Amanah Saham Wawasan 2020 - Bandar


KUALA LUMPUR, 24 Jun –  Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, hari ini melancarkan Amanah Saham Wawasan 2020 – Bandar dengan peruntukan RM100 juta untuk membantu golongan miskin  tegas dan miskin di bandar memperolehi pendapatan tambahan melalui dividen tahunan skim saham amanah itu.


Beliau berkata, pelaburan dalam bentuk unit amanah merupakan salah satu usaha murni Kerajaan untuk golongan sasar ini mengambil bahagian melabur dan menabung dalam pasaran saham yang dijamin oleh Kerajaan khususnya melalui unit-unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) demi meningkatkan kesejahteraan rakyat pada jangkamasa panjang.

“Mereka akan menerima dividen setiap tahun hingga akhir hayat. Bagaimanapun, unit saham itu tidak akan menjadi harta pusaka atau diwariskan kepada anak yang mungkin sudah keluar daripada kepompong kemiskinan itu, sebaliknya akan diberikan kepada orang lain yang layak,” katanya ketika berucap melancarkan skim amanah itu di Taman Tasik Titiwangsa di sini, petang ini.

Di bawah skim itu, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM 100 juta untuk pelaksanaan program khas ASW-Bandar dalam tempoh RMK-9.
Sehingga 16Jun 2010, seramai 8,439 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan miskin bandar yang berdaftar dengan e-Kasih di seluruh negara layak dipertimbangkan untuk menyertai Skim Amanah Saham ini iaitu 5,466 KIR miskin tegar dan 2,973 KIR miskin.

Hadir sama di majlis ini ialah Y.B. Dato’ Raja Nong Chik bin Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Y.A.Bhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad; Y.Bhg. Tan Sri Hamad Kama Piah bin Che Othman Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Y.Bhg. Dato’ Hj. Ahmad Phesal Talib, Ketua Setiausaha KWPKB, Y.Bhg. Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan kenamaan-kenamaan lain.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, pemberian pelaburan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu diharap dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan.
“Skim saham ini berbeza dengan skim lain yang mana mereka menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka.

“Bagaimanapun sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa di sini. Pada majlis itu, 196 ketua keluarga di Wilayah Persekutuan menerima Buku Pelaburan ASW 2020-Bandar masing-masing.

Menerusi daftar e-Kasih, garis pendapatan miskin tegar ditetapkan buat mereka yang mempunyai pendapatan bulanan kurang RM430 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM540); Sarawak (RM520).
Golongan miskin pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM720 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM960) dan Sarawak (RM830).

Menurut Najib, para pemegang saham itu akan mula menikmati dividen tahunan serta pulangan sepanjang hayat mulai September ini berdasarkan kadar ditetapkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kelak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian saham itu adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan jumlah golongan miskin tegar dan miskin bandar di kalangan masyarakat.

Melalui program sebegitu, katanya, kerajaan dijangka berupaya mengurangkan jumlah isi rumah miskin di seluruh negara daripada 5.7 peratus, kepada 2.8 peratus pada akhir 2010.
Jelasnya, pendaftaran e-Kasih kini menunjukkan golongan miskin tegar dalam negara menurun kepada 33,417 orang berbanding 50,931 sebelumnya.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak mahu mengambil konsep negara kebajikan dalam usaha membantu golongan miskin kerana ingin melihat semua rakyat yang berkemampuan bekerja bagi menyara diri dan keluarga masing-masing. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment