Perak ambil pendekatan perkongsian bijak antara bumiputera dan kaum lain


Kerajaan Negeri Perak mengambil pendekatan dengan menggalakkan perkongsian bijak antara bumiputera dan kaum lain dalam membangunkan sektor ekonomi negeri. Pendekatan ini bukan sahaja dilihat sebagai sumbangan kemajuan ekonomi sebaliknya ia turut berperanan sebagai pemangkin hubungan harmonis antara golongan etnik.
 
YAB DS Dr Zambry Abd Kadir berkata perkongsian bijak yang merupakan gabungan modal, pengalaman dan kemahiran antara pengusaha Bumiputra dan bukan Bumiputra dapat mengukuhkan kedudukan usahawan Malaysia di pentas global. Keadaan ini jika dapat dilaksanakan dengan jayanya boleh membantu Perak menghadapi cabaran ekonomi global. 

"Walaupun perkongsian bijak antara pelbagai kaum merupakan pendekatan kita, pada masa sama usaha untuk memperkukuhkan ekonomi orang Melayu akan tetap diteruskan. 

"Ini kerana kita mahu lihat orang Melayu tidak hanya berjaya dalam bidang politik tetapi juga ekonomi. Politik dan ekonomi adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. 

"Kita tidak mahu orang Melayu atau mana-mana kaum sekalipun ketinggalan dalam kemajuan ekonomi," katanya. 

Menurut Zambry lagi dalam memajukan ekonomi negeri, perhatian khusus juga akan diberikan dalam menggerakkan ekonomi golongan miskin terutama wanita luar bandar. 

Katanya ini kerana wanita terbukti dapat memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi luar bandar berikutan penglibatan mereka di dalam perniagaan kecil-kecilan sama dari rumah atau gerai. 

"Walaupun perniagaan mereka kecil tetapi telah terbukti ia dapat menghidupkan aktiviti hiliran di kawasan luar bandar yang akhinrya memberi impak besar kepada pendapatan negeri dan negara," katanya. 

Beliau berkata menyedari peranan penting wanita dalam ekonomi, kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya akan terus menggandakan usaha membantu wanita miskin menceburkan diri dalam perniagaan. 

Langkah memberi bantuan pinjaman perniagaan kepada gologan wanita tersebut telah terbukti berjaya membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan, katanya. 

"Dengan bantuan yang kita hulurkan, kita dapati ramai daripada yang dahulunya diketegori sebagai miskin tegar kini sudah terkeluar dari kepompong itu berikutan terdapat peningkatan ekonomi," katanya.

No comments:

Post a Comment