Amaran pemberhentian elaun kepada bilal dan siak


Bilal dan siak di Perak bakal berdepan dengan tindakan pemberhentian elaun bulanan jika didapati tidak menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik. 

Penasihat Agama kepada Menteri Besar Perak, Datuk Najmuddin Elias berkata amaran tersebut dikeluarkan berikutan terdapat aduan mengenai kelakuan tidak berdisplin melibatkan bilal dan siak di negeri ini.
Katanya, siasatan terperinci akan dilakukan sebelum sesuatu tindakan tegas diambil dengan mendapatkan pengesahan Pengerusi Jawatankuasa Masjid. 

Katanya hasil siasatan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Agama Islam Perak bagi mendapat perkenan Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri sebelum pemberhentian elaun bulanan dilaksanakan. 

Jelas beliau lagi antara tindakan tidak berdisplin melibatkan siak adalah perbuatan tidak memakai baju ketika melaungkan azan. 

"Saya pernah menegur bilal tersebut tetapi jawapan yang saya terima adalah panas," katanya.
"Kita amat berharapkan para bilal dan siak masjid dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik seperti yang diamanahkan," katanya. 

Najmuddin turut mengingatkan para bilal dan siak agar sentiasa menjaga imej supaya tidak mudah dipandang serong oleh masyarakat sekeliling kerana jika ini berlaku ia boleh memberi gambaran buruk terhadap pegawai dan jawatankuasa masjid. 

Justeru, beliau menyeru agar semua bilal dan siak mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak Jawatankuasa Masjid. 

Katanya kerajaan negeri telah memperuntukan RM1 juta bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pegawai masjid termasuk bilal dan siak sekaligus meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

Bekerjasama Membawa Malaysia Ke Arah Yang Lebih Baik


KUALA LUMPUR 27 Jun. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua rakyat Malaysia bersama-sama beliau untuk mencapai sesuatu yang luar biasa dalam menjadikan dan membawa negara ke arah yang lebih baik. Perdana Menteri berkata beliau mahukan semua rakyat Malaysia merasakan sebagai satu keluarga 1Malaysia dengan memberikan sokongan mereka untuk negara mencapai hasrat yang lebih tinggi.

“Saya memegang kepimpinan untuk menunjukkan bahawa saya serius, komited dan dedikasi. Saya boleh beri jaminan kepada anda, sebagai Perdana Menteri anda, saya akan lakukan yang terbaik untuk mengubah Malaysia.
“Tentulah perjalanan ini, saya tidak boleh lakukan seorang diri, saya perlukan rakan saya dalam kerajaan, semua kita dalam sektor awam dan swasta. Saya perlukan setiap rakyat Malaysia, di mana anda berada bersama saya untuk mencapai sesuatu yang luar biasa. Ini semua mengenai hasil pencapaian,” katanya dalam blognya www.1Malaysia.com.my terkini di sini Ahad.

Beliau berkata kerja keras adalah baik kerana beliau digalakkan untuk melakukan yang terbaik, sebagai sebuah kerajaan mestilah berbuat terbaik bagi rakyat. “Kita bekerja bersungguh-sungguh, saya bekerja.
Saya telah nyatakan dalam Twitter saya sebelum ini, saya kini merasakan bebanan hebat mula dirasakan, hari-hari saya kian panjang dan malam-malam saya bertambah pendek. Saya tidak kira dengan kerja keras,” kata Najib.

Sambil mengimbau lawatannya ke negara-negara Asean, beliau sangat gembira melihat Jalur Gemilang berkibar dengan megah di negara-negara berkenaan, yang menjadikan kehadiran negara kita dirasai di banyak negara temasuk yang maju dan bandar raya yang sedang membangun di seluruh dunia.

“Tenaga kerja rakyat Malaysia kita serta tokoh perniagaan yang mewujudkan syarikat Malaysia di negara-negara ini merupakan bukti bahawa Malaysia berada di landasan betul untuk kemajuan.
“Saya harap ini akan menjadi galakan kepada rakyat Malaysia di seluruh dunia, bahawa semangat keusahawanan adalah kuat dan sesuatu yang kita boleh cungkil dan galakan. Kita lihat kemungkinan peluang di banyak tempat – walaupun di tempat yang tidak dikenali – tetapi ada peluang-peluang untuk kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia agar tidak melepaskan peluang di mana-mana mereka berada, di kedua-dua, sama ada di negara maju dan sedang membangun.

“Cabaran kita adalah berbeza daripada cabaran yang dihadapi oleh negara-negara lain, tetapi kita jangan leka dengan apa yang kita banggakan kerana persekitaran telah berubah dengan ketaranya,” kata Najib.
Perdana Menteri berkata, secara amnya setiap negara telah menerima pakai dasar-dasar mesra pasaran berbanding pada 70-an dan awal 80-an, di mana banyak negara menutup ekonominya dan mereka tidak bersedia untuk perubahan dan liberalisasi.
“Satu-satunya aspek yang belum berubah ialah sistem tadbir urus. Dan negara-negara seperti Laos, Kemboja, Vietnam dan lain sebelum ini tidak berada dalam landasan yang sama yang boleh ke arah pembaharuan,” kata beliau.

Katanya Malaysia tidak ada pilihan, sama ada kekal tidak bergerak sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atau pembaharuan dirinya, kerana dunia telah berubah.
“Jika kita kekal sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana, negara-negara lain akan mendahului kita, ini kerana mereka tidak melihat perubahan secara pertambahan, mereka melihat pada perubahan teknologi besar-besaran yang akan membolehkan mereka melangkaui negara-negara lain,” kata beliau.
Najib berkata Malaysia mestilah bergerak dengan dasar-dasar baru yang menjadikan negara bersaing kompetitif global bagi mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara maju.

“Kerana inilah kita jangan leka dengan pencapaian yang dibanggakan. Kita jangan fikir dasar-dasar baik untuk kita pada 70-an dan 80-an akan terus begitu jika persekitaran telah berubah,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata hasil kejayaan sebagai sebuah negara ekonomi mestilah dikongsi oleh semua rakyat Malaysia dan jangan hanya menjadi sebuah kumpulan elit yang menikmati manfaat kerana ia mestilah diagih-agihkan kepada semua.

“Jadi, adalah penting dan tidak ada sesiapa pun yang dipinggirkan. Sehubungan itu, kita perkenalkan 1Malaysia mengenai bersama-sama, perkongsian bersama kejayaan, yang semua hendaklah menerima manfaat daripada kejayaan ekonomi Malaysia dan ia adalah pengagihan yang adil dan saksama,” kata beliau. – MediaUMNO/Bernama

Masalah Pakatan Rakyat, Peluang Buat UMNO/BN


RAWANG, 27 Jun – Masalah dalaman pakatan pembangkang semakin kritikal dan menjadi resam politik, rakyat resah manakala keadaan itu adalah peluang terbaik untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri-negara berkenaan supaya kepentingan rakyat terbela, agenda pembangunan dapat diteruskan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk memenuhi harapan rakyat dan merealisasikan usaha merampas kembali negeri berkenaan,  pemimpin UMNO dan parti komponen BN di peringkat akar umbi tidak boleh berdiam diri dan  perlu memperkuatkan jentera parti masing-masing supaya dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Itu sebabnya saya tekankan kita harus melakukan usaha lebih drastik bagi mendapatkan sokongan pengundi baru dan pengundi yang telah lari daripada kita pada pilihan raya umum dahulu (2008),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, perkembangan dalam pakatan pembangkang yang menerajui negeri itu membuktikan perpecahan di kalangan PKR, Pas dan Dap kini adalah kritikal.

Bagaimanapun, katanya, para pemimpin pembangkang mempunyai kelebihan menyembunyikan setiap kelemahan serta perpecahan di antara mereka.

