Zambry cabar Pemuda PAS nyatakan hukum Nizar menghadiri vigil



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mencabar Dewan Pemuda PAS Negeri Perak untuk menyatakan pendirian mereka terhadap program ‘vigil' Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum membuat dakwaan beliau melakukan perbuatan khurafat. 

Katanya Dewan Pemuda PAS perlu berani menyatakan hukum disebalik perbuatan Nizar menyertai program vigil anjuran DAP Perak sempena kematian Teoh Beng Hock lengkap berpakaian serba hitam masyarakat Cina berkabung, memegang lilin dan bertakafur suatu ketika dulu. 

"Saya cabar mereka nyatakan pendirian mengenai hukum perbuatan Nizar menyertai abang-abangnya (Ngeh dan Nga) jika benar mereka ikhlas memperjuangan hukum Islam. 

"Jika tidak dapat nyatakan pendirian mereka, saya rasa lebih baik jangan guna hukum-hakam untuk tujuan politik," katanya. 

Beliau diminta mengulas memorandum yang dihantar Dewan Pemuda PAS kepada semua Mufti negeri bagi mengeluarkan hukum atas tindakannya meletak ancak ke tiang seri semasa majlis perasmian pembinaan tapak rumah orang kurang upaya di Kampung Guar, Manong pada 16 Oktober lalu. 

Zambry berkata beliau melihat tohmahan terbaru PAS itu merupakan salah satu strategi politik parti itu untuk mengurangkan sokongan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional. 

"Mereka tahu hubungan saya dengan rakyat amat baik dan apa yang BN lakukan sekarang amat disenangi masyarakat. 

"Mereka tidak tahu bagaimana nak serang saya dan kerajaan, maka mereka gunakan cara paling buruk iaitu main-mainkan agama untuk menjatuhkan kita," katanya.


No comments:

Post a Comment