YAB DS Dr. Zambry Abd Kadir ~ Dakyah Penyebar Fitnah Dielakkan


Menteri Besar Perak mengeluarkan amaran kepada pihak tertentu yang suka menyebar fitnah memburukkan beliau serta kerajaan kerana ia merupakan perbuatan tidak bermoral dan berdosa besar. Beliau berkata perbuatan fitnah itu melambangkan sikap pihak berkenaan yang pengecut untuk menghadapi fakta kebenaran.
Tindakan itu juga katanya menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan dan mudah termakan dakwaan yang ditaburkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab."saya mengajak rakyat menolak mereka yang menyebarkan fitnah. Lebih menjengkelkan apabila mereka yang menyebarkan fitnah ini mendakwa diri mereka ulama, sedangkan ulama sebenar adalah mereka yang terdiri dari peribadi mulia,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pusat tahfiz al quran Nuurul Iman di Batu 14,Batu Kuarau kelmarin. Sementara itu Menteri Besar Perak melahirkan rasa syukur dengan kejayaan kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinannya yang berjaya menepis segala tohmahan rekaan pihak tertentu yang akhirnya memerangkap diri mereka sendiri apabila rakyat akhirnya meluat dengan perbuatan mereka itu.
"Saya juga menolak sebarang perdebatan yang tidak berfaedah,sebaliknya menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) tempat yang terbaik untuk wakil rakyat memberikan buah fikiran dan pendapat bagi kepentingan rakyat", katanya.
Dalam perkembangan lain,bercakap mengenai Pusat Tahfiz Al-Quran yang dirasmikan,beliau berkata sudah menjadi hasrat kerajaan negeri mewujudkan di setiap daerah negeri ini atau sekurang-kurangnya sebuah disetiap parlimen.
Katanya dengan wujudnya pusat berkenaan, ia bukan sahaja membuktikan bahawa, Kerajaan Barisan Nasional mengutamakan program pendidikan agama Islam, tetapi mampu melahirkan lebih ramai kalangan ahli tahfiz.

Kerajaan negeri bakal tubuhkan Maahad Tahfiz di setiap daerah di Perak


Setiap daerah di Perak akan disediakan sebuah Maahad Tahfiz yang bakal menempatkan pelajar jurusan agama dalam bidang akademik asas peringkat sekolah menengah.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelaksanaan itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memberi galakan kepada generasi muda berjaya dalam bidang penghafazan Al Quran.
Ini sekaligus menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri membangunkan kepentingan ummah secara menyeluruh di negeri ini.

"Pelaksanaan itu sudah mula diterjemahkan melalui penubuhan sebuah sekolah Maahad Tahfiz di Manjung, manakala dua lagi masih dalam pembinaan iaitu di Lenggong dan Kerian.

"Semua sekolah berkenaan akan beroperasi di bawah penyeliaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). JAIPk akan berperanan dalam memastikan proses perjalanan sekolah Maahad Tahfiz itu berjalan lancar dan kerajaan negeri akan membantu daripada pelbagai aspek dalam memastikan dasar itu berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.

Zambry berkata, penubuhan sekolah keempat Maahad Tahfiz (Nurul Iman) di Batu Kurau pula memiliki sedikit keistimewaan kerana menempatkan 20 pelajar pertama yang dibarisi pelajar berstatus anak yatim dan miskin.
"Bangunan bernilai antara RM500 hingga RM700 ribu itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Januari tahun hadapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau juga berkata kerajaan negeri sentiasa memberi galakan penuh dalam bidang akademik di kalangan pelajar dan sebagai bukti pemberian sumbangan oleh Yayasan Perak sebanyak RM180 ribu kepada pelajar di Batu Kurau yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat menara gading. 

