Penambahbaikan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands...



Kerajaan negeri Perak memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi kerja menambah baik Jalan Cameron Highlands- Simpang Pulai bagi mengelak kemalangan yang telah mengorbankan 28 nyawa pada 21 Disember lalu berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata kerja penambah baikan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin untuk memastikan pengguna berasa selamat melalui laluan itu. Ia dibuat bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan berkenaan disamping memastikan pengguna lebih prihatin dengan faktor keselamatan ketika memandu.

Penambah baikan itu juga merangkumi empat projek iaitu, pemasangan penghadang jalan di bahagian tepi laluan sepanjang 100 meter berdekatan lokasi kemalangan, membina gelus selebar 50 milimeter merintangi jalan raya dari arah Cameron Highlands bagi mewujudkan getaran menghalang kelajuan, melebarkan kawasan selekoh sepanjang 100 meter dengan lebar maksimum dua meter beserta pembinaan parit konkrit baru dan mengecat garisan jalan.

JKR sudah melakukan tujuh langkah segera bagi penambah baikan laluan berkenaan termasuk membaik pulih pembahagi jalan yang pecah sepanjang lima meter, mengecat warna hitam dan kuning di semua permukaan pembahagi jalan konkrit sedia ada dan memasang papan tanda di bahagian atas pembahagi jalan serta papan tanda bersaiz besar.

"Antara yang sudah dilakukan ialah pemasangan papan tanda amaran guna gear rendah, mengecat semula garisan jalan yang pudar dan menghampar silangan bertindih untuk getaran yang lebih berkesan. Selain itu, tiga lampu lampu jalan jenis solar di tepi jalan raya turut dipasang selain menambah bilangan tiang plastik anjal di permulaan pembahagi jalan konkrit sedia ada. Kos kesemuanya dianggarkan melebihi RM100,000," katanya. 

No comments:

Post a Comment