Bekerjasama Membawa Malaysia Ke Arah Yang Lebih Baik


KUALA LUMPUR 27 Jun. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua rakyat Malaysia bersama-sama beliau untuk mencapai sesuatu yang luar biasa dalam menjadikan dan membawa negara ke arah yang lebih baik. Perdana Menteri berkata beliau mahukan semua rakyat Malaysia merasakan sebagai satu keluarga 1Malaysia dengan memberikan sokongan mereka untuk negara mencapai hasrat yang lebih tinggi.

“Saya memegang kepimpinan untuk menunjukkan bahawa saya serius, komited dan dedikasi. Saya boleh beri jaminan kepada anda, sebagai Perdana Menteri anda, saya akan lakukan yang terbaik untuk mengubah Malaysia.
“Tentulah perjalanan ini, saya tidak boleh lakukan seorang diri, saya perlukan rakan saya dalam kerajaan, semua kita dalam sektor awam dan swasta. Saya perlukan setiap rakyat Malaysia, di mana anda berada bersama saya untuk mencapai sesuatu yang luar biasa. Ini semua mengenai hasil pencapaian,” katanya dalam blognya www.1Malaysia.com.my terkini di sini Ahad.

Beliau berkata kerja keras adalah baik kerana beliau digalakkan untuk melakukan yang terbaik, sebagai sebuah kerajaan mestilah berbuat terbaik bagi rakyat. “Kita bekerja bersungguh-sungguh, saya bekerja.
Saya telah nyatakan dalam Twitter saya sebelum ini, saya kini merasakan bebanan hebat mula dirasakan, hari-hari saya kian panjang dan malam-malam saya bertambah pendek. Saya tidak kira dengan kerja keras,” kata Najib.

Sambil mengimbau lawatannya ke negara-negara Asean, beliau sangat gembira melihat Jalur Gemilang berkibar dengan megah di negara-negara berkenaan, yang menjadikan kehadiran negara kita dirasai di banyak negara temasuk yang maju dan bandar raya yang sedang membangun di seluruh dunia.

“Tenaga kerja rakyat Malaysia kita serta tokoh perniagaan yang mewujudkan syarikat Malaysia di negara-negara ini merupakan bukti bahawa Malaysia berada di landasan betul untuk kemajuan.
“Saya harap ini akan menjadi galakan kepada rakyat Malaysia di seluruh dunia, bahawa semangat keusahawanan adalah kuat dan sesuatu yang kita boleh cungkil dan galakan. Kita lihat kemungkinan peluang di banyak tempat – walaupun di tempat yang tidak dikenali – tetapi ada peluang-peluang untuk kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia agar tidak melepaskan peluang di mana-mana mereka berada, di kedua-dua, sama ada di negara maju dan sedang membangun.

“Cabaran kita adalah berbeza daripada cabaran yang dihadapi oleh negara-negara lain, tetapi kita jangan leka dengan apa yang kita banggakan kerana persekitaran telah berubah dengan ketaranya,” kata Najib.
Perdana Menteri berkata, secara amnya setiap negara telah menerima pakai dasar-dasar mesra pasaran berbanding pada 70-an dan awal 80-an, di mana banyak negara menutup ekonominya dan mereka tidak bersedia untuk perubahan dan liberalisasi.
“Satu-satunya aspek yang belum berubah ialah sistem tadbir urus. Dan negara-negara seperti Laos, Kemboja, Vietnam dan lain sebelum ini tidak berada dalam landasan yang sama yang boleh ke arah pembaharuan,” kata beliau.

Katanya Malaysia tidak ada pilihan, sama ada kekal tidak bergerak sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atau pembaharuan dirinya, kerana dunia telah berubah.
“Jika kita kekal sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana, negara-negara lain akan mendahului kita, ini kerana mereka tidak melihat perubahan secara pertambahan, mereka melihat pada perubahan teknologi besar-besaran yang akan membolehkan mereka melangkaui negara-negara lain,” kata beliau.
Najib berkata Malaysia mestilah bergerak dengan dasar-dasar baru yang menjadikan negara bersaing kompetitif global bagi mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara maju.

“Kerana inilah kita jangan leka dengan pencapaian yang dibanggakan. Kita jangan fikir dasar-dasar baik untuk kita pada 70-an dan 80-an akan terus begitu jika persekitaran telah berubah,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata hasil kejayaan sebagai sebuah negara ekonomi mestilah dikongsi oleh semua rakyat Malaysia dan jangan hanya menjadi sebuah kumpulan elit yang menikmati manfaat kerana ia mestilah diagih-agihkan kepada semua.

“Jadi, adalah penting dan tidak ada sesiapa pun yang dipinggirkan. Sehubungan itu, kita perkenalkan 1Malaysia mengenai bersama-sama, perkongsian bersama kejayaan, yang semua hendaklah menerima manfaat daripada kejayaan ekonomi Malaysia dan ia adalah pengagihan yang adil dan saksama,” kata beliau. – MediaUMNO/Bernama

No comments:

Post a Comment