Kerajaan negeri bakal tubuhkan Maahad Tahfiz di setiap daerah di Perak


Setiap daerah di Perak akan disediakan sebuah Maahad Tahfiz yang bakal menempatkan pelajar jurusan agama dalam bidang akademik asas peringkat sekolah menengah.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelaksanaan itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memberi galakan kepada generasi muda berjaya dalam bidang penghafazan Al Quran.
Ini sekaligus menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri membangunkan kepentingan ummah secara menyeluruh di negeri ini.

"Pelaksanaan itu sudah mula diterjemahkan melalui penubuhan sebuah sekolah Maahad Tahfiz di Manjung, manakala dua lagi masih dalam pembinaan iaitu di Lenggong dan Kerian.

"Semua sekolah berkenaan akan beroperasi di bawah penyeliaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). JAIPk akan berperanan dalam memastikan proses perjalanan sekolah Maahad Tahfiz itu berjalan lancar dan kerajaan negeri akan membantu daripada pelbagai aspek dalam memastikan dasar itu berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.

Zambry berkata, penubuhan sekolah keempat Maahad Tahfiz (Nurul Iman) di Batu Kurau pula memiliki sedikit keistimewaan kerana menempatkan 20 pelajar pertama yang dibarisi pelajar berstatus anak yatim dan miskin.
"Bangunan bernilai antara RM500 hingga RM700 ribu itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Januari tahun hadapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau juga berkata kerajaan negeri sentiasa memberi galakan penuh dalam bidang akademik di kalangan pelajar dan sebagai bukti pemberian sumbangan oleh Yayasan Perak sebanyak RM180 ribu kepada pelajar di Batu Kurau yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat menara gading. 

No comments:

Post a Comment