Hentikan Budaya Kecil Hati Dalam UMNO



Budaya kecil hati dikalangan ahli - ahli UMNO yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya akan ditangani. Budaya itu sebenarnya hanya akan merugikan UMNO dan untuk itu satu modul akan dirangka bagi “merawat” kekecewaan mereka,  demikian ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Modul tersebut akan dirangka kerana sebelum ini, anggota UMNO banyak menghabiskan masa dalam tempoh berkempen untuk memujuk anggota yang merajuk akibat tidak terpilih dan bukan hanya menumpukan perhatian untuk bertemu dengan pengundi. 
Modul untuk menghakis budaya berkecil hati dan merajuk itu akan dirangka dalam simulasi pilihan raya umum olok-olok tidak lama lagi, katanya, sambil menambah beliau telah ditugaskan Majlis Tertinggi UMNO sebagai pengerusi dan penyelaras untuk simulasi pilihan raya di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Modul akan ditentukan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan di antaranya adalah untuk memastikan supaya jentera parti diwujudkan awal dan isu -isu sakit hati, jauh hati dan retak hati akan dihakiskan. Budaya sedemikian perlulah dihentikan kerana ia hanyalah perbuatan sabotaj kepada parti selain menganggu anggota UMNO memberi fokus kepada pilihanraya.
Selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menegur ahli dan pemimpin UMNO yang menyalah guna media baru seperti Facebook, Twitter dan blog dengan cara yang salah kerana mengecam sesama ahli dan bermusuhan sesama sendiri. 

UMNO perlu laku transformasi politik untuk menangi hati rakyat





Generasi muda hari ini tidak lagi melihat dan memandang UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang boleh memenuhi keperluan mereka, demikian ujar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. 

Bukan hanya sekadar memenuhi keperluan asas, sebaliknya generasi muda pada hari ini memerlukan sebuah parti yang boleh memahami keperluan dan masalah rakyat daripada pelbagai aspek termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan serta peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Kita tidak boleh membiarkan pembangkang menjadi suara rakyat hingga terpaksa menggubal dasar baru.

"Apa yang lebih penting transformasi politik ini perlu bermula dengan memahami kawasan sendiri dan semua pihak harus berganding bahu dalam usaha mengeratkan perpaduan kaum," katanya.

Katanya, keputusan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini memberi petanda cemas kepada soal perpaduan kaum apabila DAP berjaya meracuni pemikiran golongan tertentu untuk menyokong politik perpecahan.

"Sudah pasti kejayaan DAP itu akan membawa kesan berpanjangan dan boleh menjejaskan perpaduan rakyat majmuk di negara ini," katanya.

DS Hishamuddin Hussein ~ Transformasi politik perlu disertai dengan bukti



Bagi menarik penyertaan golongan muda, transformasi politik yang dilaksanakan UMNO bukan sajaha perlu dihayati tetapi juga diterjemahkan di peringkat bahagian dan akar umbi dalam bentuk bukti dan hakikat sebenar. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, parti itu kini dilihat lebih demokratik dan mampu menarik penyertaan golongan muda untuk menyertai parti itu.

"Lanskap dunia bukan sahaja berubah di Malaysia tetapi di seluruh dunia tetapi pembangkang sengaja menggunakan isu itu untuk menarik perhatian rakyat.

"Tetapi dengan kebijaksanaan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita sudah mengorak langkah lebih awal daripada aspek kerajaan, ekonomi dan parti dengan membawa pendekatan baru atau tranformasi yang dituntut oleh rakyat," katanya.

Bagaimanapun katanya, ketika ini tranformasi politik itu masih belum nampak kesannya kerana ia masih di peringkat awal pelaksanaan.

"Bagi pemilihan secara pilihan raya, kita sudah meminta UMNO Bahagian Larut yang mempunyai cawangan terbesar iaitu 148 cawangan untuk melaksanakannya walaupun pemilihan sebenar masih jauh.

"Apa yang lebih penting ialah undi perwakilan ini yang akan menentukan siapa yang bakal menjadi Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, sekaligus menjadi sebahagian daripada detik bersejarah dalam parti," katanya.