UMNO Ada Keistimewaan Tersendiri


MUAR 9 Julai – Seluruh ahli UMNO diingatkan agar terus  mempertahankan parti keramat berkenaan kerana UMNO mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak ada pada mana-mana parti lain khususnya parti pembangkang.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim berkata UMNO yang wujud selepas perjuangan orang-orang Melayu di Kg Baru merupakan sebuah parti yang berjuang untuk semua di bawah payung Barisan Nasional (BN).

Justeru katanya ahli UMNO perlu menumpukan tumpuan kepada perjuangan yang sebenar dan tidak hilang arah tuju selain tidak menggunakan parti untuk kepentingan diri sendiri.
“Cukup-cukuplah…kalau betul kita melakukan kesalahan, kita dah dihukum pada waktu pilihan raya umum lalu. Kita pulihkan balik perjuangan kita.

“UMNO sesungguhnya  berbeza dengan parti lain khusunya parti pembangkang. UMNO wujud selepas lahirnya perjuangan orang-orang Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru.

“Ketika itu masing-masing bersemangat untuk berjuang dan mereka  tidak perasan bahawa mereka tidak ada pemimpin kerana mereka pada waktu itu adalah semuanya pejuang. Tetapi bila berjuang dalam mana-mana perjuangan mesti ada ketua dan baru ketika itu orang-orang Melayu memilih Datuk Onn Jaafar sebagai pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online pada sidang media selepas majlis perasmian persidangan Pemuda UMNO bahagian Muar, di sini, hari ini.
Kata beliau lagi, berbanding dengan pembangkang seperti Pas, PKR dan Dap, parti ini lahir selepas pemimpin mereka lahir.

“Pas diwujudkan oleh pemimpin mereka selepas keluar daripada UMNO. Begitu juga PKR.  Tertubuhnya parti tersebut selepas pemimpin utama mereka hari ini dipecat daripada UMNO pada satu ketika dahulu akibat  salah laku.

“Jadi UMNO merupakan sebuah parti yang memperjuangkan semua bersama rakan komponen BN lain berasaskan Perlembagaan Negara. Sebab itulah persidangan Pemuda UMNO Muar hari ini ada kelainan seikit.

“Kita mahu tunjukkan kepada mereka di luar sana bahawa kita tidak menyembunyikan apa-apa malah dan  tidak ada perkara yang saya nak selindung dalam persidangan UMNO hari ini.

“Biar orang luar tahu apa yang kita bincangkan. Perbincangan kita adalah untuk memberi manfaat kepada semua dan tidak tertumpu kepada ahli UMNO sahaja. Perbincangan kita juga bukanlah untuk meminggirkan mana-mana kaum lain dan tidak bincang untuk jatuhkan mana-mana orang,” katanya.- Media UMNO

No comments:

Post a Comment