Duta Besar Iran ~ UMNO Parti Islam Paling Konsisten Di Persada Antarabangsa


KUALA LUMPUR, 18 Jan. – UMNO bukan hanya sebuah pertubuhan politik yang yang memperjuangkan cita-cita kebangsaan Melayu tetapi ia juga diakui sebagai sebuah parti yang konsisten dalam memartabatkan agama Islam.
Keteguhan dan keseriusan UMNO dalam mengekalkan maruah dan kedaulatan agama, bangsa dan negara ini diakui sendiri oleh Duta Besar Iran ke Malaysia, H.E. Prof. Dr. Mohammed Mehdi Zahedi.
“UMNO adalah parti Islam yang mempunyai kesinambungan kepimpinan dengan struktur yang jelas dan mampu mewujudkan suasana yang harmoni bukan hanya di kalangan anggota beragama Islam tetapi juga masyarakat keseluruhannya,” katanya.
“UMNO adalah parti Islam yang mempunyai kesinambungan kepimpinan dengan struktur yang jelas dan mampu mewujudkan suasana yang harmoni bukan hanya di kalangan anggota beragama Islam tetapi juga masyarakat keseluruhannya,”
Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.
Dalam kesempatan tersebut, Tengku Adnan memaklumkan bahawa antara asas dan tujuan UMNO ditubuhkan ialah untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam iaitu agama rasmi negara serta menghormati kebebasan beragama.
“Objektif UMNO berkaitan Islam adalah jelas dan ia terkandung di dalam Perlembagaan UMNO, Fasal 3.3,” katanya.
Tengku Adnan turut memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa yang dihadapi oleh UMNO khususnya penyelewengan pihak pembangkang yang gemar mempropagandakan hal-hal berkaitan agama untuk kepentingan politik mereka.
“UMNO menghormati agama-agama lain dan masyarakat di Malaysia bebas untuk mengamalkan kepercayaan mereka masing-masing tetapi apa yang sangat ditekankan dalam konteks Islam ialah pengukuhan dalam akidah agar tidak berlaku pemesongan,” jelasnya.
Terang beliau lagi, para pemimpin UMNO tidak bertolak ansur dalam hal-hal yang membabitkan akidah Islam tetapi dalam masa yang sama percaya bahawa persefahaman bersama dalam masyarakat mampu membentuk kesatuan dalam kepelbagaian.
Menerusi pertemuan yang berlangsung lebih satu jam, beliau turut menerangkan berkaitan penubuhan UMNO sejak awal pembentukannya pada 11 Mei 1946 dan menjadi pelopor kepada kebangkitan kemerdekaan seterusnya termasuklah lahirnya parti-parti pembangkang yang didominasi oleh golongan yang gagal mendapat kuasa dalam UMNO.
“Pas yang menggunakan Islam dalam agenda politik mereka tertubuh selepas pemimpin mereka gagal merebut jawatan yang Dipertua UMNO pada tahun 1955 manakala PKR pula wujud adalah kerana ketidakpuasan hati mereka yang tidak dapat menerima hakikat berkaitan perlakuan moral Anwar Ibrahim.”
Kesempatan ini juga diaplikasi oleh kedua-dua pemimpin tersebut bertukar-tukar pendapat di samping membincangkan hal-hal melibatkan pandangan negatif terhadap agama Islam di peringkat antarabangsa.
Selaras dengan itu persetujuan dicapai bahawa pandangan tersebut mampu diubah sekiranya semua negara-negara Islam bersatu hati dan membentuk kesatuan serta kesepakatan tanpa melihat kepada perbezaan antara mazhab.
Dalam kunjungan ini, Dr. Mohammed Mehdi turut menyampaikan jemputan rasmi untuk mengadakan kerjasama dan pertukaran antara kedua-dua parti melibatkan ahli-ahli Parlimen, ulama dan ahli agama masing-masing dalam hasrat saling belajar dan mempelajari.

Sumber: Media UMNO

Penyelesaian Masalah Rakyat...



Kerajaan Negeri Perak sentiasa komited dalam menangani masalah rakyat serta mengurangkan masalah birokrasi. Ini terbukti dengan Rancangan 'Deme Tanye Pak Ngah Jawab' di stesen radio Perakfm setiap pagi Selasa berjaya menyelesaikan 505 daripada 610 aduan yang dikemukakan.

Sebahagian besar aduan dikemukakan rakyat menerusi panggilan telefon secara langsung dan ada yang dikemukakan menerusi surat serta laman web sosial Facebook, demikian menurut Ketua Penerangan Kerajaan Negeri, Datuk Hamdi Abu Bakar.

Selain itu, baki aduan yang belum diselesaikan akan diambil alih Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Lee Kon Yin. Beliau akan turun padang melihat permasalahan itu kerana ia membabitkan proses lebih rumit seperti aduan penduduk miskin yang meminta bantuan rumah tetapi namanya tidak tersenarai dalam sistem Pengkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih).

Selain itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir juga dijangka menjawab segala aduan menerusi panggilan telefon yang diadakan secara langsung di Dewan Bandaran Ipoh di sini pada jam 9 pagi 1 Mac ini.

"Zambry akan mengadakan sesi dialog secara bersemuka dengan orang ramai di dewan berkenaan mulai jam 10 pagi sehingga 1 petang," katanya.

Penambahbaikan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands...



Kerajaan negeri Perak memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi kerja menambah baik Jalan Cameron Highlands- Simpang Pulai bagi mengelak kemalangan yang telah mengorbankan 28 nyawa pada 21 Disember lalu berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata kerja penambah baikan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin untuk memastikan pengguna berasa selamat melalui laluan itu. Ia dibuat bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan berkenaan disamping memastikan pengguna lebih prihatin dengan faktor keselamatan ketika memandu.

Penambah baikan itu juga merangkumi empat projek iaitu, pemasangan penghadang jalan di bahagian tepi laluan sepanjang 100 meter berdekatan lokasi kemalangan, membina gelus selebar 50 milimeter merintangi jalan raya dari arah Cameron Highlands bagi mewujudkan getaran menghalang kelajuan, melebarkan kawasan selekoh sepanjang 100 meter dengan lebar maksimum dua meter beserta pembinaan parit konkrit baru dan mengecat garisan jalan.

JKR sudah melakukan tujuh langkah segera bagi penambah baikan laluan berkenaan termasuk membaik pulih pembahagi jalan yang pecah sepanjang lima meter, mengecat warna hitam dan kuning di semua permukaan pembahagi jalan konkrit sedia ada dan memasang papan tanda di bahagian atas pembahagi jalan serta papan tanda bersaiz besar.

"Antara yang sudah dilakukan ialah pemasangan papan tanda amaran guna gear rendah, mengecat semula garisan jalan yang pudar dan menghampar silangan bertindih untuk getaran yang lebih berkesan. Selain itu, tiga lampu lampu jalan jenis solar di tepi jalan raya turut dipasang selain menambah bilangan tiang plastik anjal di permulaan pembahagi jalan konkrit sedia ada. Kos kesemuanya dianggarkan melebihi RM100,000," katanya. 

Barisan kepimpinan baru untuk Pemuda Umno dan Pemuda Barisan Nasional di Perak


Rombakan besar-besaran bakal dilakukan dalam barisan kepemimpinan Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional Perak sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Perubahan pertama dilakukan ialah terhadap jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Pemuda BN yang kini disandang Khairul Azwan Harun yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Beliau mengambil alih daripada Maslin Sham Razman yang juga Ketua Pemuda Kuala Kangsar dan pertukaran berkenaan berkuatkuasa pada 4 Januari lalu.

Khairul Azwan berkata, beliau akan mengumumkan rombakan berkenaan dan beberapa perubahan termasuk mengecilkan struktur kepada hanya tujuh atau lapan unit sahaja dalam Pemuda UMNO negeri bagi menjadikannya lebih fokus.

"Rombakan ini bagi memantapkan peranan Pemuda BN dan Pemuda UMNO di Perak dan ia juga mengambil kira peranan untuk memberi tumpuan kepada jentera pilihan raya umum serta sebagai badan pemantau kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan termasuk pelan Perak Amanjaya dalam konteks negeri Perak," katanya.

Khairul Azwan berkata, beliau juga akan mengadakan 'permukiman' yang wajib disertai semua ketua pemuda parti komponen BN negeri dalam masa terdekat bagi merencanakan agenda lebih besar dalam mempersiapkan jentera Pemuda BN Perak dalam menghadapi pilihan raya itu nanti.

Beliau berkata, agenda utama Pemuda BN dan UMNO negeri sekarang ialah untuk memastikan lebih ramai golongan muda terutama kalangan golongan profesional, kolar biru, lepasan pelajar dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai ahli pergerakan itu untuk persediaan menghadapi pilihan raya berkenaan.

Ditanya mengenai cabaran untuk merapatkan hubungan antara kepemimpinan Pemuda bahagian di Perak, Khairul Azwan berkata ia tidak menjadi isu kerana setiap ketua pemuda bahagian saling mengenali antara satu sama lain serta mampu bekerjasama.

"Antara perkara penting yang kita perlu pastikan ialah kita menjalankan setiap aktiviti dengan jayanya dan bukan sekadar syok sendiri dan gagal mencapai matlamat yang mahu dicapai," katanya.

Sementara itu, Maslin Sham akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Exco Pemuda UMNO, juga berkuatkuasa pada 4 Januari.

"Saya belum diberitahu mengenai portfolio saya di peringkat Pemuda Pusat, tetapi saya tetap memberi sepenuh kerjasama kepada pimpinan pergerakan Pemuda UMNO Perak yang baru bagi memastikan misi pergerakan itu untuk memenangi hati rakyat terlaksana," katanya.

Penghargaan kepada Pemain Kelahiran Perak...



Kemeriahan kejayaan menggengam Piala AFF masih lagi menjadi bualan apabila, terkini, Kerajaan Negeri Perak juga tidak ketinggalan dalam memberi penghargaan kepada pemain-pemain kelahiran Perak yang telah membantu mengharumkan nama Malaysia tempohari.

3 pemain tersebut ternyata membuka mata masyarakat bahawa Perak juga tidak ketinggalan dalam melahirkan pemain-pemain muda yang berbakat bagi arena bola sepak negara. Mohd Safee Sali menerima, Mohd Sabre Abu dan Mohamad Fadhli Mohd Shas akan menerima 'penghargaan' sebanyak RM5,000 seorang serta tambahan RM5,000 kepada Mohd Safee Sali di atas kejayaan menjadi penjaring terbanyak sepanjang kempen Piala AFF 2010.

YAB DS Dr. Zambry Abd Kadir berkata, sumbangan yang diberikan adalah bagi menghargai kejayaan mereka mengharumkan Malaysia. Pemberian sumbangan tersebut mungkin akan dibuat dalam satu majlis khas




Data E-Kasih: Semua jabatan dan agensi berkaitan di Perak diarah buat semakan semula


Bagi merealisasikan matlamat kerajaan negeri dalam membasmi masalah miskin tegar di Perak, kerajaan negeri telah mengarahkan semua jabatan dan agensi berkaitan termasuk Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing membuat semakan semula berhubung data yang tersenarai dalam E-Kasih. Semakan itu juga bagi mengelakkan sebarang penyelewengan sehingga menyebabkan ada kumpulan sasaran tercicir daripada menerima bantuan yang sepatutnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan negeri menerusi pihak yang bertanggungjawab mengemaskan kini data berkenaan secara serius ingin memastikan setiap sumbangan atau bantuan yang disediakan dapat dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak.
"Justeru, kita perlu memastikan data yang tersenarai dalam E-Kasih adalah tepat dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Pada majlis berkenaan, YBUDR berjaya mengumpul sejumlah RM8.5 juta termasuk RM5 juta peruntukan daripada kerajaan negeri, manakala selebihnya sumbangan daripada syarikat termasuk Rahman Hydraulic sebanyak RM350,000; Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) masing-masing RM250,000 serta Lembaga Tabung Haji Perak sebanyak RM230,000.

