Lebih 10,000 pelajar kelahiran Perak bakal dapat manfaat daripada Tabung Pendidikan Negeri


Kerajaan negeri telah mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Perak dengan peruntukan RM2 juta setiap tahun bermula tahun ini sebagai insentif dan galakan kepada ibu bapa supaya anak-anak mereka menabung untuk keperluan pendidikan di masa depan.

Eksekutif Pendidikan Yayasan Perak, Mohd Hidayat Abdul Halim berkata kira-kira 10,000 pelajar anak kelahiran negeri ini akan menikmati manfaat daripada bantuan ini, di mana setiap daripada mereka akan menerima RM200 di dalam bentuk simpanan pendidikan.


"Sumbangan ini akan dilaksanakan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan akan diuruskan oleh Yayasan Perak," katanya di majlis penyampaian dermasiswa kepada 105 orang pelajar di Bangunan Umno Bahagian Tanjong Malim.


Beliau berkata, pemberian sumbangan itu adalah disasarkan kepada keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM1,500 sebulan, sementara pertimbangan khas diberi kepada keluarga yang menanggung ramai anak yang masih bersekolah.


"Kerajaan negeri berharap ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka sejak kecil untuk membuat tabungan setiap bulan supaya wang tersebut boleh digunakan bagi membiayai pendidikan di universiti di masa akan datang," katanya.


Dalam majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib turut menyampaikan dermasiswa berjumlah hampir RM45,000 itu kepada 105 pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana dalam Parlimen Tanjong Malim yang bakal menyambung pengajian ke peringkat ijazah, diploma dan sijil.

No comments:

Post a Comment