Keyakinan Duta Korea Utara Terhadap UMNO

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Duta Korea Utara ke Malaysia, Pak Ryong Yon yakin rakyat di negara ini akan terus menyokong kepimpinan kerajaan di bawah pimpinan UMNO yang terbukti telah berjaya membawa kesejahteraan, kemakmuran dan pembangunan yang berkesan.

Beliau yang melakukan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn di sini, hari ini turut melahirkan kekaguman terhadap pelbagai dasar dan perancangan yang telah dilakukan kerajaan Malaysia khususnya dari sudut ekonomi seperti Rancangan Malaysia ke 10 (RMK-10) yang dibentangkan baru-baru ini.

“Saya yakin rakyat di sini akan terus menyokong UMNO dalam menerajui kerajaan walaupun ketika ini terdapat kesukaran tapi saya percaya UMNO akan dapat mengatasi kesukaran tersebut”, katanya.
Beliau yang akan mengakhiri tempoh bertugasnya setelah hampir empat tahun di negara ini menghargai sokongan dan komitmen yang diberikan kerajaan selama bertugas di sini dan berjanji akan sentiasa memastikan hubungan baik seperti ini dapat dikekalkan.

“Saya begitu berbangga berkhidmat di sini kerana sentiasa mendapat kerjasama baik dari kerajaan Malaysia.
“Hubungan erat ini pasti akan dipertingkatkan pada masa hadapan dan saya berjanji untuk memainkan peranan tersebut walaupun sudah tidak lagi berada di sini”, ujarnya.

Beliau turut melahirkan pengharapan untuk melihat Malaysia terus berkembang maju di bawah pimpinan UMNO dan dapat meningkatkan lagi perpaduan di kalangan kaum.
Sementara itu, Tengku Adnan dalam ucapan balasnya turut menghargai peranan yang dimainkan oleh Pak Ryong Yon terutamanya dalam hal-hal yang melibatkan hubungan diplomatik.

Beliau turut berharap kedua-dua negara bukan sahaja dapat mempereratkan lagi hubungan politik namun pada masa yang sama meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi.
Selain bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea berkaitan isu-isu semasa dan hubungan antara dua hala, kesempatan itu juga digunakan oleh Tengku Adnan untuk memaklumkan bahawan UMNO telah bersetuju akan menghantar satu delegasi ke negara tersebut.

Delegasi seramai lapan orang itu kata beliau lagi akan dianggotai dua pemimpin Pemuda UMNO, dua pemimpin Wanita, Puteri dan dua dari Ibu Pejabat UMNO sendiri.
“Kita harap kerajaan Korea Utara dapat memberikan tarikh untuk delegasi UMNO pergi ke sana. Namun kita nak memaklumkan pada 11 Ogos umat Islam akan berpuasa selama sebulan manakala pada 19 hingga 23 Oktober pula UMNO akan mengadakan persidangan agungnya”, kata beliau.

Beliau seterusnya yakin delegasi yang akan berkunjung ke negara tersebut bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman namun dapat meningkat pengetahuan terutama pertukaran teknologi.
“Kita juga amat menghargai dan akan mengambil peluang terhadap harapan mereka yang mahukan kita turut menghantar ahli perniagaan kita bagi meningkatkan kerjasama di bidang ekonomi”, ujarnya. – MediaUMNO.

No comments:

Post a Comment