Tengku Adnan - Hayati Falsafah Aidiladha Untuk Kesejahteraan


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyarankan agar umat  Islam negara ini menghayati sepenuhnya erti pengorbanan sempena hari raya Aidil Adha yang akan disambut Rabu ini  untuk memastikan Islam  dan negara terus dihormati.


Menurut beliau kesejahteraan hidup yang telah dikecapi sejak sekian lama dan keamanan yang digagaskan secara bersama antara pelbagai kaum di negara ini perlu dipertahankan sebaik mungkin dengan berpaksikan kepada semangat pengorbanan.

“Kita di negara ini hidup dengan rukun pelbagai kaum dan kesatuan dalam kepelbagaian. Prinsip pengorbanan perlu ada dalam setiap diri kita agar negara dan Islam akan terus maju dan dipandang tinggi seluruh dunia.
“Janganlah kita sesekali tersilap langkah dengan mengambil semangat pengorbanan itu  untuk menghancurkan apa yang telah dikecapi sejak sekian lama semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan kepada natijahnya kepada agama dan negara.
“Janganlah kita sesekali tersilap langkah dengan mengambil semangat pengorbanan itu  untuk menghancurkan apa yang telah dikecapi sejak sekian lama semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan kepada natijahnya kepada agama dan negara.”
“Kepada golongan ini, ambillah semangat pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang bersedia melakukan apa sahaja demi mencapai keredaan Allah dan bukannya pengorbanan untuk nafsu serakah yang tidak memberi apa-apa manfaat sebaliknya kehancuran semata-mata,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya membidas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan di negara ini dengan mengambil kesempatan memanipulasi isu-isu tertentu untuk kepentingan mereka tanpa melihat kesannya secara menyeluruh.

“Ambillah falsafah Aidiladha untuk pembangunan ummah sejagat dan bermuhasabahlah dengan ikhlas kerana Aidiladha mengajar umat betapa setiap perjuangan itu memerlukan cita-cita dan idealisme yang disemangati prinsip dan nilai Islam sejati.

“Setiap perjuangan juga menagih komitmen setiap pendukungnya untuk bersedia menderita, berkorban dan terkorban demi mencapai cita-cita dan idealisme suci dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.
Datuk Seri  Tengku Adnan seterusnya mengajak umat Islam agar  mencontohi pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban demi membangunkan negara yang diwarisi hari ini.

Katanya kejayaan negara dalam memacu pembangunan untuk seluruh rakyat tanpa mengira latarbelakang kaum dan fahaman agama hari ini adalah kerana adanya pengorbanan jiwa dan raga seluruh peringkat rakyat jelata.

“Di sinilah pentingnya semangat pengorbanan yang mendasari falsafah Aidiladha untuk kembali dijiwai oleh generasi pewaris negara dan pelanjut perjuangan agama dan bangsa.

“Golongan yang tidak menghayati semangat ini merupakan mereka yang tergolong di dalam golongan yang tidak bersyukur terhadap apa yang dinikmati hari ini.

“Justeru, sempena Hari Raya Korban ini, umat Islam harus kembali menghayati semangat pengorbanan yang mendasari dalam falsafah Aidiladha. Umat Islam perlu sedar bahawa perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan membina tamadun gemilang tidak akan berjaya sekiranya tiada kesediaan untuk berkorban dalam diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment