Hentikan Budaya Kecil Hati Dalam UMNO



Budaya kecil hati dikalangan ahli - ahli UMNO yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya akan ditangani. Budaya itu sebenarnya hanya akan merugikan UMNO dan untuk itu satu modul akan dirangka bagi “merawat” kekecewaan mereka,  demikian ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Modul tersebut akan dirangka kerana sebelum ini, anggota UMNO banyak menghabiskan masa dalam tempoh berkempen untuk memujuk anggota yang merajuk akibat tidak terpilih dan bukan hanya menumpukan perhatian untuk bertemu dengan pengundi. 
Modul untuk menghakis budaya berkecil hati dan merajuk itu akan dirangka dalam simulasi pilihan raya umum olok-olok tidak lama lagi, katanya, sambil menambah beliau telah ditugaskan Majlis Tertinggi UMNO sebagai pengerusi dan penyelaras untuk simulasi pilihan raya di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Modul akan ditentukan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan di antaranya adalah untuk memastikan supaya jentera parti diwujudkan awal dan isu -isu sakit hati, jauh hati dan retak hati akan dihakiskan. Budaya sedemikian perlulah dihentikan kerana ia hanyalah perbuatan sabotaj kepada parti selain menganggu anggota UMNO memberi fokus kepada pilihanraya.
Selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menegur ahli dan pemimpin UMNO yang menyalah guna media baru seperti Facebook, Twitter dan blog dengan cara yang salah kerana mengecam sesama ahli dan bermusuhan sesama sendiri. 

UMNO perlu laku transformasi politik untuk menangi hati rakyat





Generasi muda hari ini tidak lagi melihat dan memandang UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang boleh memenuhi keperluan mereka, demikian ujar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. 

Bukan hanya sekadar memenuhi keperluan asas, sebaliknya generasi muda pada hari ini memerlukan sebuah parti yang boleh memahami keperluan dan masalah rakyat daripada pelbagai aspek termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan serta peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Kita tidak boleh membiarkan pembangkang menjadi suara rakyat hingga terpaksa menggubal dasar baru.

"Apa yang lebih penting transformasi politik ini perlu bermula dengan memahami kawasan sendiri dan semua pihak harus berganding bahu dalam usaha mengeratkan perpaduan kaum," katanya.

Katanya, keputusan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini memberi petanda cemas kepada soal perpaduan kaum apabila DAP berjaya meracuni pemikiran golongan tertentu untuk menyokong politik perpecahan.

"Sudah pasti kejayaan DAP itu akan membawa kesan berpanjangan dan boleh menjejaskan perpaduan rakyat majmuk di negara ini," katanya.

DS Hishamuddin Hussein ~ Transformasi politik perlu disertai dengan bukti



Bagi menarik penyertaan golongan muda, transformasi politik yang dilaksanakan UMNO bukan sajaha perlu dihayati tetapi juga diterjemahkan di peringkat bahagian dan akar umbi dalam bentuk bukti dan hakikat sebenar. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, parti itu kini dilihat lebih demokratik dan mampu menarik penyertaan golongan muda untuk menyertai parti itu.

"Lanskap dunia bukan sahaja berubah di Malaysia tetapi di seluruh dunia tetapi pembangkang sengaja menggunakan isu itu untuk menarik perhatian rakyat.

"Tetapi dengan kebijaksanaan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita sudah mengorak langkah lebih awal daripada aspek kerajaan, ekonomi dan parti dengan membawa pendekatan baru atau tranformasi yang dituntut oleh rakyat," katanya.

Bagaimanapun katanya, ketika ini tranformasi politik itu masih belum nampak kesannya kerana ia masih di peringkat awal pelaksanaan.

"Bagi pemilihan secara pilihan raya, kita sudah meminta UMNO Bahagian Larut yang mempunyai cawangan terbesar iaitu 148 cawangan untuk melaksanakannya walaupun pemilihan sebenar masih jauh.

"Apa yang lebih penting ialah undi perwakilan ini yang akan menentukan siapa yang bakal menjadi Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, sekaligus menjadi sebahagian daripada detik bersejarah dalam parti," katanya.

BN Perak akan kenal pasti calon berpotensi menang untuk pilihan raya umum ke-13



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sehingga kini BN Perak sudah mengenal pasti beberapa calon yang boleh memenuhi kriteria yang ditetapkan dan prestasi mereka akan terus dipantau secara berterusan.

"Kita tidak akan sama sekali meletakkan calon yang tidak disukai rakyat, ataupun di kalangan mereka yang mempunyai kes buruk dan sering menjadi perbualan orang ramai.

"Inilah realiti sebenar politik masa kini dan kita akan berusaha membuat banyak perubahan (calon) pada pilihan raya umum nanti," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, berkata semua ahli parti komponen BN perlu akur dengan senarai calon yang bakal diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak kerana sebagai ahli sepatutnya menunjukkan sepenuh kepercayaan terhadap pimpinan tertinggi.

Dalam perkembangan lain, Zambry turut meminta generasi muda hari ini melibatkan diri mereka dalam pengurusan dan hal ehwal parti untuk menentukan kesinambungan hala tuju serta matlamat parti.

"Generasi muda adalah aset berharga dalam parti dan sepatutnya mereka diberi peluang untuk menentukan hala tuju parti. Kita tidak mahu mereka ditarik menjadi ahli hanya untuk menambah bilangan ahli semata-mata.

"Sepatutnya, golongan sedemikian diberi peluang untuk bekerja dan mempelajari aspek pentadbiran termasuk persediaan untuk menjadikan mereka sebagai barisan pelapis pemimpin parti akan datang," katanya.

Ahli UMNO perlu hayati gesaan Datuk Seri Najib Tun Razak






YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyuarakan bahawa UMNO Perak menyambut baik gesaan YAB Dato' Seri Najib Tun Razak untuk mengelak daripada berleluasanya amalan politik berpuak-puak di dalam parti. Gesaan tersebut merupakan satu peringkat yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua ahli UMNO di semua peringkat termasuk bahagian dan cawangan.


"Kekuatan UMNO hari ini membolehkan kita mampu untuk menghadapi segala cabaran tetapi pada masa sama ia juga mengingatkan kita tentang kelemahan di dalam parti," katanya. 

Zambry berkata, bagi memastikan UMNO terus kukuh, setiap ahlinya tidak perlu menggunakan strategi yang diwujudkan untuk menentang orang luar sebagai perjuangan untuk menjatuhkan ahli UMNO sendiri. 

"Saya yakin sekiranya ahli UMNO berbalik kepada perjuangan asal parti iaitu ‘Bersatu, Setia dan Berkhidmat' maka UMNO mampu menangkis cabaran pada masa akan datang. 

"Situasi politik yang berlaku pada 2008 perlu diambil iktibar bagi menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang lebih kuat berbanding parti lain," katanya.