“Saya fikir sebenarnya perpecahan PKR lebih parah lagi, undi tidak percaya (terhadap Menteri Besar Selangor) memang berlaku tetapi mereka sapu di bawah permaidani (cuba tutup daripada pengetahuan umum),” ujarnya.

Beliau menggesa, semua pemimpin dan ahli UMNO serta BN kembali bertaut, bersatu dan segera mengorak langkah maju demi kepentingan parti. -MediaUMNO

Keyakinan Duta Korea Utara Terhadap UMNO

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Duta Korea Utara ke Malaysia, Pak Ryong Yon yakin rakyat di negara ini akan terus menyokong kepimpinan kerajaan di bawah pimpinan UMNO yang terbukti telah berjaya membawa kesejahteraan, kemakmuran dan pembangunan yang berkesan.

Beliau yang melakukan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn di sini, hari ini turut melahirkan kekaguman terhadap pelbagai dasar dan perancangan yang telah dilakukan kerajaan Malaysia khususnya dari sudut ekonomi seperti Rancangan Malaysia ke 10 (RMK-10) yang dibentangkan baru-baru ini.

“Saya yakin rakyat di sini akan terus menyokong UMNO dalam menerajui kerajaan walaupun ketika ini terdapat kesukaran tapi saya percaya UMNO akan dapat mengatasi kesukaran tersebut”, katanya.
Beliau yang akan mengakhiri tempoh bertugasnya setelah hampir empat tahun di negara ini menghargai sokongan dan komitmen yang diberikan kerajaan selama bertugas di sini dan berjanji akan sentiasa memastikan hubungan baik seperti ini dapat dikekalkan.

“Saya begitu berbangga berkhidmat di sini kerana sentiasa mendapat kerjasama baik dari kerajaan Malaysia.
“Hubungan erat ini pasti akan dipertingkatkan pada masa hadapan dan saya berjanji untuk memainkan peranan tersebut walaupun sudah tidak lagi berada di sini”, ujarnya.

Beliau turut melahirkan pengharapan untuk melihat Malaysia terus berkembang maju di bawah pimpinan UMNO dan dapat meningkatkan lagi perpaduan di kalangan kaum.
Sementara itu, Tengku Adnan dalam ucapan balasnya turut menghargai peranan yang dimainkan oleh Pak Ryong Yon terutamanya dalam hal-hal yang melibatkan hubungan diplomatik.

Beliau turut berharap kedua-dua negara bukan sahaja dapat mempereratkan lagi hubungan politik namun pada masa yang sama meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi.
Selain bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea berkaitan isu-isu semasa dan hubungan antara dua hala, kesempatan itu juga digunakan oleh Tengku Adnan untuk memaklumkan bahawan UMNO telah bersetuju akan menghantar satu delegasi ke negara tersebut.

Delegasi seramai lapan orang itu kata beliau lagi akan dianggotai dua pemimpin Pemuda UMNO, dua pemimpin Wanita, Puteri dan dua dari Ibu Pejabat UMNO sendiri.
“Kita harap kerajaan Korea Utara dapat memberikan tarikh untuk delegasi UMNO pergi ke sana. Namun kita nak memaklumkan pada 11 Ogos umat Islam akan berpuasa selama sebulan manakala pada 19 hingga 23 Oktober pula UMNO akan mengadakan persidangan agungnya”, kata beliau.

Beliau seterusnya yakin delegasi yang akan berkunjung ke negara tersebut bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman namun dapat meningkat pengetahuan terutama pertukaran teknologi.
“Kita juga amat menghargai dan akan mengambil peluang terhadap harapan mereka yang mahukan kita turut menghantar ahli perniagaan kita bagi meningkatkan kerjasama di bidang ekonomi”, ujarnya. – MediaUMNO.

Pendapatan Keluarga Bawah RM4,000 Layak Terima Pinjaman Penuh PTPTN


KUALA LUMPUR 24 Jun. – Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang pendapatan bulanan bersih keluarga mereka RM4,000 ke bawah layak mendapat pinjaman penuh iaitu meliputi yuran dan sara hidup dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Julai ini.


Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kadar pendapatan bersih bulanan keluarga pelajar yang layak mendapat pinjaman penuh sebelum ini ialah RM3,000 ke bawah.
“Sebelum ini juga keluarga pelajar berpendapatan bersih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan mendapat pinjaman yang meliputi yuran dan sebahagian sara hidup, manakala yang berpendapatan RM5,000 sebulan ke atas hanya dapat pinjaman untuk yuran.

“Langkah PTPTN untuk meningkatkan kadar pendapatan bersih keluarga ini akan memperluaskan lagi peluang pelajar IPT yang layak untuk diberi pinjaman penuh berasaskan kepada kriteria yang memang telah ditetapkan seperti kursus yang diambil ada akreditasi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Halatuju Pembangunan Keusahawanan IPT di sini Khamis.

Seminar sehari anjuran kementerian itu bertujuan memberi kefahaman kepada pihak pengurusan atasan IPT mengenai cabaran dan halatuju pembangunan keusahawanan di peringkat pengajian tinggi dan kepentingannya kepada pembangunan sahsiah pelajar.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan peruntukan RM5.55 juta bagi penubuhan Pusat Keusahawanan dan pelaksanaan program pembudayaan keusahawaan kepada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara.

Selain 20 IPTA dalam negara, kolej komuniti, politeknik dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut terlibat dalam pemberian peruntukan berkenaan, katanya.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM150,000 bagi tujuan penubuhan Pusat Keusahawanan dan RM100,000 bagi pelaksanaan program pembudayaan keusahawanan untuk setiap IPTA negara.

“Penubuhan pusat keusahawanan ini amat signifikan sebagai entiti yang akan merancang, menyelaras, memantau dan menilai segala program pembangunan keusahawanan dan bertindak sebagai ‘contact point’ dalam hal ehwal pembangunan keusahawanan IPT,” katanya.

Mohamed Khaled berkata semua IPT termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menubuhkan pusat keusahawanan masing-masing kerana ketika ini hanya tiga IPTA yang mempunyai pusat keusahawanan iaitu Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

“Negara memerlukan ramai usahawan untuk menjayakan agenda Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh, dan peranan IPT bukanlah kecil. Jika IPT dapat memberi latihan dan pendedahan kepada pelajar yang mempunyai potensi keusahawanan yang tinggi, mereka inilah yang akan mempunyai prospek paling cerah untuk menjadi usahawan setelah bergelar graduan,” katanya. – Bernama/MediaUMNO

Amanah Saham Wawasan 2020 - Bandar


KUALA LUMPUR, 24 Jun –  Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, hari ini melancarkan Amanah Saham Wawasan 2020 – Bandar dengan peruntukan RM100 juta untuk membantu golongan miskin  tegas dan miskin di bandar memperolehi pendapatan tambahan melalui dividen tahunan skim saham amanah itu.


Beliau berkata, pelaburan dalam bentuk unit amanah merupakan salah satu usaha murni Kerajaan untuk golongan sasar ini mengambil bahagian melabur dan menabung dalam pasaran saham yang dijamin oleh Kerajaan khususnya melalui unit-unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) demi meningkatkan kesejahteraan rakyat pada jangkamasa panjang.

“Mereka akan menerima dividen setiap tahun hingga akhir hayat. Bagaimanapun, unit saham itu tidak akan menjadi harta pusaka atau diwariskan kepada anak yang mungkin sudah keluar daripada kepompong kemiskinan itu, sebaliknya akan diberikan kepada orang lain yang layak,” katanya ketika berucap melancarkan skim amanah itu di Taman Tasik Titiwangsa di sini, petang ini.

Di bawah skim itu, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM 100 juta untuk pelaksanaan program khas ASW-Bandar dalam tempoh RMK-9.
Sehingga 16Jun 2010, seramai 8,439 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan miskin bandar yang berdaftar dengan e-Kasih di seluruh negara layak dipertimbangkan untuk menyertai Skim Amanah Saham ini iaitu 5,466 KIR miskin tegar dan 2,973 KIR miskin.

Hadir sama di majlis ini ialah Y.B. Dato’ Raja Nong Chik bin Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Y.A.Bhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad; Y.Bhg. Tan Sri Hamad Kama Piah bin Che Othman Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Y.Bhg. Dato’ Hj. Ahmad Phesal Talib, Ketua Setiausaha KWPKB, Y.Bhg. Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan kenamaan-kenamaan lain.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, pemberian pelaburan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu diharap dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan.
“Skim saham ini berbeza dengan skim lain yang mana mereka menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka.

“Bagaimanapun sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa di sini. Pada majlis itu, 196 ketua keluarga di Wilayah Persekutuan menerima Buku Pelaburan ASW 2020-Bandar masing-masing.

Menerusi daftar e-Kasih, garis pendapatan miskin tegar ditetapkan buat mereka yang mempunyai pendapatan bulanan kurang RM430 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM540); Sarawak (RM520).
Golongan miskin pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM720 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM960) dan Sarawak (RM830).

Menurut Najib, para pemegang saham itu akan mula menikmati dividen tahunan serta pulangan sepanjang hayat mulai September ini berdasarkan kadar ditetapkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kelak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian saham itu adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan jumlah golongan miskin tegar dan miskin bandar di kalangan masyarakat.

Melalui program sebegitu, katanya, kerajaan dijangka berupaya mengurangkan jumlah isi rumah miskin di seluruh negara daripada 5.7 peratus, kepada 2.8 peratus pada akhir 2010.
Jelasnya, pendaftaran e-Kasih kini menunjukkan golongan miskin tegar dalam negara menurun kepada 33,417 orang berbanding 50,931 sebelumnya.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak mahu mengambil konsep negara kebajikan dalam usaha membantu golongan miskin kerana ingin melihat semua rakyat yang berkemampuan bekerja bagi menyara diri dan keluarga masing-masing. -MediaUMNO

Sasaran WANITA UMNO : 300,000 anggota baru


TEMERLOH 21 Jun. – Wanita UMNO menyasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 300,000 anggota baru untuk UMNO menjelang akhir tahun ini.

Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim berkata sasaran itu adalah berdasarkan gerakan turun padang secara menyeluruh yang sedang dilakukan oleh pergerakan itu di seluruh negara ketika ini.
“Sehingga ini, keahlian UMNO adalah melebihi tiga juta ahli, dan 1.2 juta daripadanya adalah ahli pergerakan Wanita UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan dan Program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Temerloh di sini pada Isnin.

Kamilia berkata gerakan pendaftaran itu diadakan dengan tumpuan utamanya kepada wanita atas pagar.
“Penerangan mengenai ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan dan masalah jenayah turut diadakan semasa pendaftaran itu, sebagai satu usaha tanggungjawab sosial Wanita UMNO,” katanya. 

Lebih 10,000 pelajar kelahiran Perak bakal dapat manfaat daripada Tabung Pendidikan Negeri


Kerajaan negeri telah mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Perak dengan peruntukan RM2 juta setiap tahun bermula tahun ini sebagai insentif dan galakan kepada ibu bapa supaya anak-anak mereka menabung untuk keperluan pendidikan di masa depan.

Eksekutif Pendidikan Yayasan Perak, Mohd Hidayat Abdul Halim berkata kira-kira 10,000 pelajar anak kelahiran negeri ini akan menikmati manfaat daripada bantuan ini, di mana setiap daripada mereka akan menerima RM200 di dalam bentuk simpanan pendidikan.


"Sumbangan ini akan dilaksanakan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan akan diuruskan oleh Yayasan Perak," katanya di majlis penyampaian dermasiswa kepada 105 orang pelajar di Bangunan Umno Bahagian Tanjong Malim.


