Amaran pemberhentian elaun kepada bilal dan siak


Bilal dan siak di Perak bakal berdepan dengan tindakan pemberhentian elaun bulanan jika didapati tidak menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik. 

Penasihat Agama kepada Menteri Besar Perak, Datuk Najmuddin Elias berkata amaran tersebut dikeluarkan berikutan terdapat aduan mengenai kelakuan tidak berdisplin melibatkan bilal dan siak di negeri ini.
Katanya, siasatan terperinci akan dilakukan sebelum sesuatu tindakan tegas diambil dengan mendapatkan pengesahan Pengerusi Jawatankuasa Masjid. 

Katanya hasil siasatan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Agama Islam Perak bagi mendapat perkenan Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri sebelum pemberhentian elaun bulanan dilaksanakan. 

Jelas beliau lagi antara tindakan tidak berdisplin melibatkan siak adalah perbuatan tidak memakai baju ketika melaungkan azan. 

"Saya pernah menegur bilal tersebut tetapi jawapan yang saya terima adalah panas," katanya.
"Kita amat berharapkan para bilal dan siak masjid dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik seperti yang diamanahkan," katanya. 

Najmuddin turut mengingatkan para bilal dan siak agar sentiasa menjaga imej supaya tidak mudah dipandang serong oleh masyarakat sekeliling kerana jika ini berlaku ia boleh memberi gambaran buruk terhadap pegawai dan jawatankuasa masjid. 

Justeru, beliau menyeru agar semua bilal dan siak mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak Jawatankuasa Masjid. 

Katanya kerajaan negeri telah memperuntukan RM1 juta bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pegawai masjid termasuk bilal dan siak sekaligus meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

No comments:

Post a Comment