SPR perlu tegas bendung budaya politik ganas semasa pilihan raya


DS DR Zambry Abd Kadir berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengenakan tindakan tegas terhadap parti yang bertindak keterlaluan di luar batasan undang-undang. Ia perlu bagi mengelak sebarang suasana panas hingga menyebabkan kecelaruan dan keadaan tegang.

"Insiden seperti kekecohan yang berlaku di Galas termasuk membaling botol dan memukul tidak seharusnya dibiarkan berlaku," katanya. 

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perak bersetuju dengan cadangan SPR yang mahu melaksanakan tempoh bertenang 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari bagi membendung kekecohan dan keganasan di kalangan penyokong parti bertanding.

"Selain memasukkan peraturan baru, SPR perlu juga menguatkuasakan undang-undang sedia ada supaya parti bertanding mengikut peraturan yang telah ditetapkan," katanya. 

Jelas beliau lagi SPR wajar mengenakan hukuman seperti penalti berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya parti bertanding masih enggan mematuhi peraturan. 

"Namun kita juga faham SPR mungkin berdepan dengan kekurangan kakitangan. Kita harapkan bahagian pelaksana dapat memastikan parti bertanding bertanggungjawab untuk menjaga kelakuan penyokong mereka,"katanya. 

Katanya pilihan raya kecil Batu Sapi merupakan contoh terbaik apabila setiap parti yang bertanding boleh duduk bersama dalam suasana yang tenang dan saling menghormati. 

Baru-baru ini SPR mencadangkan peraturan tempoh bertenang 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari antara intipati kandungan kepada pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk membendung kekecohan dan keganasan oleh penyokong parti bertanding.

No comments:

Post a Comment