Beliau berkata, pemberian sumbangan itu adalah disasarkan kepada keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM1,500 sebulan, sementara pertimbangan khas diberi kepada keluarga yang menanggung ramai anak yang masih bersekolah.


"Kerajaan negeri berharap ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka sejak kecil untuk membuat tabungan setiap bulan supaya wang tersebut boleh digunakan bagi membiayai pendidikan di universiti di masa akan datang," katanya.


Dalam majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib turut menyampaikan dermasiswa berjumlah hampir RM45,000 itu kepada 105 pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana dalam Parlimen Tanjong Malim yang bakal menyambung pengajian ke peringkat ijazah, diploma dan sijil.

ADUN MALIM NAWAR SAH MENJADI BEBAS


Khabar angin yang melanda BN Perak sebelum ini tentang isu MELOMPAT PARTI akhirnya terjadi kepada diri sendiri apabila ADUN MALIM NAWAR, KESHVINDER SINGH telah mengumumkan KELUAR DARI DAP DAN MENJADI BEBAS serta memberikan SOKONGAN KEPADA BN, berkuatkuasa serta merta!

Pengumuman yang dibuat jelas menampakkan permasalahan serius yang dialami Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan agenda peribadi mereka. BPUNPk merasakan ini, sebagai satu bukti bahawa perjuangan Pakatan Rakyat bukanlah seperti yang dikatakan. Buat rakyat Perak, anda harus bijak menilai. Fikirkanlah...

PROGRAM MB PERAK BERSAMA RAKYAT HILIR PERAK

Bertempat di daerah Hilir Perak, YAB DS Dr Zambry Abd Kadir telah meluangkan masa untuk bermesra dengan rakyat. Program yang dijalankan ini juga berjaya membuktikan bahawa MB Perak kita ini seorang pemimpin berjiwa rakyat.










Rally 1 Malaysia


Kuala Lumpur, 8 Jun – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata lebih 15,000 pergerakan itu yang mewakili pelbagai parti komponen bersama pertubuhan bukan kerajan (NGO) dan golongan belia akan membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil, Sabtu ini bagi menyertai Rally 1Malaysia.
Menurut beliau, program berkenaan bukan saja pentas untuk menyatupadukan golongan belia di negara ini tetapi untuk menyatakan sokongan padu kepada Gagasan 1Malaysia.

“Rally 1Malaysia bakal menterjemahkan semangat 1Malaysia melalui kesedaran mengenai keunikan budaya satu sama lain yang tidak sama sekali melunturkan keseragaman aspirasi belia Malaysia.
“Kehadiran orang ramai membabitkan rakyat pelbagai kaum akan menyuntik semangat perpaduan lebih jitu antara belia seluruh negara, sejajar dengan hasrat 1Malaysia,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, dan Ketua Pemuda MIC, T Mohan.
Khairy seterusnya berkata perhimpunan yang dijadualkan pada 12 tengah hari itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi BN.
“Kemuncak kepada acara Rally 1Malaysia itu adalah pelancaran program Jelajah 1Malaysia (JOM). JOM adalah satu program turun padang oleh Pemuda BN bagi mendekati masyarakat seluruh negara bagi merasai denyut nadi mereka di samping bersama-sama melaksanakan pelbagai program yang diyakini dapat merealisasikan hasrat 1Malaysia.

“Pada majlis itu juga, sebuah bas JOM yang akan membawa Pemuda BN menjelajah seluruh negara akan turut dilancarkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

72% Rakyat Puas Hati Prestasi Najib – Merdeka Centre


KUALA LUMPUR 8 Jun – Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre yang dikeluarkan hari Selasa.


Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.
Peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.

Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.

Ketika kajian itu dijalankan, beberapa peristiwa dalam negara turut mempengaruhi keputusan antaranya pilihan raya kecil Sibu, kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis, pembatalan perhimpunan 13 Mei yang dianjurkan oleh Gertak serta pengumuman lesen perjudian bola sepak.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 50 peratus responden yakin bahawa Najib dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun terhadap inisiatif yang dilakukan beliau iaitu gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Sekali lagi kaum India merupakan responden tertinggi yang menyatakan keyakinan tersebut dengan 65 peratus, diikuti Melayu (60 peratus) manakala kaum Cina hanya 30 peratus sahaja yang yakin dengan sasaran Najib itu.

Kajian juga mendapati sebanyak 52 peratus responden bersetuju bahawa negara kini sedang menuju ke arah yang betul kerana 21 peratus memberi sebab bahawa ekonomi negara kian pulih dan kualiti kehidupan rakyat semakin meningkat.

Bagaimanapun, sebanyak 22 peratus responden berpendapat bahawa kerajaan perlu menyelesaikan isu ekonomi seperti kenaikan kos hidup dan harga barangan, pengangguran, dan kekurangan bekalan gula.
Sebanyak 63 peratus responden berpuas hati dengan kualiti pendidikan di negara ini manakala 56 peratus pula berpuas hati terhadap usaha kerajaan meningkatkan tahap kecekapan pengangkutan awam di bandar seperti di Kuala Lumpur. – Bernama

Enam Sukarelawan Malaysia Dari Kapal Rachel Corrie Akan Dibebaskan Hari Ini


SEPANG, 6 Jun – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam rakyat Malaysia yang kini dalam tahanan Israel selepas kapal ‘Rachel Corrie’ yang dinaiki mereka ditawan rejim itu semalam, akan dibebaskan dan dibawa masuk ke Jordan pada pukul 6 petang hari ini waktu Malaysia. Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Luar Jordan kepada Kedutaan Malaysia di Amman.
“Kedutaan kita di Amman sekarang sedang membuat segala persiapan yang perlu untuk membawa mereka pulang dengan selamat ke Malaysia,” katanya kepada pemberita pada hari Ahad.
Beliau sebelum itu menyambut kepulangan 12 rakyat Malaysia termasuk dua warga media yang sebelum ini ditahan Israel selepas kapal ‘Mavi Marmara’ yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ditawan tentera rejim Zionis itu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata usaha membawa pulang enam rakyat negara termasuk dua lagi warga media sedang diusahakan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Amman dan Kedutaan Thailand di Tel Aviv, Israel.
Enam rakyat Malaysia itu ialah wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Ahmad Faisal Amuzu dan Mathias Chang, Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria serta dua wakil media dari TV3, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin.
Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan penahanan kapal ‘Rachel Corrie’ dan kesemua 19 penumpang serta krewnya oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
“Mereka telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan kesemua 19 penumpang dan krew kapal termasuk enam rakyat Malaysia bagaimanapun berada dalam keadaan selamat,” kata beliau.
Mengulas perkara berkaitan, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk menjayakan sebarang misi kemanusiaan ke atas rakyat Palestin.
“Terserah kepada rakyat Malaysia, sekiranya mereka ingin membuat tindakan, ia sesuatu yang kerajaan tidak akan halang.
“Kita menyokong inisiatif dan nampak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengepalai misi yang baik ini. Kita akan sokong dan beri sokongan moral dalam menjayakan inisiatif seperti ini. Kita akan bantu dalam apa bentuk pun yang sewajarnya. Apa yang perlu kita lakukan, kita akan lakukan,” katanya.- BERNAMA

12 Wira Malaysia Selamat Tiba Di Tanah Air


SEPANG, 6 Jun – Dua belas sukarelawan Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusian ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, tiba di tanah air pukul kira-kira 5.40 pagi ini.
Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pegawai dari Wisma Putra dan anggota keluarga masing-masing.
Kumpulan sukarelawan itu yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai kementerian yang lain, tiba dari Istanbul, Turki dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Jordan pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia) pada Jumaat dan melakukan pertukaran penerbangan di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air Sabtu petang.
Dalam insiden Isnin lepas, kapal milik Turki “Mavi Marmara”, yang membawa sukarelawan serta bantuan seperti perubatan, diserang tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan terbunuh.
Bagaimanapun, kesemua sukarelawan negara di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.
Sehubungan itu, Anifah dan beberapa pegawainya berlepas ke Amman Rabu lepas bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia tersebut.
Kumpulan sukarelawan itu dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya kira-kira 9 pagi ini.-BERNAMA/MediaUMNO

Keyakinan Terhadap Kepimpinan Najib Dizahirkan oleh Tuanku Mizan


KUALA LUMPUR 5 Jun — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu melaksanakan segala perancangan yang telah disusun dengan berkesan bagi faedah dan kegemilangan bangsa, agama serta tanah air.
“Beta juga amat berbangga dengan catatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini pada kadar 10.1 peratus. Demikian juga, dengan kejayaan negara meningkat dari tangga ke-18 ke tangga 10 daya saing global mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Institute of Management Development,” titah baginda.
Kejayaan itu, titah Seri Paduka, menunjukkan suasana pelaburan dalam negara kembali kondusif dan memberangsangkan serta keyakinan rakyat sebagai pengguna semakin meningkat, sekali gus membuktikan keupayaan ekonomi negara untuk berkembang dan memasuki kembali fasa peningkatan yang tinggi serta mapan.
“Menjadi hasrat Beta untuk melihat semua rakyat Malaysia baik di bandar mahupun luar bandar sama-sama menikmati hasil pembangunan negara,” titah baginda pada majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun hari keputeran Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.
Mengenai masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang sedang berleluasa, Seri Paduka menggesa semua anggota masyarakat termasuk ibu bapa, guru, para ulama, media dan cendekiawan serta jiran tetangga supaya berganding bahu untuk bersama-sama membantu anggota keselamatan dalam usaha membendung masalah itu secara kolektif.
“Kes pembuangan bayi, jenayah ragut, penderaan kanak-kanak, pembunuhan kejam merupakan sebahagian daripada perlakuan yang sangat tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.
“Barang dijauhkan Allah s.w.t daripada sebarang mala petaka. Beta khuatir, masalah sosial ini jika tidak dibendung dan ditangani dengan segera serta berkesan akan meruntuhkan keharmonian masyarakat, bangsa dan negara,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah amalan rasuah, walaupun tidak menular dengan teruk, perlu diperangi habis-habisan dan kerajaan akan terus menggiatkan usaha-usaha pencegahan rasuah dengan telus dan tegas, tanpa mengira pangkat serta kedudukan dan tanpa mengambil kira sama ada kes berprofil tinggi atau rendah.
Titah baginda pengiktirafan dan penghormatan masyarakat antarabangsa terhadap negara membolehkan Malaysia memainkan peranan yang aktif dalam menangani pelbagai isu antarabangsa.
“Beta yakin penghormatan masyarakat luar ini berpunca daripada kejayaan negara kita untuk menjadi sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik. Penghayatan terhadap ajaran Islam yang sebenar akan terus memacu kita ke arah kejayaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat,” titah Seri Paduka.
Baginda berharap rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan dan terus bersatu kerana ia merupakan sumber kekuatan negara.
“Beta bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama, kita dilindungi daripada sengketa dan kekacauan. Kita telah bersama-sama membuktikan bahawa walaupun berbeza agama, budaya dan cara hidup, kita masih dapat tinggal bersama dalam keadaan aman sentosa dan saling menghormati,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan rakyat mengenai tangungjawab mereka mempertahan, membangun dan mendaulatkan negara.
“Tidak ada mana-mana negara dalam dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta nama hanya bergantung kepada inisiatif pemerintah dan pentadbir, tanpa sokongan dan peranan yang dimainkan oleh seluruh warganya,” titah baginda.
Pada majlis hari ini, Seri Paduka turut menyampaikan anugerah darjah dan pingat kebesaran kepada 39 penerima.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman. – BERNAMA