri hati yang diamalkan oleh sesetengah ahli UMNO mendatangkan kesan negatif kerana sanggup mengenepikan asas perjuangan parti hanya untuk kepentingan peribadi sendiri.
“UMNO lemah kerana kita berpecah dan tiada perpaduan sedangkan asas dalam kekukuhan adalah dengan bersatu. Kemerdekaan 1957 dapat dicapai kerana kita bersatu dan kita dapat mengembalikan keharmonian selepas tragedi 1969 juga adalah kerana kita kembali bersatu.

“Adakah kita hanya akan bersatu apabila kita tersepit?” soal Tengku Adnan kepada para perwakilan yang hadir di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, di sini.
Lantaran itu, beliau menyeru ahli-ahli UMNO terutamanya masyarakat di akar umbi untuk melakukan satu gerakan bagi mengembalikan suara parti dan UMNO kembali gagah.

“Kita perlu buktikan bahawa kita masih wujud. Kibarkanlah bendera parti kita di semua pelusuk termasuk di kampung-kampung agar rakyat tahu kita tetap ada dan tetap bersemangat. Jangan sampai ada orang lain yang ambil peranan kita,” tegas beliau lagi.
Tambahnya, pernahkah kita bayangkan nasib anak-anak kita dan generasi akan datang sekiranya UMNO hilang kuasa.

“Renunglah mata anak-anak kita, bayangkanlah masa depan mereka. Ke manakah mereka akan pergi. Ambillah tauladan daripada pekerja asing yang ada di negara kita kerana tidak mustahil kita akan mengalami nasib demikian suatu hari nanti jika kita hilang kuasa dan orang lain mengambil hak kita,” katanya.
Dalam masa yang sama, Tengku Adnan turut menasihatkan para perwakilan agar menjadikan asas dan tujuan UMNO sebagai landasan dalam perjuangan iaitu melebihi matlamat peribadi dan kepentingan politik semata-mata.

“Jangan sampai kita jadikan jawatan sebagai tujuan utama kita menyertai UMNO sebaliknya bekerjalah dengan ikhlas, laksanakan amanah dan tugas dengan sempurna maka akan ada kepuasan yang kita nikmati disebaliknya.” – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment