Wakil rakyat perlu jujur dan tidak tabur janji kosong


Setiap wakil rakyat perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan masalah rakyat tanpa menabur pelbagai janji kosong.
 
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendekatan itu perlu dalam menangani sebarang masalah rakyat supaya tidak timbul tanggapan salah jika sesuatu perkara itu tidak dapat diselesaikan dengan segera.

"Berterus-terang kepada rakyat samada satu-satu masalah itu boleh diselesaikan atau sebaliknya supaya penantian mereka tidak sia-sia.

"Mana masalah boleh selesaikan cepat, kita beritahu ia cepat diselesaikan, yang mana masalah perlu ambil masa, kita beritahu ia lambat sedikit. Saya percaya pendekatan ini akan lebih disukai rakyat dalam kita menyelesaikan pelbagai masalah," katanya.

Zambry berkata dalam menyelesaikan masalah rakyat, pendekatan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri, pejabat daerah serta pihak yang berkenaan adalah lebih baik daripada mengadakan demonstrasi yang akan melambatkan proses penyelesaian. 

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) supaya berhati-hati kerana pihak pembangkang cenderung untuk ‘menangguk di air keruh' dengan mengambil kesempatan untuk menjadi ‘juara' kepada permasalahan rakyat. 

"Tujuan mereka adalah untuk mengambil kesempatan politik. Mereka bukan mahu selesaikan sangat..,mereka cuma mahu tunjuk 'hero' kepada rakyat tetapi apabila kita selesaikan, merekalah yang akan berada di hadapan rakyat dengan mengatakan merekalah selesaikan seperti apabila saya selesaikan masalah setinggan di landasan kereta api (di Kuala Sepetang, Taiping)," katanya. 

Menurutnya, pembangkang sebelum ini mempunyai peluang untuk menyelesaikan masalah rakyat apabila mentadbir kerajaan negeri selama 11 bulan. 

"Tetapi sepertimana kita tahu, banyak masalah yang timbul sepanjang tempoh 11 bulan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment