Proses pemilihan UMNO akan didahului pemilihan olok-olok




Pemilihan olok-olok membabitkan pelbagai jawatan mulai tahun ini, sebagai persediaan memastikan kelancaran proses pemilihan UMNO yang bakal diadakan nanti. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun tarikh sebenar pemilihan UMNO belum diketahui, ia perlu supaya proses pemilihan akan datang tidak mengalami masalah sehingga boleh menjejaskan keharmonian parti.

"Arahan daripada ibu pejabat parti sudah pun dibuat. Jawatankuasa Pemantauan juga sudah kita tubuhkan dan saya sudah bawa perkara ini ke Majlis Tertinggi, baru-baru ini. Harapan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan adalah untuk melihat pemilihan olok-olok itu diadakan bermula tahun ini.

"Bila (tarikh) pemilihan parti, Wallahualam, tetapi ia tidak menyekat kita melakukan persiapan supaya apa yang kita lihat dalam parti pembangkang iaitu pemilihan Parti Keadilan Rakyat, baru-baru ini tidak berlaku kepada UMNO," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan UMNO berkata, pemilihan olok-olok itu membolehkan pihak berkaitan termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dapat menyediakan keperluan lebih awal termasuk kos mesyuarat dan soal logistik seperti lokasi dan perjalanan perwakilan terutama di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, semua pemimpin dan ahli UMNO termasuk golongan muda di seluruh negara perlu membina serta menunjukkan gelombang akar umbi, kesedaran dan transformasi.

"Ia perlu bagi memastikan parti terus relevan dan kukuh dalam meneruskan agenda perjuangan bangsa, agama dan negara, selain berani untuk berdepan pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang yang banyak bersandarkan kepada serangan peribadi, fitnah, kebencian, pecah belah dan isu perkauman," katanya.

No comments:

Post a Comment