Zambry berkata, pengemaskinian data dalam senarai E-Kasih juga dapat membantu kepada penyediaan data yang lebih tepat dan pada masa sama mengurangkan risiko berlaku penyelewengan serta salah guna kuasa di kalangan pihak yang mungkin mengambil kesempatan daripada pemberian bantuan yang disediakan.

Pembangkang Terus Buat Spekulasi!!!


Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) minggu ini bertujuan menilai prestasi wakil rakyat dan mendapat maklum balas rakyat terhadap kepimpinan kerajaan dan bukannya menentukan tarikh Pilihan Raya Umum akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata demikian mengulas mengenai pertemuan permukiman atau 'retreat' Perdana Menteri bersama Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang bakal diadakan minggu ini yang disifatkan kononnya sebagai persiapan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, pertemuan itu perkara biasa dilakukan Perdana Menteri untuk menilai prestasi wakil rakyat dan mendapat maklumat mengenai maklumbalas rakyat terhadap kepimpinan kerajaan selain membincangkan pelbagai isu lain.

"Sebenarnya, Perdana Menteri mengamalkan prinsip "checklist" sebab beliau sentiasa menerima maklumat daripada rakyat," katanya.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tahun lalu Perdana Menteri juga mengadakan program serupa dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN seluruh negara.

"Justeru, tidak timbul sebarang isu mengatakan pertemuan itu mempunyai sebarang tujuan mengenai penetapan pilihan raya umum," katanya.

Bagaimanapun katanya, BN Perak tetap bersedia pada bila-bila masa jika Perdana Menteri membuat keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum dalam tempoh terdekat.

"Dalam politik, kita tidak perlu takut dengan pilihan raya. Kita sudah diingatkan bila-bila masa saja kerajaan boleh mengisytiharkan tarikh pilihan raya. Apa yang penting ialah persiapan dalam menghadapinya kerana mahu tidak mahu pilihan raya tetap akan diadakan," katanya.

Aplikasikan Gagasan 1 Malaysia!!!


Seluruh masyarakat disarankan agar menjadikan tahun baru 2011 sebagai azam untuk mengaplikasikan Gagasan 1Malaysia yang sememangnya menjadi landasan dalam mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata, sejak kemerdekaan negara dicapai pada tahun 1957 hingga kini dengan teras utama yang menjadi pegangan dalam mengekalkan keutuhan dan keamanan sehingga negara mampu mencapai taraf model contoh di persada antarabangsa adalah kerana adanya muafakat dan persefahaman.
“Kita bersyukur kerana diberi kesempatan untuk terus mengecap nikmat ini dan kita perlu terus memastikan apa yang kita ada hari ini akan terus dipertingkat agar bukan saja kita semua tetapi negara kita juga mampu terus membangun dalam suasana sejahtera,” katanya.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut meminta masyarakat Malaysia agar terus berfikiran optimis dan positif dalam segala hal yang mencakupi pelbagai perspektif kehidupan.
“Apabila kita sebut 1Malaysia, kita dapat menggambarkan bahawa di bawah payung dan naungan gagasan 1Malaysia, kita dapat memupuk satu semangat baru di kalangan rakyat Malaysia dan semangat ini adalah berdasarkan kepada satu sikap yang amat penting yang mendasari gagasan 1Malaysia ini, yakni konsep atau pun sikap penerimaan keseluruhan, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.”
Katanya, kemajmukan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini bukan saja dilihat sebagai satu keunikan tetapi ia juga adalah terjemahan kepada kekuatan untuk semua.
“BN dan UMNO bukan sekadar parti politik yang sentiasa mahukan kemenangan dalam pilihan raya tetapi kita juga mahukan kemenangan dalam menjuari kehidupan rakyat,” katanya.
Justeru gesa beliau lagi, apa saja yang berlaku pada tahun 2010 perlu dijadikan pedoman dengan yang baik dijadikan tauladan dan buruk dijadikan sempadan.
“Semoga dengan kedatangan tahun 2011, kita akan dapat menanamkan azam baru dan bersama menyemarakkan 1Malaysia. Selamat tahun baru 2011.”