DS Najib Tun Razak ~ Ahli UMNO Akan Diuji Kesetiaan Bila Sampai Masa Nanti



Kesetiaan anggota UMNO terhadap perjuangan parti akan diuji apabila tiba masanya ujar Presiden UMNO Dato' Seri Najib Tun Razak. 
Walaupun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa ujian itu secara langsung mengaitkan pemilihan calon pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
“Apakah kita sudah cukup setia kepada Umno? Apakah tak jadi calon kita akan setia kepada Umno? Betul? Setia? Betul serah mandat pada pucuk pimpinan? Terima kasih. Saya akan uji bila sampai masa nanti.
“Jangan nanti ada yang merajuk, tidak mahu kerja dan pergi ke luar negara kalau tidak terpilih menjadi calon pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun Umno ke-65 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Najib, mendapat respon daripada kira-kira 3,000 hadirin yang hadir memenuhi Dewan Merdeka yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Umno dari seluruh negara.
Turut sama pada majlis malam ini, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, naib-naib presiden serta ketua-ketua sayap parti.
Dalam pada itu, Najib turut mengajak semua anggota dan pemimpin Umno melafazkan ikrar supaya terus sama-sama mendampingi rakyat dan berkhidmat bersungguh-sungguh serta prihatin kepada keperluan dan suara rakyat di peringkat akar umbi.
Sambil mengajak hadirin mengimbas kembali sejarah penubuhan Umno 65 tahun lepas, Najib mengingatkan anggota dan pemimpin supaya menghindari sikap berpuak-puak atau politik ‘factionalisme’ untuk memastikan Umno terus menjadi parti yang kuat dalam negara.
“Kalau Umno bersatu, apatah lagi kalau orang Melayu pegang, Umnolah parti keramat untuk orang Melayu, Umno itu Melayu…Melayu itu Umno, kita merupakan parti yang kuat dalam negara ini.
“Kita tidak mahu Umno senasib parti-parti lain. Parti yang telah banyak berjasa tapi telah terkubur, yang telah berbudi tapi mengalami kekalahan. Umno belum mengalami nasib sebegitu dan janganlah kita menghadapi nasib yang sama.
Najib berkata Umno juga sudah mempunyai cukup kekuatan untuk terus menjayakan dan memantapkan agenda transformasi negara di samping telah mempunyai jenama tersendiri yang masih di pandang tinggi oleh rakyat jelata.
Pada majlis itu, Najib turut menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ serta memotong pulut kuning.

Jiwai Slogan UMNO Dahulukan Rakyat



Seluruh pimpinan parti pelbagai peringkat UMNO diajak untuk benar -  benar menjiwai slogan "UMNO Mendahulukan Rakyat". Ia adalah perlu bagi memperteguhkan lagi perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair. Pada masa Ketua Penerangan UMNO, Dato' Ahmad Maslan turut menyeru semua ahli UMNO bersama melakukan transformasi parti seperti mana yang disaran Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Pada hari ulang tahun UMNO ini marilah kita bersama-sama dari Perlis hingga ke Sabah menginsafi serta melaksanakan tugas dan tanggungjawab mendahulukan rakyat bagi memperkukuhnkan perjuangan kita mengangkat martabat agama dan bangsa serta membina negara agar terus maju, aman dan makmur”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau juga turut menyeru agar semua ahli dan pimpinan UMNO pelbagai peringkat untuk menyahut saranan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan transformasi politik bagi menjamin kelansungan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu di samping membela rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Transformasi itu membawa maksud perubahan besar dan transfomasi politik seperti yang disarankan presiden kita antara lain sifarkan masalah di bahagian-bahagian, bekerja sebagai satu pasukan, mendahulukan rakyat, menggunakan segala medium media baru dan bersifat inklusif”, ujarnya.
Jelas beliau lagi selama 65 tahun UMNO telah banyak membuat jasa, menjaga rakyat, meningkat taraf hidup rakyat, melengkapkan prasarana hidup rakyat, memberi pendidikan, peluang pekerjaan, keamanan, keharmonian, mengangkat martabat negara ini ke tahap yang lebih tinggi dan pelbagai kejayaan lagi.
“Semua perjuangan UMNO itu dirumus dalam perjuangan agama, bangsa dan tanahair.
“Justeru kepada pendukung, pecinta, ahli, aktivis UMNO….pada 11 Mei ini marilah kita menginsafi  akan segala jasa-jasa yang telah kita lakukan pada rakyat dan ikhlaskan niat kita untuk terus perjuangkan agama, bangsa dan tanahiar ini dengan bersunggu-sungguh”, katanya.

YAB DS Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ~ Ahli UMNO Perak diminta tidak leka dan lalai



Ahli - ahli UMNO Perak diingatkan agar tidak leka dan lalai. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, kajian terbaru yang dibuat Zentrum Future Studies mengenai senario politik di Perak itu mendapati parti berkenaan tidak boleh memandang ringan bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Sehubungan dengan itu juga, usaha berterusan akan dipergiatkan bagi meraih lebih banyak sokongan rakyat terutamanya di kalangan masyarakat Cina.

