Rakyat harus fahami isu-isu sensitif demi keharmonian negara



Setiap rakyat dan semua pihak di negara ini wajib memahami dan menghormati Islam seterusnya sama sekali tidak mencabar perkara sensitif menyentuh kesucian agama itu bagi memastikan keharmonian negara ini demikian ujar DYMM Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Baginda bertitah, sudah menjadi tanggungjawab kepada setiap umat Islam untuk memelihara akidah dan kesucian Islam kerana ia adalah perkara dasar kepada umat Islam yang perlu dipelihara, dilindungi dan dipertahankan demi memastikan umat Islam terutama generasi mudanya tidak akan terpesong dari pegangan akidah.

"Oleh itu, umat Islam sama sekali tidak dapat mengizinkan sebarang tolak ansur terhadap perkara dan perbuatan yang berpotensi memesongkan akidah. Kesucian Islam wajib dipertahankan dari dinodai oleh sesiapa juga," titahnya ketika merasmikan pembukaan rasmi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 di sini, semalam.

Raja Nazrin bertitah, masjid dan surau adalah pusat ibadah untuk semua umat Islam dan dianggap suci dengan dirujuk sebagai rumah Allah serta wajib dilindungi dari menjadi gelanggang politik berparti yang boleh mencetus perpecahan ummah.

Selain itu, Baginda turut bertitah pegawai dan kakitangan yang diberikan amanah menguruskan urusan Islam dan adat Melayu mempunyai tanggungjawab memelihara kesucian Islam dan kemurnian adat Melayu yang dikekalkan di bawah kuasa mutlak Raja dan berada di atas politik kepartian.

Raja Nazrin juga mengingatkan kerajaan dan penjawat awam agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan sama sekali tidak menyalah gunakan kuasa, mementingkan diri dan ahli keluarga selain mengelakkan rasuah.

Baginda turut memuji usaha berterusan yang dijalankan kerajaan negeri kerana berjaya meningkatkan keyakinan pelabur ke Perak.

"Melalui pelaburan tersebut, 5,396 peluang pekerjaan baru dijangka dapat diwujudkan," titah Baginda.




No comments:

Post a Comment