Aplikasikan Gagasan 1 Malaysia!!!


Seluruh masyarakat disarankan agar menjadikan tahun baru 2011 sebagai azam untuk mengaplikasikan Gagasan 1Malaysia yang sememangnya menjadi landasan dalam mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata, sejak kemerdekaan negara dicapai pada tahun 1957 hingga kini dengan teras utama yang menjadi pegangan dalam mengekalkan keutuhan dan keamanan sehingga negara mampu mencapai taraf model contoh di persada antarabangsa adalah kerana adanya muafakat dan persefahaman.
“Kita bersyukur kerana diberi kesempatan untuk terus mengecap nikmat ini dan kita perlu terus memastikan apa yang kita ada hari ini akan terus dipertingkat agar bukan saja kita semua tetapi negara kita juga mampu terus membangun dalam suasana sejahtera,” katanya.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut meminta masyarakat Malaysia agar terus berfikiran optimis dan positif dalam segala hal yang mencakupi pelbagai perspektif kehidupan.
“Apabila kita sebut 1Malaysia, kita dapat menggambarkan bahawa di bawah payung dan naungan gagasan 1Malaysia, kita dapat memupuk satu semangat baru di kalangan rakyat Malaysia dan semangat ini adalah berdasarkan kepada satu sikap yang amat penting yang mendasari gagasan 1Malaysia ini, yakni konsep atau pun sikap penerimaan keseluruhan, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.”
Katanya, kemajmukan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini bukan saja dilihat sebagai satu keunikan tetapi ia juga adalah terjemahan kepada kekuatan untuk semua.
“BN dan UMNO bukan sekadar parti politik yang sentiasa mahukan kemenangan dalam pilihan raya tetapi kita juga mahukan kemenangan dalam menjuari kehidupan rakyat,” katanya.
Justeru gesa beliau lagi, apa saja yang berlaku pada tahun 2010 perlu dijadikan pedoman dengan yang baik dijadikan tauladan dan buruk dijadikan sempadan.
“Semoga dengan kedatangan tahun 2011, kita akan dapat menanamkan azam baru dan bersama menyemarakkan 1Malaysia. Selamat tahun baru 2011.”

No comments:

Post a Comment