Sultan Azlan Shah: Jangan mainkan isu sensitif libatkan kaum dan agama





Isu sensitif yang menyentuh kaum dan agama sebagai modal politik untuk mendapatkan pengaruh tidak seharusnya dimainkan olah rakyat. Sebaliknya, budaya politik berteraskan kesederhanaan dan perpaduan perlu diamalkan. 

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, kebelakangan ini pandangan sempit bertunjangkan kaum serta pendirian emosional berakarkan agama cuba dihidupkan semula dan perkembangan itu dilihat membahayakan kerana mampu memusnahkan masa depan negara jika tidak dibendung secara bijak.

Titah baginda, isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama memerlukan pendekatan penyelesaian secara bijaksana serta berhikmah.

"Tidak akan berlaku kestabilan politik tanpa perpaduan warga. Tidak akan subur ekonomi tanpa kestabilan politik.
"Banyak negara berakhir dengan anarki, pertumpahan darah, pembunuhan dan kemusnahan apabila isu agama dan kaum dipilih untuk disensasikan," titah baginda.

Titahnya, pemimpin agama hendaklah melaksanakan tugas keagamaan tanpa menyelitkan agenda politik.
"Akan rosaklah agama jika agama mula dicampur adukkan dengan agenda politik. Akibatnya, pengikut kabur, negara hancur, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu," titah baginda.

No comments:

Post a Comment