"Biarlah mereka buat ramalan dan analisis. Saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti akan ditafsirkan sebagai angkuh.

"Tapi ini tidak bermakna UMNO Perak tidak yakin untuk memenangi pilihan raya cuma apa yang penting kita meneruskan agenda yang ditetapkan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini," katanya.

Zambry berkata, UMNO Perak kini berada pada kedudukan paling kukuh dan bersedia bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan penghujung tahun ini.

"Saya yakin selagi semua ahli bersatu, kita pasti mampu mengorak kejayaan dan mempertahankan pentadbiran BN di Perak," katanya.

Biasiswa dan Kolej UMNO...





UMNO dicadangkan menawarkan Biasiswa UMNO dan menubuhkan Kolej UMNO bagi menyerlahkan peranan UMNO dalam pembangunan belia di Malaysia. Perkara tersebut dicadangkan oleh Timbalan Badan Perhubungan UMNO Kedah,  Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penekanan nama UMNO itu sendiri perlu dalam membuktikan kepada rakyat khususnya kepada Bumiputera akan sumbangan parti UMNO dalam pembangunan golongan muda. Walaubagaimanapun, penawaran biasiswa dan penubuhan Koleh UMNO perlulah memberi manfaat kepada semua dan bukan hanya kepada anak-anak ahli UMNO sahaja. 
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  berkata langkah itu perlu memandangkan masih ada pelajar bumiputera yang cemerlang namun keciciran daripada menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan kolej itu boleh dilaksanakan dengan mengambil alih institusi sedia ada atau bekerjasama dengan mereka.
Terdahulu semasa berucap, Mukhriz meminta anggota Pemuda tidak takut dalam menyuarakan keperluan komuniti kepada pucuk pimpinan, namun pada masa yang sama harus menjaga tata susila dan tidak melampau.
“Jangan biarkan pembangkang bersuara untuk masyarakat,” katanya.
Beliau turut meminta semua anggota UMNO dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) bersatu dan tidak membiarkan pertelingkahan kecil menjadi api dalam sekam yang boleh memusnahkan semangat setiakawan.

UMNO Tidak Akan Gadai Prinsip Perjuangan Walau Berdepan Cabaran Getir




Walaupun berhadapan dengan suasana politik yang getir dan mencabar, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa UMNO tidak akan sesekali menggadaikan prinsip perjuangannya tidak seperti PKR dan PAS.
UMNO juga sentiasa istiqamah dalam mempertahankan kesucian Islam dan membela bangsa Melayu kerana itulah prinsip asas perjuangan UMNO jika dibandingkan dengan PAS yang boleh mengenepikan prinsip perjuangan semata-mata untuk meraih sokongan politik.
Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar di sini, Ahad.
Timbalan Perdana Menteri berkata lebih lama Pas berada di dalam pakatan pembangkang, lebih banyak prinsip perjuangan parti itu akan terhakis dantergadai.
Bagi PKR pula, katanya parti pembangkang itu langsung tidak ada prinsip perjuangan kerana dari mula ditubuhkan, perjuangannya hanyalah untuk Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya apabila Anwar dilanda masalah, parti itu turut dilanda masalah yang parah dengan PKR kini dkenali sebagai “Parti Kian Runtuh” dan “Parti Kelua rRamai-Ramai”.
Beliau berkata sekiranya anggota UMNO terus istiqamah dengan prinsip, falsafah dan roh perjuangan parti, UMNO akan terus bertambah kuat dan dihormati.
“Jangan kita gadai perjuangan kita, kerana prinsip inilah yang menentukan kewujudan dan kelangsungan UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu yang gagah dan perkasa,” katanya.
Menurut Muhyiddin, UMNO tidak pernah mengambil pendekatan yang ekstrem di dalam perjuangan kepentingan Melayu dan Islam dan sentiasa bersikap adil terhadap semua dengan mengambil kira realiti sosial masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.