Barisan kepimpinan baru untuk Pemuda Umno dan Pemuda Barisan Nasional di Perak


Rombakan besar-besaran bakal dilakukan dalam barisan kepemimpinan Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional Perak sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Perubahan pertama dilakukan ialah terhadap jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Pemuda BN yang kini disandang Khairul Azwan Harun yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Beliau mengambil alih daripada Maslin Sham Razman yang juga Ketua Pemuda Kuala Kangsar dan pertukaran berkenaan berkuatkuasa pada 4 Januari lalu.

Khairul Azwan berkata, beliau akan mengumumkan rombakan berkenaan dan beberapa perubahan termasuk mengecilkan struktur kepada hanya tujuh atau lapan unit sahaja dalam Pemuda UMNO negeri bagi menjadikannya lebih fokus.

"Rombakan ini bagi memantapkan peranan Pemuda BN dan Pemuda UMNO di Perak dan ia juga mengambil kira peranan untuk memberi tumpuan kepada jentera pilihan raya umum serta sebagai badan pemantau kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan termasuk pelan Perak Amanjaya dalam konteks negeri Perak," katanya.

Khairul Azwan berkata, beliau juga akan mengadakan 'permukiman' yang wajib disertai semua ketua pemuda parti komponen BN negeri dalam masa terdekat bagi merencanakan agenda lebih besar dalam mempersiapkan jentera Pemuda BN Perak dalam menghadapi pilihan raya itu nanti.

Beliau berkata, agenda utama Pemuda BN dan UMNO negeri sekarang ialah untuk memastikan lebih ramai golongan muda terutama kalangan golongan profesional, kolar biru, lepasan pelajar dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai ahli pergerakan itu untuk persediaan menghadapi pilihan raya berkenaan.

Ditanya mengenai cabaran untuk merapatkan hubungan antara kepemimpinan Pemuda bahagian di Perak, Khairul Azwan berkata ia tidak menjadi isu kerana setiap ketua pemuda bahagian saling mengenali antara satu sama lain serta mampu bekerjasama.

"Antara perkara penting yang kita perlu pastikan ialah kita menjalankan setiap aktiviti dengan jayanya dan bukan sekadar syok sendiri dan gagal mencapai matlamat yang mahu dicapai," katanya.

Sementara itu, Maslin Sham akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Exco Pemuda UMNO, juga berkuatkuasa pada 4 Januari.

"Saya belum diberitahu mengenai portfolio saya di peringkat Pemuda Pusat, tetapi saya tetap memberi sepenuh kerjasama kepada pimpinan pergerakan Pemuda UMNO Perak yang baru bagi memastikan misi pergerakan itu untuk memenangi hati rakyat terlaksana," katanya.

1 comment:

  1. Semoga apa yang dihajati akan direalisasikan seiring dengan pelaksanaan kata-kata...InsyaAllah.

    ReplyDelete