YAB DS Dr. Zambry Abd Kadir ~ Dakyah Penyebar Fitnah Dielakkan


Menteri Besar Perak mengeluarkan amaran kepada pihak tertentu yang suka menyebar fitnah memburukkan beliau serta kerajaan kerana ia merupakan perbuatan tidak bermoral dan berdosa besar. Beliau berkata perbuatan fitnah itu melambangkan sikap pihak berkenaan yang pengecut untuk menghadapi fakta kebenaran.
Tindakan itu juga katanya menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan dan mudah termakan dakwaan yang ditaburkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab."saya mengajak rakyat menolak mereka yang menyebarkan fitnah. Lebih menjengkelkan apabila mereka yang menyebarkan fitnah ini mendakwa diri mereka ulama, sedangkan ulama sebenar adalah mereka yang terdiri dari peribadi mulia,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pusat tahfiz al quran Nuurul Iman di Batu 14,Batu Kuarau kelmarin. Sementara itu Menteri Besar Perak melahirkan rasa syukur dengan kejayaan kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinannya yang berjaya menepis segala tohmahan rekaan pihak tertentu yang akhirnya memerangkap diri mereka sendiri apabila rakyat akhirnya meluat dengan perbuatan mereka itu.
"Saya juga menolak sebarang perdebatan yang tidak berfaedah,sebaliknya menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) tempat yang terbaik untuk wakil rakyat memberikan buah fikiran dan pendapat bagi kepentingan rakyat", katanya.
Dalam perkembangan lain,bercakap mengenai Pusat Tahfiz Al-Quran yang dirasmikan,beliau berkata sudah menjadi hasrat kerajaan negeri mewujudkan di setiap daerah negeri ini atau sekurang-kurangnya sebuah disetiap parlimen.
Katanya dengan wujudnya pusat berkenaan, ia bukan sahaja membuktikan bahawa, Kerajaan Barisan Nasional mengutamakan program pendidikan agama Islam, tetapi mampu melahirkan lebih ramai kalangan ahli tahfiz.

No comments:

Post a Comment