DS Tengku Adnan Tengku Mansor ~ Senarai Baru Kukuhkan Parti


Sebagaimana yang kita sedia maklum, semalam telah diumukan senarai terbaru Kepimpinan UMNO di peringkat negeri yang diyakini mampu mengukuhkan kedudukan parti dalam menarik lebih ramai sokongan rakyat menjelang PRU-13.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebagai contoh pelantikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis serta Kedah.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai kelebihan dan pengaruh masing-masing di kalangan masyarakat akar umbi di kedua-dua negeri berkenaan.
”Pucuk pimpinan parti percaya dengan kewibawaan kedua-dua pemimpin ini. Mukhriz misalnya mempunyai pengaruh untuk meraih lebih banyak sokongan pengundi muda terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) di Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pelantikan semula pengerusi dan timbalan pengerusi UMNO negeri di Ibu Pejabat UMNO semalam.
Beliau sebelum itu ditanya mengenai keputusan pucuk pimpinan UMNO melantik Shahidan dan Muhkriz sebagai Timbalan Pengerusi Badan UMNO di Perlis serta Kedah.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan Shahidan, Tengku Adnan berkata, selain mempunyai pengalaman bekas Menteri Besar Perlis itu mempunyai kelebihan untuk berganding dengan Md. Isa bagi memantapkan lagi kedudukan UMNO di negeri berkenaan.
”Saya yakin gandingan kedua-dua pemimpin ini akan memberi impak yang berkesan kepada kekuatan UMNO di Perlis,” katanya lagi.
Begitu juga beliau berkata, dengan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta Datuk Zainal Abidin Osman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Pulau Pinang.
Berhubung keputusan untuk mengekalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Selangor serta Wilayah Persekutuan Tengku Adnan berkata, kepimpinan UMNO di kedua-dua negeri itu masih memerlukan kepimpinan dua pemimpin utama negara berkenaan.
Mengenai pengguguran tiga Naib Presiden sebagai pengerusi UMNO di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang Tengku Adnan berkata, langkah tersebut adalah sejajar dengan kehendak ahli akar umbi.
Selain itu katanya, ia juga adalah sebagai langkah terbaik untuk ketiga-tiga naib presiden berkenaan menumpukan perhatian kepada tugas-tugas hakiki iaitu berdasarkan kepada biro masing-masing.
”Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah diberi tanggungjawab mengendalikan biro latihan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula merupakan pengerusi tatatertib dan pindaan perlembagaan manakala Datuk Seri Mohd. Sahfie Apdal adalah pengerusi biro keahlian.
”Dengan tidak memegang jawatan pengerusi ketiga-tiga Naib Presiden ini akan dapat menumpukan kepada tugas-tugas yang telah dipertanggungjawabkan,” ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, pucuk pimpinan parti mengarahkan supaya semua perhubungan UMNO negeri mengadakan mesyuarat sekali dalam tempoh dua bulan.
”Mereka juga telah diminta memberi laporan-laporan terus kepada presiden,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment